JUBAYED.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

ANTARA impian pemuda dari bandar Sylhet di wilayah timur Bangladesh ini adalah untuk mengunjungi bandar-bandar utama dunia. Kerana itu langkah Jubayed, 27, menyambung pelajaran di rantau orang adalah alasan paling bagus untuk berbuat demikian. Lagipun, keadaan ekonomi di negara sendiri yang kurang baik menyebabkan keinginannya untuk berhijrah meluap-luap.

Kali pertama menjejakkan kaki di Malaysia dan tujuannya?

Saya datang ke negara ini pada April 2015 untuk melanjutkan pengajian sains komputer pada peringkat diploma. Apapun, belajar itu hanya asbab kerana yang sebenarnya saya ingin mengembara ke negara asing.

Sejauh mana anda mengenali Malaysia?

Saya mengenali negara ini berdasarkan cerita daripada rakan yang sudah lama berada di Malaysia. Banyak perkara saya tanyakan mereka seandainya saya memilih negara ini untuk menyambung pelajaran.

Antara perkara saya ingin tahu seperti kos hidup, persekitaran, budaya dan institusi pengajian tinggi. Jawapan diperoleh saya bandingkan dengan situasi di negara lain dan saya dapati Malaysia lebih sesuai dengan keadaan saya.

Malah, Malaysia juga sebagai negara Islam sudah tentu saya tidak berdepan masalah terutama mencari makanan halal. Saya juga menggunakan Internet bagi mendapatkan maklumat tambahan mengenai Malaysia.


JUBAYED bersama rakan senegara yang melanjutkan pengajian di ibu negara.

Cabaran yang anda lalui sepanjang menetap di Malaysia?

Saya berdepan masalah mendapatkan makanan yang menepati selera. Biarpun banyak makanan halal, kebanyakan menunya adalah masakan pedas. Di negara ini juga terlalu banyak jenis makanan sehingga saya menjadi ‘rambang mata’ untuk mencuba.

Selain itu, saya mengalami masalah komunikasi berikutan selain bertutur bahasa ibunda yang pekat, saya juga kurang fasih bertutur bahasa Inggeris. Namun, saya belajar bahasa Inggeris melalui perbualan dengan rakan pelajar asing lain sehingga lama-kelamaan mampu bertutur lebih baik.

Saya juga belajar bercakap Melayu daripada pelajar tempatan dan boleh dikatakan, sudah menguasai 40 peratus bahasa ini.

Pengalaman menarik sepanjang berada di Malaysia?

Menyambut hari raya sebagaimana budaya tempatan. Saya mengikut rakan berbangsa Melayu meraikan Syawal di rumahnya dan sama-sama menyediakan juadah tradisional seperti rendang dan ketupat. Amalan rumah terbuka bagi meraikan tetamu juga sesuatu yang baharu bagi saya.

Destinasi kegemaran anda?

Pulau Langkawi, kerana bagi saya, semua keindahan alam ada di pulau itu. Pantai, gunung dan hutan hijau yang menakjubkan berada di satu tempat. Saya kagum kerana alam semula jadinya masih terpelihara.

Menerajui persatuan pelajar dari Bangladesh memberi kelebihan kepada saya merancang aktiviti untuk ahli. Saya buat banyak program melancong dalam negeri untuk mendedahkan ahli kepada budaya setempat. Antara lokasi dikunjungi Melaka dan Pahang.


KAGUM lihat keindahan Langkawi menerusi Langkawi Sky Bridge.

Sajian tempatan pilihan anda?

Nasi goreng kampung, ayam penyet dan nasi kukus. Saya akhirnya dapat menerima makanan pedas dan tidak lengkap rasanya sehari tanpa menikmati juadah sedemikian.

Malaysia pada mata anda?

Negara ini masih memelihara kelestarian alam semula jadi. Bandar rayanya juga disuntik konsep hijau walaupun pembangunannya pesat. Selain itu, negara ini juga banyak pantai dan air terjun.

Saya juga kagum dengan keramahan rakyat tempatan kerana sudi menyapa mahupun melemparkan senyuman walaupun kami tidak mengenali. Ada masa saya berselisih dengan orang tempatan tidak dikenali, walaupun kami tidak berbicara tetapi sekadar mengangkat tangan sebagai isyarat ‘Hai’, ia sudah memadai bagi saya tanda ukhuwah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Ogos 2019 @ 6:01 AM