AKRAB hubungan antara ahli komuniti.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

KOMUNITI basikal berpusat di Ampang, Selangor yang bergelar Ampang Roadies ini menjadikan laluan Genting Peras dari Batu 18 Hulu Langat dan ‘Broga Jantan Loop’ sebagai ‘sparring’ kayuhan setiap hujung minggu.

Laluannya iaitu trek mendaki yang panjang iaitu 400 meter menuju puncak Genting Peras masih dirasakan laluan santai dan biasanya komuniti itu mengambil masa sekitar 40 minit untuk melengkapkan kayuhan.

Namun, kadangkala untuk cabaran lebih getir, kayuhan mingguan komuniti itu memilih trek kedua iaitu ‘Broga Jantan Loop’ yang boleh dilanjutkan perjalanan sejauh 120 kilometer dan pendakian sehingga 1,400 meter.


LALUAN mendaki yang panjang.

Menurut Kapten Ampang Roadies, Aiman Bahari, meskipun komuniti basikal itu baru berusia dua tahun iaitu bermula April 2017, komitmen ahli yang menyertai kayuhan setiap minggu sangat menggalakkan.

“Meskipun kayuhan ini hanyalah aktiviti santai dan penyertaan secara sukarela hujung minggu, ahli yang hadir selalunya tidak menghampakan.

“Biasanya kami bergerak dalam kumpulan kecil tetapi pernah hingga 30 orang dan memerlukan adanya ketua dan ‘sweeper’ iaitu orang menjadi memantau ahli konvoi terakhir.

“Trek laluan membabitkan Batu 18 Hulu Langat hingga Genting Peras dipilih kerana trek itu sesuai untuk semua peringkat peserta. Ia berbukit dan landai.

“Buat peserta kayuhan yang mahu cabaran lebih, kami akan pilih trek ‘Broga Jantan Loop’ lebih jauh apabila mereka terpaksa melalui Bukit Hantu, Sungai Tekala, Semenyih, Broga dan Lenggeng sebelum kembali ke Batu 18,” katanya.


PESERTA kayuhan giat mendaki.

Timbalan Kapten, Nabil Shukri pula berkata, meskipun setiap minggu pihaknya menganjurkan kayuhan, aspek keselamatan sepanjang kayuhan berlangsung tidak diabaikan.

“Kami sedia maklum pelbagai golongan yang menyertai kayuhan ini baik daripada veteran hingga kanak-kanak.

“Maka, kami tetapkan standard keselamatan perlu dipatuhi termasuk pemakaian helmet dan saringan basikal masing-masing sebelum mereka memulakan kayuhan.

“Selain itu, taklimat juga diadakan setiap kali sebelum memulakan kayuhan untuk menerangkan disiplin peserta konvoi bagi mengelakkan risiko kemalangan,” katanya.

Ampang Roadies ketika ini mempunyai sekitar 200 ahli aktif yang sering mengambil bahagian dalam kayuhan anjuran komuniti berkenaan.


CERIA dapat tiba di Genting Peras.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Ogos 2019 @ 7:00 AM