Rosli Mohd Nordin
metahad@hmetro.com.my

ANDAI diberi pilihan untuk bercuti sama ada di Bosnia-Herzegovina atau Maghribi, yang mana pilihan anda?

Ia memang keputusan yang sukar. Kedua-dua negara itu mempunyai kelebihannya tersendiri, sama ada cuaca, bentuk muka bumi atau koleksi budaya seperti sejarah, seni bina, makanan, tarian, bahasa dan destinasi pelancongan yang sangat menarik perhatian sang pengembara.

Akhirnya, selepas mengambil kira pelbagai aspek dan faktor, saya memilih untuk mengembara ke bumi Maghribi.

Selepas mengharungi perjalanan termasuk transit di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), saya akhirnya tiba di Casablanca pada kira-kira jam 11 pagi waktu tempatan (Maghribi).

Keterujaan untuk menerokai bumi yang terkenal dengan pelbagai nama seperti Mutiara Afrika Utara dan Negara Seribu Tembok itu membuatkan saya dan rakan kembara yang lain seolah-olah terlupa kepenatan mengharungi perjalanan yang memakan masa hampir sehari suntuk.

Dari mula tiba di Maghribi hingga hari yang ke-38, Maghribi sentiasa menyajikan pengalaman kembara yang sungguh hebat dan sukar diungkapkan dengan kata-kata.

Dalam catatan kembara ini, saya senaraikan destinasi dan aktiviti menarik yang boleh anda lakukan sepanjang berada di Maghribi.


ORANG Sahrawi menggembala unta peliharaannya.

Eksplorasi Casablanca

Jika ke Maghribi, Casablanca adalah destinasi wajib anda kunjungi. Casablanca menjadi perhatian dunia apabila filem Hollywood berjudulkan nama bandar raya berkenaan diterbitkan pada 1942, lakonan Humphrey Bogart dan Ingrid Bergman ditayangkan.

Terbawa-bawa dengan kisah romantis ketika Perang Dunia Kedua itu, saya berasakan lokasi dan tajuk ‘Casablanca’ sangat bertepatan dengan aura bandar berkenaan yang urban namun ‘hangat’ dengan cara hidup tradisional.

Casablanca yang membawa maksud rumah putih, menyajikan suasana moden tetapi masih tidak dapat lari daripada percikan bangunan purba bersejarah.

Pada abad ketujuh, Casabalanca yang terletak di barat Maghribi hanyalah sebuah pekan kecil kepada kabilah dan komuniti Berber.

Maka tidak hairanlah, di bandar itu anda akan lihat penempatan zaman silam yang dikenali sebagai Old Medina iaitu sebuah penempatan mempunyai tembok (benteng) mengandungi rumah, kedai dan pelbagai perusahaan kecil serta sederhana menjadi tumpuan pelancong.


PENULIS (dua dari kanan) bersama beberapa penjaja air di Old Medina.

Pada zaman dahulu, masyarakat tempatan gemar membangunkan penempatan yang sedemikian bagi memudahkan pemantauan, keselamatan dan melakukan pelbagai aktiviti ekonomi serta budaya dalam Old Medina.

Ini berikutan kemungkinan serangan daripada kabilah dan puak asing yang ingin meluaskan kuasa masing-masing, menjadikan konsep penempatan Old Medina amat praktikal. Untuk rekod, Old Medina juga ada di pelbagai bandar lain di Maghribi seperti Rabat, Marrakech dan Fes.


ANEKA rempah ratus pelbagai warna dan bentuk dijual di Old Medina.

Selain Old Medina, saya juga berkesempatan melawat Masjid Hassan II. Masjid yang direka arkitek Perancis, Michel Pinseau yang mula dibina pada 1980 dan siap sepenuhnya 15 tahun kemudian.

Masjid ini dikatakan masjid kedua terbesar di dunia selepas MasjidilHaram, Makkah kerana mampu memuatkan 105,000 ribu jemaah pada satu-satu masa. Apatah lagi masjid ini memiliki menara tertinggi di dunia dengan ketinggian 210 meter dan mempunyai pancaran cahaya laser memancar ke arah Kiblat.


