PENULIS menghampiri Siliguri.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

KADANGKALA terasa penat hendak melayan kerenah mereka. Ada kala terasa seperti selebriti. Pantang berhenti mengayuh seketika, tentu ada yang mengerumuni penulis dan teman.

Ketika kaki asyik melayan pedal basikal, ada saja yang meminta kami berhenti untuk bergambar. Bagaimanapun, itulah antara cebisan kisah manis yang terkesan kepada penulis. Tersenyum sendiri apabila mengingati semula pengalaman itu.

Kolkata ke Siliguri, itu lokasi permulaan dan penamat kayuhan penulis untuk pengembaraan ketika itu. Kedua-duanya terletak di wilayah Bengal barat, India.


LALUAN sawah seperti tiada penghujungnya dan begitu menarik.

Dalam kayuhan sejauh 540 kilometer itu penulis melalui enam pekan iaitu Bardhaman, Kaitha, Kuli Chowarasta, Farkka, Old Malda dan Naya Basti. Semua nama pasti janggal bunyinya kerana itu bukan destinasi pelancongan komersial.

Membawa basikal mengembara dari Malaysia menjadi pilihan kami kerana lebih selesa meng­gunakan basikal sendiri. Apatah lagi, ketika ini syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia menawarkan harga berpatutan untuk membawa peralatan sukan termasuk basikal ketika mengembara.

Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Netaji Subhash Chandra Bose di Kolkata, aktiviti kami memasang basikal sudah mencuri perhatian penduduk tempatan.


MENJADI perhatian penduduk setempat untuk merakam gambar bersama sudah menjadi perkara biasa.

Malah, pihak berkuasa juga banyak bertanya mengenai perancangan pengembaraan kami. Soalan yang diaju bukan sekadar untuk memastikan keselamatan negaranya, sebaliknya mereka tertarik pada aktiviti yang ingin kami lakukan.

Perjalanan hari pertama adalah dari Kolkata ke Bradhaman. Laluannya sejauh kira-kira 110 kilometer. Sepanjang perjalanan kami disajikan dengan jalan dan lebuh raya yang sibuk.

Bunyi bingit kenderaan berat seperti bas dan lori yang sentiasa menempik hon masing-masing sudah menjadi perkara biasa. Tidak ada peliknya lagi selepas tiga jam berkayuh dan didendangkan bunyi hon yang memeriahkan kembara kami.


BERHENTI untuk berteduh di Pekan Bradhaman ketika hujan.

Cuaca panas sekitar 40 darjah Celsius menjadi peneman setia kami pada hari pertama. Beg ‘pioneer’ yang diguna untuk me­ngisi barang di depan dan belakang basikal hampir penuh dengan pelbagai peralatan dan keperluan kami selama enam hari mengembara menggunakan basikal.

Syukur, hari pertama kami dapat menamatkan kayuhan dengan baik, meskipun kadangkala terasa terganggu dengan kehairanan penduduk tempatan yang sanggup berhentikan kenderaan mereka semata-mata untuk mengambil gambar bersama kami.

Hari kedua, pemandangan mula berubah. Daripada melalui jalan raya yang sibuk, kami kemudian dihidangkan laluan di tengah jelapang padi yang begitu luas, seakan-akan tidak ada noktahnya.

Meskipun perjalanan dari Bardhaman ke Kaitha bersulamkan hujan gerimis, pemandangan hijau sepanjang laluan mengubati cabaran berkayuh dalam hujan yang perlu kami tempuhi pada hari kedua itu.

Di sini ketika aktiviti pengembaraan dilakukan, suasana malam beransur dengan pantas. Sekitar jam enam petang persekitaran mula gelap. Seboleh-bolehnya kami tidak mahu berkayuh dalam keadaan gelap kerana risiko keselamatan lebih tinggi terutama memikirkan kenderaan berat yang dipandu laju di jalan raya.

Hari itu, kami terpaksa berkayuh dalam jarak yang agak jauh kerana pada mulanya ingin menamat­kan kayuhan sehingga ke Kaitha saja tetapi disebabkan tidak menjumpai rumah tumpangan, kayuhan perlu diteruskan sehingga ke Kuli Chowarasta.

