AKTIF dalam kerja sosial di Malaysia. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


KEMANUSIAAN adalah isu penting yang didalami pemuda Bangladesh ini sepanjang tempoh empat tahun berada di Malaysia.

Aktif menyertai badan bukan kerajaan (NGO) sebagai sukarelawan, Ferdaus Sayed Mohamad yang juga tahfiz, mengakui bercita-cita besar dalam memperjuangkan agama Allah SWT.

Justeru, beliau lihat pelaburan masanya dalam kegiatan NGO adalah cara terbaik merealisasikan impiannya.

1. Kali pertama anda berkunjung ke Malaysia dan tujuannya?

Saya datang ke Malaysia pada 2015 kerana ingin melanjutkan pengajian dalam bidang pentadbiran perniagaan. Ketika itu, saya juga berhasrat untuk ke United Kingdom atau Kanada.

Apabila hasrat ini dikongsikan dengan abang ipar, beliau menyarankan dan menyokong pilihan saya untuk ke Malaysia.

Ini kerana, bagi saya, sistem pendidikan di sini sangat bagus malah persekitaran juga selesa, di samping kemesraan masyarakat setempat.

Perkara paling menarik hati saya adalah kecekapan anggota keselamatan seperti polis dan imigresen dalam menegakkan undang-undang negara.

2. Sejauh mana mengenali Malaysia sebelum ke sini?

Saya pernah mengikuti berita mengenai pendatang asing tanpa izin dari Bangladesh yang menggunakan jalan laut dari Indonesia untuk ke Malaysia, namun ketika itu nama Malaysia janggal pada telinga saya.

Apabila melakukan carian menerusi Internet, saya tertarik pada imej Malaysia yang cantik. Selain itu, saya juga mengagumi ketokohan Tun Dr Mahathir Mohamad.

3. Cabaran yang anda lalui sepanjang berada di Malaysia?

Kehidupan saya di sini sangat mudah. Cuma saya pernah mengalami situasi kurang selesa dengan pemandu teksi yang enggan menggunakan meter seperti disarankan kerajaan. Sambil berperang mulut sepanjang perjalanan, saya menghubungi pihak polis bagi melaporkan salah laku pemandu berkenaan.

Perkara paling mengejutkan saya ialah, sebaik tiba di destinasi, pihak polis sudah menanti ketibaan saya lantas menahan pemandu itu.

Bermula dari itu, saya mengagumi ketangkasan pihak polis berkhidmat dan mereka bertindak tanpa mengira warga negara selagi ia mengikut peraturan ditetapkan.


KINI terajui NGO di Bangladesh. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

4. Pengalaman menarik yang ingin dikongsikan?

Di sini saya belajar mengenai kerja sosial dan kebajikan bersama Islamic Relief Malaysia (IRM) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) sebagai sukarelawan.

Kini, saya masih bersama MAPIM selaku wakil Bangladesh melaksanakan program sosial di serata tempat. Rentetan daripada itu, saya menubuhkan NGO sendiri di Bangladesh, Foundation Man and Supports (FMS) bagi membantu rakyat tempatan dan menjadi ‘jambatan’ kepada NGO asing yang ingin pergi ke Bangladesh.

Oleh kerana saya memiliki perniagaan keluarga, saya berharap dapat mengimbangi perniagaan dan NGO ini menggunakan dana sendiri tanpa mengharapkan bantuan kewangan daripada pihak lain.

5. Lokasi pilihan anda?

Putrajaya kerana mempunyai pemandangan indah.

6. Makanan tempatan kegemaran anda?

Nasi goreng daging merah.

7. Malaysia pada mata anda?

Malaysia adalah negara pelbagai kaum yang mesra dan peramah. Masyarakat di sini juga tidak lokek untuk membantu dan pengalaman ini perlu dirasai sendiri oleh semua orang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Julai 2019 @ 5:10 AM