MASJID Hassan II.

Bermalam dan menunggang unta di Merzouga

Kembara di bumi Maghribi diteruskan bagi menerokai kehidupan di padang pasir. Perjalanan menaiki van dari Casablanca ke Merzouga mengambil masa hampir 11 jam. Sepanjang perjalanan, mata kami dijamu dengan landskap yang mempesonakan, daripada bangunan moden pencakar langit dan binaan purba di Casablanca hinggalah pemandangan ladang gandum menguning, bumi kering serta tandus di kawasan gurun, Merzouga.

Mata anda tentu ralit menikmati keindahan alam ciptaan Ilahi. Sepanjang perjalanan kami beberapa kali berhenti di lokasi yang mempunyai keindahan tersendiri, bergambar, berehat dan menunaikan solat serta mengisi perut berkeroncong.


KHOBZ atau khubzun adalah roti bulat yang menjadi makanan ruji masyarakat Maghribi.

Ketibaan kami di Merzouga disambut seorang pengendali pakej percutian di kawasan gurun. Harga dikenakan untuk individu sekitar DH700 (dirham) atau kira-kira RM350.

Harga pakej bergantung pada pengendali yang menawarkan perkhidmatan meliputi pengalaman menaiki unta ke tempat perkhemahan (mengambil masa kira-kira sejam).


PENULIS menggayakan pakaian tradisional tempatan dikenali Gandoura ketika menunggang unta.

Bagi yang gemar bergambar atau lebih tepat berswafoto, jangan lupa beli pakaian tradisional tempatan yang dipanggil Gandoura untuk lelaki atau perempuan. Potongan baju hampir sama, namun untuk lelaki warna, potongan dan perinciannya sangat ringkas. Gandoura untuk perempuan sebaliknya didatangkan dengan pelbagai warna, perincian dan sulaman yang lebih mewah dan potongan lebih pelbagai.


GADIS Sahrawi manis dengan kostum tradisional Berber yang melambangkan kebudayaan Maghribi.

Berbalik ke pengalaman menaiki unta untuk ke kawasan perkhemahan, anda perlu bersedia ‘digoncangkan’ kira-kira sejam untuk ke kawasan perkhemahan.

Ia antara pengalaman yang sangat unik kerana unta adalah pengangkutan paling signifikan di kawasan gurun zaman dahulu kala.

Jika kurang bersedia menaiki unta, boleh juga memilih untuk menaiki kenderaan pacuan empat roda tetapi bayarannya lebih.


TIGA orang Sahrawi yang tinggal di gurun memainkan peralatan muzik tradisional ada pengaruh Afrika dan Berber Maghribi.

Setibanya kami di kawasan perkhemahan, kami ditempatkan di khemah yang amat selesa. Usai sahaja meletakkan beg, kami dijamu dengan tajine kambing, roti tradisional Berber dan buah-buahan segar. Walaupun khemah, fasiliti bilik mandi dan tandas disediakan dengan bekalan air bersih yang mencukupi.

Selepas menikmati makan malam, kami berbaring sekitar unggun api sambil melihat keindahan cakerawala sehingga mata terlelap dibuai kedinginan dan angin yang sepoi-sepoi bahasa.


LELAKI setempat berpakaian tradisional Berber dikenali Djellaba, menyediakan teh pudina.

Usai sahaja solat Subuh, kami teroka puncak bukit pasir berdekatan dengan kawasan perkhemahan. Pemandangan matahari terbit dengan warna jingga benar-benar mempesonakan.

Sungguh indah, sukar diungkapkan dengan kata-kata. Kehadiran sekumpulan jurufoto profesional merakam momen lelaki Sahrawi bersama beberapa unta melengkapkan pengalaman saya dan rakan kembara selama di Merzouga.

BERSAMBUNG...

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 7:30 AM