BERSAMA isteri dan anak yang sama-sama menyokong Liverpool FC.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

PADA pandangannya, Liverpool FC di England adalah pasukan bola sepak yang cukup kuat dan hebat bukan saja dari segi populariti, malah menggabungkan pemain handalan yang sering mempamerkan aksi luar biasa.

Dia kali pertama menyaksikan pasukan yang gelar The Reds itu beraksi atas padang dalam perlawanan yang ditonton menerusi kaca televisyen ketika usianya tujuh tahun.

Perlawanan itu yang memaparkan kehebatan pemain berebut bola untuk disumbat ke dalam gawang sungguh mendebarkan hingga meninggalkan kesan di hatinya.

Sejak itu, tersemat dalam hati Mohammed Muiz Shamsudin, 34, untuk menjadi penyokong setia Liverpool FC atau ‘Kopities’ yang juga antara pasukan utama kejohanan peringkat Eropah.

Minat yang disemai sejak kecil ini turut dikongsi bersama isteri, Adzani Adnan, 34, dan dua anak, Mohammed Ali berusia empat tahun dan Aalia Azeeza, setahun.

“Sebagai penyokong setia, sudah tentu kami tidak ketinggalan menyaksikan perlawanan bola sepak membabitkan Liverpool FC terutama yang disiarkan secara langsung biarpun perlawanan berlangsung pada awal pagi.

“Selain di rumah, kami menjadikan premis makanan yang menyediakan skrin besar sebagai lokasi untuk menonton. Selain dapat meluangkan masa bersama keluarga, kami juga dapat mengeratkan silaturahim dengan penyokong lain,” katanya.

Mohammed Muiz yang juga jurugambar bebas berkata, dia mendapat banyak maklumat mengenai Liverpool FC daripada abangnya yang turut meminati pasukan itu pada peringkat awal mengenali kelab bola sepak itu.


MOHAMMED MUIZ bersama jersi retro Liverpool FC yang dipamerkan sempena pelancaran jersi rasmi baharu penyokong tahun ini di ibu negara.

“Pada masa itu tidak banyak maklumat mengenai Liverpool yang boleh diperoleh berikutan media sosial belum lagi wujud. Mujur abang yang melanjutkan pengajian di England pada awal 1990-an kerap menceritakan kehebatan pasukan itu kepada saya.

“Abang juga mengumpul banyak barangan daripada Liverpool FC dan saya belajar mengenali pasukan daripada koleksi berkenaan termasuk menonton rakaman perlawanan lama mengguna cakera padat (CD),” katanya.

Menurut Mohammed Muiz, dia menjadikan beberapa barangan dari pasukan itu sebagai koleksinya seperti baju jersi, mafla dan kasut bola.

“Antara sebab saya mengikuti perkembangan pasukan ini kerana kagum akan keunggulan atau sejarahnya. Disebabkan pasukan ini juga, saya dapat ramai kawan baharu yang dikenali ketika sama-sama menonton perlawanan secara langsung.

“Biarpun prestasi pasukan ini ada masanya tidak menentu, semangat pemainnya sangat kuat dan sentiasa bangkit selepas kekalahan. Biarlah apa orang kata mengenai pasukan ini, kami tetap setia untuk menyokongnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 6:31 AM