SEBAHAGIAN peserta yang menyempurnakan kayuhan sempena Hari Kebangsaan.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

CUTI peristiwa sempena meraikan kemerdekaan negara yang ke 62 pada 31 Ogos lalu dimanfaatkan sepenuhnya Jawatankuasa Penduduk Ampang Jaya, Selangor menerusi penganjuran program Kayuhan Santai Merdeka Melawati 2019.

Seramai 100 peserta yang majoritinya penduduk Taman Melawati dan Kampung Klang Gate memeriahkan kayuhan dengan menyatakan semangat patriotik menerusi kibaran bendera kecil sepanjang kayuhan itu.

Menurut Ahli Majlis Ampang Jaya Mohamed Radziff Hasan, selain menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan komuniti, program berkenaan mempunyai impak lebih penting apabila memberi pendedahan mengenai fasiliti sudah lama disediakan pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).


MERIAH peserta mengibarkan bendera Jalur Gemilang.

“Dalam acara konvoi membabitkan hampir 100 penduduk sekitar Ampang Jaya bagi menerap nilai murni iaitu semangat patriotik, peserta dapat mengeratkan hubungan baik sesama ahli keluarga dan kejiranan dengan lebih harmoni.

“Selain itu menerusi kayuhan juga peserta menempuh trek sejauh 5.5 kilometer membabitkan laluan basikal disediakan MPAJ bagi kemudahan komuniti untuk beriadah.

“Sebenarnya ada dalam kalangan penduduk tidak menyedari kewujudan fasiliti ini. Harap dengan program dianjurkan memberi maklum balas mengenai perkembangan kejiranan.


aksi peserta cilik apabila turut sama menyertai kayuhan baru-baru ini.

Sudah tentu dengan adanya lorong khas untuk berbasikal, penduduk dapat melakukan aktiviti riadah lebih selamat. Selain itu juga memberi kesedaran kepada pengguna jalan lain terutama mereka yang tinggal dalam taman sekitar supaya lebih berwaspada ketika memandu.

“Toleransi itu penting apabila pengguna jalan raya berkongsi laluan,” katanya.

Kata Radziff, lebih bermakna kayuhan itu berlangsung penuh harmoni dengan kehadiran penduduk berbilang kaum dan pelbagai peringkat generasi.


CERIA dapat melengkapkan kayuhan.

“Kalau lihat kayuhan kali ini memang meriah, penduduk berbilang kaum daripada perseorangan hinggalah kepada keluarga yang datang membawa anak kecil semuda empat tahun hadir sama.

“Dalam kayuhan ini setiap peserta diagihkan dengan bendera kecil untuk mereka kibarkan sepanjang menempuh laluan sekitar taman. Lebih terharu ada peserta luar dari Cheras umpamanya sanggup hadir bersama komuniti di sini,” katanya.

Mengenai babak cemas ketika kayuhan berlangsung, katanya ia berjalan dengan lancar kerana semua peserta diiringi oleh marshal ditugaskan untuk memantau peserta sepanjang konvoi.


MEMBERI sokongan kepada peserta cilik ketika laluan mendaki.

“Tiada kemalangan serius dan kalau ada hanyalah masalah kecil. Dalam kayuhan ini kaedahnya bergerak dalam kumpulan besar dan marshal akan kawal peserta.

“Isu lain ialah pengalaman peribadi. Maklumlah sudah lama tidak berkayuh, saya mengalami kejang selepas 30 minit kayuhan. Apatah lagi ada trek mendaki dan menurun,” katanya mengakui ‘port’ menarik ialah ketika peserta melalui kawasan berhampiran Bukit Tabur.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 5:10 AM