DR SALEH bersama Tun Dr Mahathir Mohamad.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


IKATAN antara Malaysia dan Yaman sudah lama terjalin terutama soal perdagangan yang diketahui berlaku sejak zaman Tanah Melayu lagi.

Justeru,Ketua Pegawai Eksekutif NAMA Foundation, Dr Saleh Mubarak Bazead sudah semestinya mengetahui berkenaan Malaysia lebih awal iaitu sejak di bangku sekolah lagi apabila buku teks pengajian sejarah ketika itu menceritakan serba sedikit mengenai negara ini.

Bermula dengan hubungan dagangan, katanya, dulu Tanah Melayu terletak di laluan perdagangan turut menjadi destinasi dakwah iaitu penyebaran agama Islam yang membabitkan pedagang dari Yaman.

1. Boleh Dr Saleh ceritakan sejak bila mengenali Malaysia?

Sebenarnya nama Malaysia kami kenali dengan Tanah Melayu kerana subjek Sejarah di bangku sekolah kami belajar mengenainya. Malah turut diceritakan sejak itu hubungan dagangan mahupun diplomatik terus terjalin apabila penduduk Tanah Melayu menerima Islam.

Malah ada antara pedagang Yaman terus menetap hinggalah mereka menjadi sebahagian daripada penduduk rantau ini. Dalam kalangan negara Asia Tenggara atau Islam, Malaysia terkenal dengan lokasi pengajian bertaraf antarabangsa.

Maka, saya jadikan ia sebagai rujukan destinasi pengajian pilihan ketika ingin menyambung pengajian peringkat sarjana dan doktor falsafah.

2. Bilakah kali pertama Dr Saleh datang ke Malaysia?

Pada 2009, saya datang ke Malaysia bagi tujuan melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dalam Pengurusan Awam dan Hubungan Antarabangsa di Sintok, Kedah dan seterusnya ke peringkat doktor falsafah dalam Perhubungan Antarabangsa.

Kemudian berkhidmat dengan kedutaan Yaman selama tiga tahun hinggalah pada tahun lalu, saya bertukar profesion iaitu berkhidmat dalam bidang kemanusiaan menerusi pertubuhan bukan kerajaan, NAMA Foundation.

3. Apakah keunikan Malaysia pada anda?

Malaysia adalah contoh terbaik bagi model negara Islam. Kesederhanaan dan toleransi antara rakyatnya yang berbilang kaum dan agama benar-benar harmoni, membuatkan ia jauh berbeza dengan negara Islam lain.

Selain itu, dasar terbuka terutama berkaitan teknologi, ilmu dan sebagainya banyak memacu Malaysia ke hadapan berbanding negara lain yang membangun ketika ini.

4. Apakah kenangan anda tidak boleh lupa sepanjang tinggal di negara ini?

Sebagai ekspatriat, momen penting berlaku dalam negara ini memberi impak sangat besar. Ada baik dan ada buruk, tetapi saya lebih suka memandang hikmahnya.

Antara pengalaman manis ialah apabila saya berpeluang menyaksikan peristiwa penting dalam Malaysia termasuk pilihan raya iaitu perubahan tampuk pimpinan parti pemerintahan tanpa berlaku pertumpahan darah.

Tidak seperti kebanyakan negara lain yang memerlukan campur tangan tentera dalam memastikan kestabilan negara. Namun, Malaysia contoh demokrasi paling tulus pernah saya lihat sendiri. Saya kagum!


KETIKA lawatan ke luar negara atas urusan tugas.

5. Adakah anda menghadapi kesukaran sepanjang berada di Malaysia?

Tidak pernah. Sejak saya belajar hinggalah kini bekerja dan mempunyai keluarga kecil di sini, alhamdulillah semuanya mudah bagi saya. Saya mempunyai hubungan baik dengan orang tempatan serta hormat undang-undang di sini. Tiada masalah.

6. Apakah destinasi kegemaran anda?

Banyak tetapi tidak punya masa. Saya meminati sejarah, kerana itu suka mengunjungi negeri seperti Melaka dan Pulau Pinang selain pulau seperti di pantai timur. Saya suka memandu dan menikmati pemandangan sepanjang jalan-jalan di Malaysia pada saya sungguh indah.

7. Adakah anda pernah mengikuti acara tempatan?

Sudah semestinya. Perkahwinan dan perayaan termasuk Aidiladha atau sambutan Maulidur Rasul yang meriah di sini.

8. Apakah makanan kegemaran Dr Saleh?

Nasi lemak, nasi goreng ayam, paprik dan tomyam. Buah kegemaran saya ialah durian. Dalam keluarga saya, hanya saya yang sukakan durian. Isteri dan anak tidak menyukainya terutama bau buah itu.


BERSAMA wakil dari negara luar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Ogos 2019 @ 5:10 AM