INDAHNYA pemandangan di Raja Ampat.
Daphne Cheah
metahad@hmetro.com.my


SEJAK mula jatuh cinta dengan dunia marin enam tahun lalu dan menikmati keindahan bawah laut ketika menyelam, ramai memberitahu bahawa penulis perlu memasukkan Raja Ampat, Indonesia dalam senarai destinasi wajib dikunjungi.

Awalnya saranan itu penulis sambut dengan senyuman tetapi apabila ia diulang berkali-kali oleh orang yang berbeza-beza, hati mula didesak rasa ingin tahu. Maka bermulalah episod pencarian maklumat dengan menonton dokumentari, video YouTube dan menjadi pengikut banyak akaun Instagram yang mempromosikan lokasi menyelam di Raja Ampat.

Sejak itulah juga, penulis selalu membayangkan seronoknya jika benar-benar dapat menyelami keindahan hidupan laut di sana. Selama tiga tahun impian itu tersimpan begitu saja kerana ada tiga perkara yang membataskan langkah penulis.

Pertama, penulis diberitahu amat sukar untuk ke sana. Kedua, liputan talian komunikasi juga sangat terhad kerana ia terletak di kawasan terpencil. Perkara itu pasti akan menyukarkan kerana sebagai orang yang bekerja dalam bidang perhubungan awam dan komunikasi, memerlukan penulis untuk berada dalam keadaan boleh dihubungi pada bila-bila masa.

Sebab ketiga adalah, penulis diberitahu untuk menyelam di Raja Ampat, kos keseluruhan selama seminggu (termasuk penginapan dan makan minum) tidak kurang daripada RM10,000! Rasa sesak nafas mendengar kos yang amat mahal ini. Berat hati juga hendak membelanjakan sebanyak itu hanya untuk seminggu apatah lagi memikirkan tempoh yang diambil bagi mengumpulkannya.


MOHD NOR, isterinya, Zariah dan tiga anak mereka, Aliefah Ilyani, 29, Muhammad Ilham Rifaaie, 26, dan anak bongsu, Muhammad Amir Haziq, 16 gembira dapat berangkat ke Makkah. FOTO Nor Fazlina Abdul Rahim

Namun, di sini penulis mahu berpesan kepada semua pengembara dan penyelam skuba supaya tidak mempercayai sesuatu sepenuhnya sehinggalah anda membuat pencarian maklumat yang benar. Tahun lalu, selepas menyelam di banyak tempat menarik seperti Bali, Komodo, Maldives, Malapascua dan Sipadan, akhirnya penulis nekad untuk ke Raja Ampat, walaupun terpaksa berhabis.

Apabila tiba di sana, tiga faktor yang menghalang langkah penulis sejak tiga tahun lalu rupanya palsu belaka! Dakwaan sukar untuk ke sini tidak benar sama sekali. Raja Ampat terletak di barat wilayah Papua di Indonesia. Anda boleh pilih mana-mana penerbangan ke Indonesia dan ambil penerbangan domestik ke pekan Sorong.

Cara paling mudah adalah terbang ke Jakarta dan kemudian ke Sorong. Apabila sampai di Sorong, usah risau kerana ada banyak feri yang sentiasa bersedia membawa anda ke mana-mana pulau di Kepulauan Raja Ampat.

Kedua, liputan data dan talian telefon di sini stabil serta pantas. Cuma pastikan, anda dapatkan kad SIM kembara Telkomsel yang boleh dibeli di mana-mana lapangan terbang di Indonesia sebaik tiba. Selama seminggu di sini, penulis bukan saja boleh berhubung dengan semua ahli keluarga, malah dapat melaksanakan beberapa tugasan pejabat dan memberitahu semua bahawa penulis boleh dihubungi sepanjang masa.

Faktor ketiga (paling penting) adalah soal kos. Mungkin 10 tahun dulu, maklumat yang disampaikan kepada penulis itu benar tetapi kini tidak lagi. Anda boleh berseronok, bersantai dan bercuti menikmati keindahan hidupan marin Raja Ampat pada harga yang berpatutan.

