PESERTA tidak lupa merakam kenangan bersama Jalur Gemilang.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


PELBAGAI cara menzahirkan semangat patriotik termasuk mengibarkan bendera mahupun menyaksikan perarakan kemerdekaan.

Bagi sekumpulan peminat acara sukan basikal gunung dan lasak dari dua komuniti basikal di pantai timur iaitu Jeli Epic dan Timuk, mereka menzahirkan kenikmatan kebebasan itu dengan menikmati keindahan trek jalan berliku Sungai Suih di Jeli Kelantan.

Program kayuhan dinamakan Seru Merdeka 62 Sungai Suih Off Road Trails Jeli Epic & Timuk itu hanya membuka penyertaan kepada 62 orang sebagai simbolik sambutan kemerdekaan negara ke-62.

Menurut Pengarah Program Mohd Ridhuan Saari, kayuhan itu turut disertai dua pelancong dari United Kingdom yang turut merasai semarak kemerdekaan peserta tempatan.

“Perjalanan kayuhan bermula dengan laluan jalan bertar sejauh lima kilometer (km) kemudian menempuh trek ‘offroad’ 30km membabitkan denai anak sungai, kebun getah dan laluan kecil penoreh getah serta kebun durian.


BABAK cemas peserta wanita mengalami kecederaan lutut ketika menuruni bukit.

“Tujuannya untuk mengumpulkan semua peminat sukan basikal lasak dalam meraikan kemerdekaan negara yang sudah menginjak 62 tahun.

“Relevannya ialah kesukaran peserta dari segi fizikal dan mental dalam menamatkan cabaran iaitu mendaki melepasi Bukit Simen serta mengharungi Sungai Suih tiada bandingan dengan ‘peluh dan darah’ pejuang.

“Tanpa mereka pasti rakyat seperti kami tidak boleh berkayuh dengan bebas sambil menikmati pemandangan indah sekitar kawasan Jeli ini. Justeru tiba saja di perhentian rehat atau lokasi tertentu, kami ambil kesempatan mengibar dan merakam gambar bersama Jalur Gemilang,” katanya.

Merujuk tempoh masa diambil untuk menamatkan kembara kayuhan sempena kemerdekaan itu, kata Mohd Ridhuan tempoh diambil sekitar enam jam bagaimanapun berlaku kemalangan kecil membabitkan peserta.

“Peserta semuanya selamat sampai ke lokasi terakhir yang juga tempat pelepasan iaitu Pejabat Hutan Kampung Pasir Dusun Jeli kira-kira jam 1.30 tengah hari.


MOHD Ridhuan bersama pelancong United Kingdom yang turut serta dalam kayuhan merdeka berkenaan.

“Perjalanan lancar meskipun berlaku kemalangan kecil membabitkan seorang peserta wanita yang jatuh ketika menuruni bukit.

“Kecederaan lutut dialami peserta dan dia dibantu kru paramedik yang ditugaskan dalam kayuhan kali ini,” katanya.

Menurut Mohd Ridhuan, memandangkan kayuhan masih lagi dalam musim buah-buahan, peserta dijamu dengan buah-buahan milik penduduk setempat.

Dalam kayuhan itu juga peserta berpeluang mandi-manda di Sungai Suih yang jernih selain menikmati jamuan barbeku kambing.


SENTIASA mengambil peluang untuk mengibarkan bendera Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 September 2019 @ 5:50 AM