ANGIN sejuk di kaki Gunung Seorak. FOTO Siti Nor Shafiqa Abdullah
Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my


APABILA merancang untuk bercuti bersama keluarga di Korea Selatan pada musim sejuk baru-baru ini, tiba-tiba saya dibelenggu perasaan risau.

Saya sudah beberapa kali ke Korea Selatan secara berseorangan namun ini adalah percutian pertama saya bersama isteri dan bayi kami yang baru berusia setahun.

Bagi saya membawa bayi ke tempat bersalji dengan penerbangan mengambil masa lama mungkin bukan idea yang bagus.

Bagaimanapun dengan sedikit maklumat melalui pembacaan, bekalan ubat, baju sejuk, pakaian tebal dan tawakal, percutian itu diteruskan.

Kami menggunakan khidmat agensi pelancongan, jadi jadual perjalanan memang padat.

Ejen agensi pelancongan memaklumkan mereka menawarkan pakej melawat ke hampir semua lokasi menarik di Korea Selatan sebagai ‘kelebihan’ berbanding syarikat lain.


SUASANA taman tema Lotte. FOTO Siti Nor Shafiqa Abdullah

Sebaik tiba di Seoul, kami terus bertolak ke Pulau Nami.

Ketika itu masih belum ada salji namun suhunya amat sejuk.

Keadaan itu menyebabkan saya kerap terlelap di sepanjang perjalanan dan hanya mendengar penerangan isteri berkenaan terowong yang banyak dan panjang di sekitar negara itu.

Selain Pulau Nami, antara lokasi menarik yang kami lawati sepanjang pakej lima hari empat malam itu ialah Petit France, Gunung Seorak, Menara Seoul dan Istana Gyeongbok.


PENGUNJUNG Pulau Nami tidak melepaskan peluang bermain salji. FOTO Siti Nor Shafiqa Abdullah

Sudah tentu kami paling teruja apabila berpeluang bermain salji. Melihat salji gugur di stesen kereta kabel di Gunung Soerak menjadi pengalaman berharga walaupun saya sudah mula rasa seperti hendak demam.

Sepanjang percutian, kami ditemani pemandu pelancong warga Korea yang mahu kami memanggilnya ‘Kevin’ dengan alasan nama asalnya susah disebut dan sukar diingati.

Kevin mempunyai karakter yang menarik. Dia seorang yang sangat menepati masa, bercakap cepat dan berjalan laju.


ISTANA Gyeongbok yang menyimpan sejarah Korea. FOTO Siti Nor Shafiqa Abdullah

Apabila orang yang sentiasa mementingkan minit dan saat perlu menguruskan kumpulan pelancong yang kebanyakan sentiasa menikmati pemandangan indah dan mengambil gambar tanpa mempedulikan sangat jam di tangan, maka dia berdepan masalah.

Kegusaran itu kerap dia luahkan di dalam bas pelancong dengan sentiasa mengingatkan kami masa ditetapkan ketika singgah di lokasi tertentu.

Dia memberitahu kalau kami mengambil masa lama di satu-satu lokasi, ia akan mengganggu jadual yang ditetapkan untuk ke tempat lain.


GAMBAR kenangan penulis bersama keluarga di Pulau Nami. FOTO Siti Nor Shafiqa Abdullah

Saya masih ingat bagaimana dia panik apabila saya, isteri dan anak tiba-tiba ‘hilang’ dalam radar ketika berada di Pulau Nami dan ketika melawat Muzium Teddy Bear di Jeju.

Terpancar raut wajah lega sebaik menemui kami selepas beberapa kali mencari. Kami tidak ke mana pun sekadar menukar lampin anak, jadi terlewat beberapa minit untuk sampai ke ‘check point’ ditetapkan Kevin.

Saya sempat bertanya kepada Kevin kenapa dia sangat mengikut masa ditetapkan dalam jadual sehingga setiap minit sangat penting.


PEMANDANGAN laluan di Gunung Seorak. FOTO Siti Nor Shafiqa Abdullah

Alasan saya, sebagai pelancong sudah tentu kami mahu menikmati momen di negara orang, menikmati pemandangan dan merakam gambar kenangan sebanyak mungkin.

Mulanya dia memberitahu menepati masa penting kerana banyak lokasi pergi dikunjungi dengan jarak antara satu sama lain jauh. Jadi kelewatan boleh menjejaskan susunan jadual perjalanan.

Kemudian secara bergurau dia memberitahu mungkin ia juga disebabkan DNA orang Korea.

Menurutnya disebabkan negaranya kerap diserang dan dijajah suatu ketika dulu di zaman dinasti China dan Jepun, penduduk Korea berada dalam keadaan sentiasa berjaga-jaga.


BERGAMBAR ketika melawat Menara Seoul. FOTO Siti Nor Shafiqa Abdullah

Mereka makan dengan cepat dan berjalan cepat kerana sebaik menerima amaran serangan penjajah, mereka segera ke tempat selamat.

Mungkin juga ada kebenaran di sebalik cerita Kevin itu dan mungkin juga sikap sedemikian menjadikan Korea Selatan antara negara maju di dunia.

Menjadi negara pengeluar produk elektronik dan komunikasi dunia, Korea Selatan turut mengekalkan beberapa teknologi tradisional yang diwarisi turun-temurun.

Antaranya sistem pemanasan lantai kayu di tempat penginapan dan restoran.

Dalam keadaan cuaca sejuk, sistem pemanasan lantai itu membuat suasana penginapan cukup selesa.

Saya bertanya hal itu kepada Kevin.

Menurutnya, ia sistem pemanasan tradisional dikenali sebagai ‘Ondol.’


BERKUNJUNG ke Masjid Seoul Central di Itaewon. FOTO Siti Nor Shafiqa Abdullah

Ia seperti ada satu ruang di bawah lantai untuk laluan asap atau haba panas.

Jadi tidak hairanlah di musim sejuk, penduduk tempatan lebih memilih tidur di lantai berlapikkan tilam nipis berbanding di atas katil.

Sesuatu yang baru buat saya kerana lawatan solo sebelum ini di musim bunga. Ia juga pengalaman berharga kerana dapat menikmati percutian musim sejuk bersama keluarga.

Oh ya, mengenai anak saya. Alhamdulillah dia seperti biasa, cuma merengek sedikit dalam pesawat ketika kami dalam perjalanan pulang.

Mungkin disebabkan bosan kerana duduk setempat dalam tempoh yang lama. Namun malangnya saya yang demam!


ANAK penulis, Muhammad Iffat Fateh berfikir sesuatu ketika kami berkunjung ke Ski Resort.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 5:16 AM