Di sini ada banyak pusat menyelam yang menawarkan pakej antara RM2,500 hingga RM5,500 untuk keseluruhan, bergantung pada berapa kali selaman yang anda mahu lakukan. Kata mudahnya, tepuk dada tanya selera. Ada bajet lebih, bolehlah bermain bawah laut berkali-kali.


IKAN yang jinak sentiasa mencuri perhatian.

LEKA BERSAMA MANTA

Seminggu berada di situ, penulis setuju dengan saranan Raja Ampat perlu dimasukkan dalam senarai destinasi percutian anda khususnya kaki selam skuba. Bahkan bagi yang minat snorkeling dan pengembara lain pun, tidak rugi datang ke sini. Raja Ampat terletak di terumbu karang segi tiga yang terkenal dan ramai ahli biologi marin mengklasifikasikan tempat ini sebagai lokasi dengan ekosistem terumbu karang dan kepelbagaian bio bawah laut paling kaya di dunia.

Di sini ada sekurang-kurangnya 1,300 spesies ikan terumbu karang dan lebih 600 spesies terumbu karang keras atau 75 peratus daripada spesies terumbu karang dan ikan dunia!

Membaca maklumat tidak sama dengan melihatnya sendiri. Itulah yang penulis rasakan satu ketika dahulu. Dahulu, kali pertama membaca mengenainya, penulis rasa tertarik. Apabila menonton dokumentari dan video, sudah mula terpikat. Namun, apabila merasai dan melihat sendiri, penulis benar-benar kagum serta sangat bersyukur diberi peluang menikmati keindahan alam bawah laut di kepulauan ini.

Setiap kali menyelam di Raja Ampat, penulis nampak ikan bermacam warna berenang bersama-sama dan taman karang laut yang terbentang luas seolah-olah tiada penghujung. Ada kala penulis terpaksa mengibas-ngibas tangan untuk mendapat laluan berenang di celah-celah ikan yang cantik itu. Ada kala, tangan bergesel dengan ikan-ikan yang tampak tenang itu. Seronok rasanya!

Tidak perlu risau jika anda baru berjinak-jinak dengan dunia selam skuba kerana Raja Ampat menyediakan sesuatu untuk semua penyelam, tidak kira profesional atau amatur. Ada tapak selaman yang tenang, seolah-olah dalam akuarium dan jika mahukan cabaran, boleh ke tapak yang ada arus (dan biasanya membawa bersama hidupan marin besar seperti ikan yu paus dan pari manta (pari gergasi).


GAYA elegan pari manta membuat ramai penyelam terpegun.

Namun, haiwan paling istimewa yang anda boleh temui ketika menyelam di sini adalah yu Wobegong. Ia adalah sejenis yu permaidani dan cukup menarik hati. Kami melihat yu Wobegong ini sekurang-kurangnya sekali sehari sepanjang berada di sini.

Selain itu, bagi pencinta fotografi makro seperti penulis, anda tidak akan menyesal membelanjakan wang ke sini. Siapa yang tidak teruja bertemu kuda laut pigmi, ketam Orang Utan, pelbagai jenis udang dan nudibrankia yang akan membuatkan anda sibuk merakam gambar.

Sampai ke hari ini, penulis masih rasa teruja setiap kali mengenangkan dianugerahkan peluang menyelam bersama pari manta dan menghabiskan masa kira-kira 20 minit hanya untuk memerhatikan ikan besar itu berenang tenang, sambil membiarkan ikan-ikan kecil membersihkan badannya. Sukar diungkapkan dengan kata-kata kepuasan melihat gaya elegan pari manta, tidak kira berapa kali pun penulis ‘bertemu’ dengan haiwan berbadan pipih ini.

Penulis dan rakan penyelam mengakui seronoknya berada di Raja Ampat. Setiap saat terasa begitu berharga. Bukan sekadar aktiviti menyelam, bahkan keramahan penduduk dan makanan tempatan yang enak, semuanya menarik hati. Adakah penulis mahu ke Raja Ampat lagi? Tentu saja! Kalau boleh sekarang juga mahu terbang ke sana!

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 6:30 AM