GAMBAR sekeluarga yang dirakam pada hari raya.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

WARISAN ilmu lebih bernilai dan berharga berbanding harta kerana manfaatnya tidak hanya pada diri sendiri, malah boleh dinikmati masyarakat secara luas.

Demikian prinsip diterapkan pengusaha penjagaan berpantang dan spa, Faizah Yusuf, 45, kepada dua anak gadisnya supaya mereka mewarisi ilmu perbidanan dan urutan turut-temurun yang kini semakin disisihkan generasi muda.

Menurut Faizah, kemahiran dalam bidang perbidanan khususnya rawatan selepas bersalin yang dipelajari daripada arwah nenek yang juga seorang bidan berpengalaman menjadi batu loncatan untuknya meneruskan warisan berharga keluarga.

“Bagi saya ilmu warisan lama itu seperti urut tradisional dan penjagaan berpantang perlu dikongsi bersama kerana ia didapati semakin lama semakin hilang berikutan kurang generasi muda berminat mendalaminya.

“Tambah lagi, orang-orang tua yang kaya dengan pengalaman sedemikian ramai yang sudah meninggal dunia. Bimbang ilmu tradisi dalam bidang ini berkubur sama, sebab itu saya sedia berkongsi ilmu warisan ini kepada anak-anak,” katanya.


FAIZAH mahir ilmu perbidanan tradisional dan moden.

Dua anak Faizah yang mewarisi kerjayanya, Nur Aliah Najiha Mohd Jais, 24, dan Nur Atirah Nasuha, 21. Tiga beranak berkenaan mengurus dan memberikan perkhidmatan menerusi salun kecantikan dan spa Mafar Sakura yang beroperasi di Taman Herba Bertam, Jabatan Pertanian, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Faizah turut mewarisi kemahiran menjalankan rawatan bekam daripada ibunya, Che Som Sirun, 75, yang juga pembekam tradisional berikutan masih menggunakan peralatan lama seperti tanduk lembu.

“Ibu belajar berbekam daripada arwah datuk saya. Ironinya, ibu tidak mewarisi ilmu perbidanan daripada arwah nenek saya, sebaliknya ilmu itu diturunkan kepada saya. Sepupu arwah nenek yang juga seorang bidan turut menurunkan ilmunya kepada saya.

“Biarpun saya memiliki kemahiran dan ilmu cara lama, saya masih berusaha menimba pengetahuan cara moden seiring dengan peredaran masa. Antaranya menyertai Program Penjagaan Selepas Bersalin atau MamaCare di bawah Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

“Selain itu, saya turut menjalani kursus dan latihan di Giatmara Prima Tasek Gelugor serta agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC),” katanya.


FAIZAH ketika mengikuti latihan MamaCare bersama LPPKN.

Menyingkap kembali pembabitannya dalam bidang ini, Faizah berkata, semuanya bermula pada 2010 selepas nekad berhenti kerja sebagai juruukur di sebuah agensi kerajaan.

“Selama 15 tahun bekerja makan gaji, saya mula memikirkan untuk serius dalam bidang perbidanan kerana ia sememangnya mengalir dalam darah. Bagi saya, sudah sampai masa untuk saya mengamalkan sepenuhnya ilmu yang ada.

“Tambah lagi, saya turut melihat potensi dalam bidang ini yang semakin berkembang berikutan permintaan yang tinggi. Saya kemudian memulakan perkhidmatan mengurut dan rawatan ibu berpantang dari rumah ke rumah sebelum berjaya membuka premis sendiri,” katanya.


NUR Atirah Nasuha (kanan) mengurut kaki pelanggan sambil diperhatikan Nur Aliah Najiha di spa mereka.

Lantas dengan sedikit sebanyak ilmu perbidanan yang ada, Faizah memberi pendedahan awal dan didikan mengenai urutan dan kaedah berpantang cara tradisional serta moden kepada dua anak gadisnya.

“Sejak usia mereka muda lagi saya sudah menitipkan beberapa petua termasuk penggunaan herba yang juga elemen penting dalam ilmu perbidanan. Saya sering membawa mereka mengikuti kursus atau latihan berkaitan termasuk ketika menemui pelanggan.

“Saya selalu menekankan kepada anak-anak bahawa warisan bukan harta, melainkan ilmu pengetahuan. Ilmu itulah kekayaan yang sebenarnya, bahkan ilmu itu lebih baik, lebih berharga, dan lebih mahal daripada harta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 6:01 AM