KELUARGA bahagia Hamdan dan Siri Noran.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


SEJAK usia 11 tahun lagi, dia sering membantu abangnya berniaga di bandar Muar, Johor dan ia antara pendedahan awal buat Hamdan Maarof, 67.

Dia antara pengusaha stesen minyak Petronas Bumiputera yang terawal di Johor Bahru itu juga belajar mengenal erti berdikari apabila kehilangan bapa pada usia kecil selain dibesarkan ibu bersama lapan lagi adik-beradik.

Tiada guru melainkan rutin seharian iaitu memerhati gelagat orang ketika berniaga runcit di Pasar Besar Johor Bahru banyak mendedahkan Hamdan kepada peluang perniagaan.

Apa saja orang mahukan, dia akan tawarkan termasuk menjadi penjual minyak tanah atau pembekal bilah lidi kepada peniaga sate dan pasar malam di bandar Johor Bahru.

Berbekalkan modal perniagaan itu jugalah, dia mula menyimpan sehingga menjadi modal kepada impiannya untuk memiliki stesen minyak sendiri.

Menurut bapa kepada lima anak lelaki itu, selain isteri, Siti Noran Saedek, 64, yang berkorban kerjaya guru untuk mengembangkan perniagaan stesen minyak menerusi cawangan kedua, anak sulungnya, Ezam Hazir, 40, turut memiliki stesen minyak sendiri, selain saudara lelakinya, Halil Maarof, 65.


EZMI dan Mohd Fahmi membantu uruskan stesen minyak keluarga.

“Kalau cerita pengalaman saya ketika awal dulu mula-mula mendapatkan stesen ini, terus terang saya kata selain rezeki ia adalah impian saya untuk memiliki stesen minyak sendiri.

“Saya menjual minyak tanah (kerosin) di pasar malam dan pada 1970-an hingga 1980-an menjadipeniaga sate selain setiap hari sambutan menggalakkan tetapi waktu itu saya terfikir alangkah baik kalau saya dapat kembangkan perniagaan dengan memiliki stesen tentu masa depan lebih baik.

“Jadi apabila pada 1980-an waktu itu saya terbaca dalam akhbar, sebuah syarikat mencari calon untuk membuka stesennya di Johor Bahru, saya ambil langkah berani untuk mendaftar.

“Dulu pemilihan untuk jadi pemilik stesen bukan mudah, terpaksa melalui saringan ketat dan peringkat akhir ialah menerusi cabutan undi. Saya memang waktu proses saringan lagi tunjukkan komitmen daripada modal termasuk tunjukkan aset sedia ada bagi membolehkan layak hinggalah kepada peringkat akhir.” katanya.


PERNAH terima anugerah pengusaha terbaik.

Sementara itu, anak keduanya Ezmi Husaif, 39, berkata kesungguhan bapa banyak memberi inspirasi dan dilihat sebagai mentor dalam cabang perniagaan itu.

“Sejak kecil, orang tua saya sudah didik mengenai sikap tanggungjawab dan perlu tekun untuk berada pada tahap sekarang. Kami sejak kecil kalau mahu sesuatu perlu bekerja dan ikut peraturan.

“Walaupun stesen minyak ini ialah milik bapa atau ibu, kami tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil barang sebaliknya diajar mengenai sikap supaya membayar setiap nilai barang diambil. Sebenarnya ini ialah mengenai disiplin dan tanggungjawab,” katanya.

Dalam lain, Ezmi berkata bapanya sentiasa berusaha memperkasakan komuniti setempat terutama di kampungnya.

“Boleh lihat bapa saya tidak ‘kayakan’ diri sendiri sebaliknya berkongsi rezeki dengan orang lain. Pernah ketika bapa saya jadi pembekal lidi sate satu ketika dulu, dia upah ahli keluarga sendiri selain jiran kampung untuk meraut lidi,” katanya turut disertai adiknya Mohd Fahmi, 29, menguruskan legasi keluarganya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 5:01 AM