SALWA bersama ibu bapa pada Konvokesyen UPSI.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

KENANGAN manis buat lulusan Sarjana Seni Lukis dan Reka Bentuk, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nor Salwa Anas Mohd Anas apabila semua pelajarnya mendapat A bagi subjek Bahasa Melayu dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), baru-baru ini.

Pendidik yang mula mengajar di sekolah kerajaan di Perak sejak 2015 mengakui minat itu bercambah dengan dorongan ibu bapanya yang terlebih dahulu menabur bakti lebih tiga dekad dalam profesion terbabit.

“Sebenarnya, selain ibu bapa dan kakak, ramai ibu dan bapa saudara saya juga menjadi guru. Maka, saya mahu langkah ke bidang yang berlainan. Namun benarlah kata orang, doa ibu bapa yang berharap saya mengikut jejak langkah mereka membuka laluan kepada permulaan kerjaya dalam bidang pendidikan ini.

“Saya terima panggilan daripada pengetua sekolah untuk menggantikan guru yang berpindah. Ketika mula-mula mengajar dahulu, memang rasa gementar, maklumlah subjek yang diberi Bahasa Melayu dan Geografi sangat asing dengan bidang pengajian saya.

“Tambahan pula, pelajar semuanya lelaki. Saya cuba cari pendekatan yang dapat menarik perhatian mereka untuk memberi fokus sepanjang pembelajaran,” katanya.


RAPAT dengan keluarga ibu saudaranya yang juga seorang guru.

Tidak mahu karier hanya di takuk guru sandaran semata-mata, Salwa memasuki pengajian Diploma Pendidikan bagi melayakkan dia memohon jawatan Pegawai Pendidikan Terlatih (DG).

“Ibu bapa antara orang yang paling banyak mempengaruhi saya untuk bergelar guru. Meskipun bermula dengan jawatan sebagai guru sandaran, mereka selalu minta saya bersabar dan teruskan tugas mengajar.

“Paling terharu, mereka sanggup membiayai yuran pengajian Diploma Pendidikan anjuran bersama Jabatan Agama Islam Perak dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim, Perak,” katanya.

Bagi ibu bapanya, Zainiah Othman, 63, dan Mohd Anas Hussin, 62, mendidik anak bangsa adalah pekerjaan murni dan memberi kepuasan tiada tolok bandingannya.

Kata Zainiah yang bergelar guru selama 37 tahun, dia tidak pernah rasa jemu malah seronok dikelilingi murid-murid.


ZAMAN muda Mohd Anas ketika mengajar di Sekolah Kebangsaan Kuak Hulu.

“Bagi sesetengah orang, tugas guru terutama mengajar di sekolah pedalaman sangat mencabar. Namun, saya pula beranggapan pengalaman seperti berjalan kaki ke Sekolah Kebangsaan Kuak Hulu sejauh enam kilometer kerana tiada kenderaan keluar masuk, adalah sesuatu yang manis.

“Begitu juga suami. Pada mulanya menyimpan hasrat untuk menyertai pasukan beruniform, berubah minat apabila mula mengajar murid-murid Siam di Sekolah Kebangsaan Tasek di Pengkalan Hulu, Perak.

“Kami sering bercerita terutama kisah suami tidak dapat ke sekolah apabila polis dan komunis bertempur di laluan Kelian Intan dan Keroh, Perak, untuk dijadikan inspirasi buat anak-anak,” katanya.

Zainiah berkata, keluarga mereka boleh dipanggil keluarga cikgu kerana bapanya juga menjadi guru mengaji al-Quran. Lebih unik, adik perempuan, kakak, abang ipar dan anak-anak saudara turut menceburi kerjaya yang sama.


SALWA dapat sokongan penuh keluarga untuk bergelar guru.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2019 @ 7:01 AM