OLIVIA tidak berasa lapar dan mampu berjaga tanpa tidur selama tiga hari.
Agensi

Pelik tapi benar. Itu yang berlaku kepada seorang kanak-kanak yang digelar budak perempuan bionik apabila dia langsung tidak berasa sakit biarpun dilanggar atau diseret kereta di atas jalan.

Kejadian itu membingungkan sekumpulan doktor apabila kanak-kanak terbabit, Olivia Farnsworth langsung tidak menangis dan berkelakuan seperti biasa.

Bukan itu saja, dia berupaya menahan lapar dan tidak tidur selama tiga hari tanpa rasa mengantuk.

Namun, sebenarnya kanak-kanak itu mengalami keadaan dipanggil sebagai penghapusan kromosom 6.

Dia dipercayai menjadi satu-satunya manusia di dunia yang mempunyai setiap tiga simptom serentak.

Ibunya, Niki Trepak, 32, berkata, keadaan anaknya itu menyebabkan Olivia tidak berasa takut.

“Dia dilanggar dan diseret kereta tetapi langsung tidak merengek.

“Jarak dia diseret sejauh 10 kereta di atas jalan raya. Kejadian itu agak dasyat dan tidak mungkin saya boleh melupakannya.

“Saya dan anak yang lain menjerit ketakutan ketika dia berlari keluar tetapi Olivia hanya bertanya ‘Apa yang berlaku?’ sebelum bangun dan berjalan ke arah saya,” katanya.

Niki berkata, kemalangan seperti itu boleh menyebabkan kecederaan parah kepada sesiapa saja kerana impak perlanggaran itu terlalu kuat.

“Disebabkan impak kuat itu, dia sepatutnya mengalami kecederaan. Malah ada kesan tayar pada dadanya namun dia hanya tergeser kulit pada ibu kaki atau pinggangnya.

“Doktor berasakan apa yang menyelamatkannya daripada mengalami kecederaan ialah kerana dia tidak panik,” katanya.


KEADAAN Olivia seperti biasa walaupun terlantar di hospital selepas dilanggar dan diseret sebuah kereta.

Ibu lima anak itu berkata, Olivia menunjukkan tanda masalah itu ketika dia hanya berusia beberapa bulan.

Katanya, dia tidak pernah menangis ketika bayi dan tak tidur pada siang sejak berusia sembilan bulan selain rambut tidak tumbuh secara normal hingga berusia empat tahun.

“Dia cerewet makan dan hanya minum susu kocak serta mi ayam. Dia pernah makan sandwic disapu mentega selama setahun. Dia tidak lapar dan saya tidak boleh mengugutnya dengan habuan supaya makan seperti kanak-kanak lain kerana dia memang tidak peduli.

“Dia pernah terjatuh hingga terkoyak bibir menyebabkannya terpaksa menjalani pembedahan, tetapi Olivia tidak berkata apa-apa,” katanya.

Walaupun disifatkan periang, Olivia kadang­kala menjadi pemarah selain bergantung kepada ubat untuk tidur.

Niki yang juga ibu kepada Ella Mae, 12, Bradlee, 10, Archie, 6, dan Poppy berusia empat tahun menyertai kumpulan sokongan kromosom dikenali sebagai Unique.

Ketua eksekutifnya yang juga bekas penyelidik biologi, Dr Beverly Searle berkata, Olivia adalah satu-satunya kes yang pernah didengarinya.

“Mungkin tidak ada orang sepertinya di luar sana. Anda tidak boleh merawat masalah kromosom tetapi apa yang boleh dilakukan ialah mengurangkan simptom.

“Kami mencari padanan dan menyediakan maklumat kepada keluarga yang sekali gus memberi peluang menjalin persahabatan serta mendapat sokongan,” katanya.


OLIVIA bersama ibu dan empat adik-beradiknya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 2:45 PM