Norasikin Daineh
norasikin_daineh@nstp.com.my


SUATU ketika dahulu, Surabaya dikenali sebagai kota pahlawan kerana sejarah rakyatnya yang memperjuangkan kemerdekaan, namun kini ia popular dengan pelbagai aktiviti ekstrem ditawarkan kepada pelancong yang datang ke wilayah Jawa Timur itu.

Antara yang popular menjadi tumpuan pengunjung adalah aktiviti mendaki Gunung Bromo terletak kira-kira 79 kilometer dari Surabaya. Uniknya pengunjung dapat melihat sendiri gunung berapi yang dilaporkan masih aktif mengeluarkan lahar.

Bagi yang ingin berkunjung ke Surabaya, kota ini tempat paling sesuai untuk semua peringkat umur kerana terdapat banyak lokasi boleh dilawati termasuk pasangan yang ingin berbulan madu atau datang bersama keluarga. Bahkan ia juga lokasi sesuai bagi yang mahu mencuba aktiviti ekstrem.


ROMBONGAN mengambil gambar kenangan berlatarbelakangkan pemandangan Gunung Bromo.

Baru-baru ini, penulis berpeluang berkunjung ke kota Surabaya menerusi program lawatan suai kenal anjuran Konsulat Republik Indonesia (KRI) Tawau dan Kuching yang berlangsung selama enam hari.

Berkunjung ke Surabaya, tidak lengkap rasanya jika tidak menikmati suasana matahari terbit dan keindahan panorama Gunung Bromo secara dekat.

Berketinggian 2,329 meter (m) dari permukaan laut, gunung ini turut terkenal dengan pemandangan matahari terbitnya yang indah.

Bagi pengunjung yang ingin melihatnya harus mendaki Bukit Penanjakan yang terletak di Taman Nasional Bromo Tengger Semeru.


Untuk merasai sendiri pengalaman hening menikmati rona jingga pagi, penulis dan rombongan dibawa ke Bukit Penanjakan yang berketinggian 2,770m dengan menaiki pacuan empat roda yang terletak 11 kilometer atau lebih setengah jam perjalanan dari Desa Tosari.

Sebaik tiba, rombongan harus mendaki selama kira-kira 10 minit untuk ke tempat melihat matahari terbit dikenali sebagai ‘Penanjakan View Point’ dan ketika berada di atas, suhu sedingin tujuh darjah Celsius meraikan kedatangan kami.

Bagaimanapun, kesejukan yang mampu menusuk ke tulang itu semakin menghilang selepas semua pengunjung melihat keindahan matahari terbit bermula seawal jam 5 pagi dan cahaya yang menyinari serta memperlihatkan Gunung Bromo secara lebih dekat berlaku selepas setengah jam kemudian.


ROMBONGAN bergambar kenangan sebelum mengharung arus di Kaliwatu Rafting.

Selepas puas di situ, rombongan berpeluang menikmati sarapan di gerai sepanjang taman nasional itu dan sudah tentunya mi segera atau bakso serta kopi panas menjadi pilihan pengunjung untuk mengalas perut sekali gus menghangatkan kembali tubuh sepanjang berada di Bukit Penanjakan.

Kembara rombongan di lokasi Bromo Tengger Semeru tidak berakhir di situ. Kami dibawa ke Pasir Berbisik di mana terdapat padang pasir seluas 5,300 hektar yang terbentang luas - antara lokasi wajib dikunjungi.

Berlatar belakang pemandangan Gunung Batok, menjadi destinasi wajib bagi yang gemar merakamkan pelbagai gambar aksi bersama jip atau sambil menunggang kuda sebagai kenangan sepanjang berada di Pasir Berbisik.


KERJASAMA diperlukan kala menjayakan misi mengharung arus sejauh tujuh kilometer.

Dalam sesi lawatan itu, kami juga diberi peluang mencuba sukan luncur udara atau paragliding di Wisata Gunung Banyak Batu dan mengharung jeram di Kaliwatu Rafting di Batu.

Pada penulis, untuk mencabar diri melakukan aktiviti ekstrem terutamanya bagi mereka yang mempunyai perasaan gayat atau fobia kepada ketinggian, sukan paragliding harus dijadikan permulaan untuk mengatasi perasaan itu.

Penulis sendiri mempunyai perasaan gayat tetapi disebabkan keinginan melakukan aktiviti yang tidak pernah dicuba, penulis kuatkan hati.


LAWATAN rombongan di Zoo Batu Secret.

Ternyata sebaik berada di udara, perasaan gentar itu hilang sebaliknya diganti dengan seronok kerana dapat melihat pemandangan secara menyeluruh sepanjang ‘terbang’ di ketinggian lebih daripada 1,000m.

Untuk merasai pengalaman terbang di udara selama kira-kira 10 minit itu, pelancong hanya perlu membayar 400,000 rupiah iaitu kira-kira RM117 dan pakej ini lengkap dengan peralatan, insurans serta dikendalikan oleh juruterbang paragliding profesional.

Bagi yang tidak puas melakukan aktiviti paragliding, boleh mencuba aktiviti mengharung arus di Sungai Kaliwatu yang agak mencabar iaitu sejauh tujuh hingga sembilan kilometer untuk diharungi.


DI Kampung Keramik Dinoyo yang terkenal dengan hasil seramik.

Aktiviti berkumpulan yang disertai antara dua hingga tiga orang ini memerlukan ketahanan mental dan fizikal serta kerjasama berpasukan, namun keseronokan sepanjang mengharungi jeram tidak dapat disangkal.

Kunjungan selama enam hari di Surabaya juga turut diisi dengan aktiviti melawat taman tema dan terdapat 12 taman tema ditawarkan di Jawa Timur ini termasuk dua daripadanya penulis sempat lawati iaitu Zoo Batu Secret dan Muzium Angkut.

Untuk pengunjung yang bercuti bersama keluarga terutamanya kanak-kanak, taman tema dan Zoo Batu Secret yang berkeluasan 14 hektar adalah pilihan yang paling tepat kerana ia menawarkan keseronokan ‘tiga dalam satu’.

Ini kerana, selain menempatkan kira-kira 400 spesies haiwan dari seluruh dunia termasuk Afrika, Brazil dan lain-lain negara, ia turut mempunyai taman tema dan taman tema air dengan pelbagai cabaran menarik.


SETIAP momen dirakam sebaik berada di Pasir Berbisik.

Rasanya jika ke sini lagi, sudah pasti penulis akan menghabiskan masa seharian di zoo ini kerana dengan bayaran tiket masuk hanya 120,000 rupiah atau RM35 pengunjung perlu mengambil masa sehingga lebih tiga jam untuk mengelilingi kawasan zoo dan mencuba permainan di taman tema di situ.

Pulang ke Malaysia tidak hanya pulang dengan kenangan kerana rombongan kami dibawa ke perkampungan membuat tembikar di Kampung Keramik Dinoyo yang terletak Malang.

Di sini ada kira-kira kira 30 pengusaha menghasilkan seramik yang kebanyakannya mewarisi perusahaan keluarga yang sudah beroperasi sejak dulu. Boleh juga membeli pasu seramik untuk dijadikan ole-ole dari Malang.


MERAKAM kenangan sebaik tiba di Pasir Berbisik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 5:16 AM