Tiba di lokasi itu, gelap malam sudah menjadi lebih pekat. Sekitar jam 9, masih tidak berjumpa rumah tumpangan, walaupun yang kecil. Pilihan yang ada ketika itu adalah surau tetapi sepanjang jalan, tidak kelihatan surau yang boleh disinggahi. Hendak mendirikan khemah juga tidak ada lokasi yang sesuai.


PURATA penulis berkayuh antara 80km hingga 100km dengan hasrat menikmati pelbagai pemandangan.

Dalam keadaan buntu, kami bertemu seorang pemuda tempatan yang mampu berbahasa Inggeris dan bertanyakan lokasi rumah tumpangan yang paling hampir dengan pekan itu. Katanya, kami perlu melanjutkan perjalanan sekitar 10 kilometer lagi kerana di situ terdapat satu-satunya rumah tumpangan.

Tiba-tiba, teman penulis bertanya kepada pemuda itu sekiranya boleh untuk kami menumpang tidur di rumahnya untuk malam itu saja. Pada awalnya, dia teragak-agak untuk memberikan jawapan kerana tinggal bersama keluarga. Namun, dia tidak mahu menghampakan kami dan meminta kami untuk tunggu sebentar di sebuah kedai makan sementara dia bertanyakan hal itu kepada bapanya.

Sekitar 30 minit menunggu, akhirnya pemuda itu menemui kami dan memaklumkan, keluarganya bersetuju untuk membenarkan kami tumpang bermalam. Perasaan syukur tidak dapat diluahkan dengan kata-kata kerana hari itu amat meletihkan. Sebaik tiba di rumah keluarga itu, lebih manis mereka adalah saudara seagama, Islam.

Kedatangan kami disambut baik bapanya yang fasih berbahasa Inggeris. Mungkin kerana kerjaya­nya dalam sektor kerajaan. Manakala ibu, tidak mampu berkomunikasi dalam bahasa itu tetapi murah senyuman dan meminta anaknya memberitahu apa yang ingin dia sampaikan kepada kami.

Malam itu juga, buat kali pertama penulis merasai pengalaman mandi di kawasan terbuka dengan menggunakan air yang perlu dipam. Lucunya, ketika mahu membersihkan diri, boleh dikatakan ramai rakan dan ahli keluarga pemuda itu memerhatikan kami.

Perasaan segan mula timbul apatah lagi perlu mandi di tempat lapang menggunakan kain basahan yang disediakan dan ada banyak mata yang memerhatikan kami. Rasa kurang selesa itu ditolak ke tepi kerana mahu melelap­kan mata secepat mungkin dek terlalu letih.

Keesokan paginya, sekitar jam 7 pagi, kami sudah bangkit. Pemuda itu, meminta kami untuk tidak keluar terlalu awal kerana ibunya ingin menyediakan hidangan untuk kami. Pada masa sama, mereka sekeluarga juga meminta kami untuk tinggal semalam lagi.

Namun niat baik itu terpaksa kami tolak kerana perlu tiba di Siliguri dalam tempoh empat hari. Jika tidak, rancangan kami mahu mendaki di tiga lokasi di Sikkim akan terganggu. Usai menjamu selera, kami meneruskan kayuhan ke Malda yang perlu melalui Farakka. Jarak perjalanan hari itu sekitar 50 kilometer.

Ketika kayuhan menuju ke lokasi itu, laluan bendang tidak kelihatan lagi, yang ada hanyalah jalan raya berdebu kerana menjadi laluan banyak kenderaan berat. Apatah lagi kawasan yang kami lalui itu adalah bersempadan dengan Bang­ladesh.

Hari itu, kami juga dapat melintasi Jambatan Farakka yang merentasi Sungai Ganges. Di jambatan itu keadaan juga sesak dengan laluan kenderaan berat. Habuk dan debu sudah menjadi perkara biasa.

Hari demi hari kami melalui pelbagai pengalaman menarik sehingga hari keenam kayuhan menuju ke Siliguri. Kami tiba di pekan itu pada jam 12 tengah malam.

Dikerumuni bagai selebriti, dilayan seperti ahli keluarga, berbasikal di kawasan bendang sehingga dikejar anjing liar, adalah antara memori manis yang tidak dapat kami lupakan sepanjang kayuhan itu.

Pengembaraan menggunakan basikal di kawasan jarang mendapat tetamu asing sememangnya menarik. Apatah lagi perlu bijak untuk terus bertahan dengan pelbagai cabaran setiap hari.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2019 @ 5:31 AM