PASUKAN bomba turut dihargai dengan pemberian hamper. FOTO Khairunisah Lokman.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


BERSEDEKAH pada bulan Ramadan sentiasa menjadi amalan berikutan menganjurkan pemberian sumbangan dan bantuan kepada golongan memerlukan adalah amat digalakkan. Dengan bersedekah juga ia tidak membawa keburukan dan tidak menyebabkan berasa kehilangan harta, sebaliknya satu amalan yang dijanjikan ganjaran.

Sehubungan itu, Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Ledang, Johor bersama Ledang Cycling Team (SAIKEL) menganjurkan program Kayuhan Amal Ramadan 2019 bagi menyampaikan sumbangan kepada keluarga asnaf di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Serom, Bukit Gambir.

Konvoi kayuhan sejauh 25 kilometer itu bermula jam 9.45 malam dari pekarangan KKTM melalui Parit Zin, Simpang Lima Pekan, Masjid Bukit Gambir, Taman Cempaka, Taman Bandar Baru Bukit Gambir, Balai Bomba Bukit Gambir, Balai Polis Bukit Gambir dan Plaza Tol Bukit Gambir sebelum kembali ke tempat pelepasan.

Penyelaras program, Muhamad Nurhadi Salleh berkata, aktiviti berbasikal itu dengan kerjasama Baitulmal Daerah Tangkak disertai 60 sukarelawan dengan 40 daripadanya mengayuh basikal bagi membolehkan mereka mendekati masyarakat terutama golongan asnaf dengan lebih efektif kerana dapat memasuki kawasan terpencil berbanding menggunakan kenderaan besar.

PESERTA program bergambar kenangan sebelum berlepas.

“Dalam melunaskan tanggungjawab sosial kepada masyarakat, kami memilih untuk mengayuh basikal kerana dengan cara begini kami dapat meninjau secara lebih dekat dan melihat sendiri situasi yang dialami setiap keluarga asnaf.

“Malah, menerusi program ini sukarelawan bukan sekadar turun padang untuk melaksanakan khidmat komuniti malah dapat berkongsi maklumat dan memupuk semangat kesukarelawanan terutama dalam kalangan pelajar. Ini juga dapat mendedahkan mereka kepada kehidupan sebenar masyarakat.

“Seramai 20 penerima terdiri fakir miskin, ibu tunggal, pesakit kronik dan pelajar miskin yang nama mereka dipilih atas nasihat pihak baitulmal, masjid dan warga kampung sendiri. Kesemuanya menerima bantuan berbentuk wang tunai dan barangan keperluan harian seperti beras, susu, tepung dan lain-lain yang dapat digunakan sebagai persediaan menyambut lebaran,” katanya.

Dana untuk membeli barangan keperluan berkenaan disumbangkan pihak Baitulmal Daerah Tangkak dan kutipan daripada kakitangan, pelajar dan ahli keluarga mereka serta ahli SAIKEL. Turut berkayuh dalam program berkenaan, Pengarah KKTM Ledang, Fazli Rizal Ismail.

PESERTA bersama penerima sumbangan di Masjid Bukit Gambir.

Selain asnaf, sumbangan hamper turut diberikan kepada anggota bomba, polis dan pekerja plaza tol sebagai pembakar semangat dan lambang penghargaan terhadap khidmat bakti mereka yang sentiasa bersiap sedia menjalankan tugas dan kewajipan walaupun pada musim perayaan.

“Program sebegini akan dijalankan dari semasa ke semasa supaya lebih ramai golongan kurang bernasib baik dapat dibantu. Kami juga dapat mencapai objektif kerjasama antara kakitangan dan pelajar KKTM Ledang dalam usaha mengelolakan program dengan baik serta menjalankan aktiviti yang sihat melalui kaedah sukan berbasikal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 9:31 AM