MESKIPUN sibuk menguruskan perniagaan, anak menjadi keutamaan Mohamed.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


MALAYSIA sebagai destinasi pelaburan dan aktiviti perniagaan antarabangsa bukan sesuatu yang asing. Malah, terlalu banyak syarikat asing menjadikan Malaysia sebagai hab serantau mereka di negara ini.

Begitu juga dengan pemilik nama Mohamed Demnati yang sudah 13 tahun meneroka pasaran spa premium di Malaysia dan selesa sekali apabila berbicara mengenai keunikan negara ini sebagai destinasi bukan saja untuk berdagang malah sebagai rumah kedua.

1.Boleh kongsikan mengenai latar belakang?

Nama saya Mohamed Denmati, berusia 40 tahun dan berasal dari Maghribi. Seorang bapa tunggal yang mempunyai tiga cahaya mata. Kali pertama saya ke negara ini hanya tiba seorang diri saja.

2.Apakah tujuan anda datang ke Malaysia 13 tahun lalu?

Kali pertama saya menjejakkan kaki di negara ini pada 2006 bagi membuka perniagaan spa mewah yang dikenali sebagai Hammam di Malaysia. Ia adalah yang pertama di Malaysia, umpama mandian Turki di Asia dalam versi Maghribi.

Ketika ini saya mempunyai dua cawangan iaitu di pusat beli-belah Bangsar Village 2 dan Publika. Faktor saya memilih Malaysia sebagai destinasi perniagaan pertama di Asia Tenggara sebelum menerokai pasaran di negara lain memandangkan di negara ini mempunyai tenaga kerja yang baik dan bercita-cita tinggi.

3.Bagaimana anda lihat Malaysia sebagai negara yang baik untuk pelaburan?

Ketika itu (2006) Malaysia memang terkenal sebagai negara yang baik untuk negara asing menyuntik pelaburan dan mengadakan perniagaan mereka di sini disebabkan, seperti yang saya sebutkan, tenaga kerja yang bagus, pertukaran mata wang yang baik dana juga mesra dengan warga asing.

MALAYSIA menjadi destinasi pelaburan terbaik bagi Mohamed.

4.Sebelum ke Malaysia, apa yang anda ketahui mengenai negara ini?

Banyak yang saya ketahui mengenai negara ini memandangkan untuk membuat pelaburan di sesebuah negara asing, tentu kajian pasaran perlu diadakan. Perkara yang paling menonjol sekali pastinya mengenai Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohammad yang begitu terkenal sebagai ketua negara Islam di Asia dan amat menyerlah.

Malah, beliau juga menjadi faktor tarikan saya ke negara ini kerana berita mengenai kejayaannya mengadakan transformasi Malaysia yang baik dan saya ingin lihat sendiri kebenarannya. Akhirnya, saya membuka perniagaan di sini.

5.Secara umum, apakah yang menarik mengenai Malaysia?

Malaysia adalah negara membangun dengan mempunyai infrastruktur yang baik. Tambahan, ia juga aman dan rakyatnya juga sopan. Saya suka makanan di Malaysia kerana semua makanan Melayu dan India amat lazat untuk dinikmati.

Menariknya, apabila saya perlu ke luar negara yang mengambil masa lebih 15 hari, saya mula rindu makanan di Malaysia! Tidak dilupakan pastinya kepelbagaian buah-buahan tropika yang hanya boleh didapati di Malaysia.

6.Pada waktu santai, apakah aktiviti sukan yang anda lakukan di Malaysia?

Dari segi sukan, tentu bermain golf kerana di sini harga yang dikenakan murah berbanding di negara sendiri, saya perlu membayar 100 euro untuk aktiviti ini.

7.Apakah cabaran anda di negara ini?

Sebelum ini, saya berhadapan dengan kerenah birokrasi. Bagaimanapun, dengan kerajaan baharu yang diterajui Tun Dr Mahathir, sistem birokrasi itu mula berubah dan lebih telus. Malah ia juga menjadikan saya, selaku pelabur asing, lebih yakin untuk melabur di negara ini.

8. Apakah pengalaman menarik anda di Malaysia?

Pastinya untuk memulakan perniagaan hammam di sini kerana kebanyakan pelabur Timur Tengah datang ke Malaysia untuk membuka restoran tetapi saya untuk membuka pusat mandian Turki. Ia juga menjadi pencapaian terbaik dalam hidup saya secara peribadi.

9.Apakah makanan yang paling anda gemari di sini?

Terlalu banyak makanan Melayu yang lazat seperti rendang daging lembu kerana selepas dimasak, struktur daging menjadi sangat lembut dan ramuan rempahnya benar-benar sebati. Ia amat sempurna!

10.Lokasi pilihan anda untuk beristirahat di Malaysia?

Antaranya kolam air panas di Ipoh.

Saya masih tidak dapat meneroka lokasi menarik di Malaysia yang amat terkenal kerana banyak pulau yang menarik.

Bagaimanapun, di mana terdapat alam semula jadi yang menarik, di situ menjadi pilihan saya.

Semua yang ada di Malaysia sungguh cantik dan tenang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2019 @ 10:24 AM