DISERTAI 472 peserta.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

LALUAN ‘off road’ mencabar sejauh 26 kilometer (km) melalui beberapa ladang kelapa sawit, kebun getah dan ladang penternakan di sekitar Batang Kali menjadi tarikan peserta kayuhan Community College (CC) MTB Challenge 2019.

Program berbasikal itu anjuran Bahagian Pembangunan Pelajar, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Malaysia bersama Kolej Komuniti Hulu Selangor (KKHS).

Pengarah program, Dayang Noor Asmara Abang Othman berkata, tahun ini penganjuran kali ketujuh bagi memperkasakan sukan berbasikal dalam kalangan generasi muda.

“Acara tahunan itu diadakan bagi mencungkil bakat baharu dalam kalangan pelajar kolej bagi menyertai Kejohanan Berbasikal Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang akan datang.

“Selain itu, kita ingin menonjolkan aspek pengurusan dan kewibawaan KKHS sebagai penganjur sukan berbasikal yang disegani.

“Berjaya menarik 472 peserta merangkumi tujuh kategori disifatkan berjaya menyediakan platform dalam kalangan pelajar, warga kerja, komuniti setempat dan peminat sukan ini untuk beraksi aktif.

“Di samping itu, kita melihat ia antara usaha mempromosikan Hulu Selangor sebagai destinasi sukan berbasikal serta produk pelancongan alam semula jadi lain,” katanya.


PUPUK cinta sukan berbasikal.

Program kayuhan basikal ini menyediakan laluan sejauh 37km termasuk 11km untuk ‘on the road’ manakala bakinya menjurus kepada trek lasak.

Dayang Noor Asmara berkata, setiap tahun KKHS menawarkan trek berbasikal berbeza-beza kerana ia menjadi tarikan utama setiap kali penganjuran.

Sepanjang kayuhan, peserta turut melalui beberapa laluan berbeza termasuk jalan raya, hutan, sungai dan laluan berbukit.

Justeru, peserta perlu mempunyai daya ketahanan mental dan fizikal yang mantap untuk mengatasi semua cabaran.

Katanya, istimewa acara kayuhan ini terletak pada konsep pengalungan medal secara terus kepada semua peserta yang berjaya menamatkan acara.


KONSEP pengalungan medal kepada semua peserta.

Jelasnya, CC MTB Challenge satu-satunya program yang memberikan medal secara kalungan sebagai penghargaan kepada peserta.

Acara tambahan sepanjang program termasuk gerai pameran dan jualan serta aktiviti membasuh basikal peserta oleh Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP).

Dayang Noor Asmara berkata, maklum balas positif bukan saja diterima daripada peserta dan pengunjung, malah lebih menarik segelintir mereka adalah peserta yang sama sejak program ini diperkenalkan.


AKTIVITI membasuh basikal peserta.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 6:30 AM