MARINA dan Rafi menawan Everest pada 2007.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


MELAMAR cinta di Himalaya! Kedengaran seperti tajuk sebuah novel cinta tetapi itulah hakikatnya kisah pasangan suami isteri yang juga pendaki Everest negara dan masih aktif dalam dunia pendakian.

Pemilik nama Mohd Rafi Kori dan isterinya, Marina Ahmad yang juga pendaki wanita ke Everest pertama Malaysia, bukan asing dalam kalangan pendaki profesional negara.

Bagaimanapun, mungkin ramai tidak mengetahui bahawa daripada aktiviti pergunungan sebenarnya membawa mereka ke jenjang pelamin pada 2008 iaitu setahun selepas berjaya menawan puncak gunung tertinggi dunia itu.


RAFI dan Marina mempunyai kesefahaman dalam bidang pergunungan profesional.

Mengimbau kembali kisah pengenalan mereka berdua, Mohd Rafi berkata, pada 2002 mereka berkenalan ketika sama-sama terpilih untuk menyertai ekspedisi ke Kem Induk Everest dan mendaki Gunung Kalapathar di Nepal anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Katanya, bermula dari situ mereka berdua sudah menunjukkan keserasian dalam berkawan terutama mempunyai minat sama untuk serius dalam sukan pergunungan.

“Selepas berjaya menyertai ekspedisi itu, kami berdua turut terpilih untuk menjadi kru dalam Ekspedisi Demi Negara Ke Everest 2004 dan saya adalah ketua pengurus di kem induk.

“Sebaik saja ekspedisi itu berjaya dimuktamadkan, akhirnya Persatuan Kembara Negara (PKN) mengadakan Ekspedisi Merdeka De Everest pada 2007 dan kami berdua berjaya melepasi untuk menjadi calon mendaki ke puncak Everest,” katanya yang kini dikurniakan tiga cahaya mata.

Ketika ini, Mohd Rafi dan Marina memilih untuk menetap di Terengganu mempunyai kerjaya dalam bidang masing-masing iaitu Marina berkhidmat dengan RTM dan Mohd Rafi aktif dalam pelbagai aktiviti sukan lasak di negeri berkenaan.

Mohd Rafi berkata, minat dia dan Marina yang sama dalam aktiviti pergunungan secara profesional memberi banyak kesan yang baik dalam hubungan mereka sebagai suami isteri dan keluarga.

“Apabila suami atau isteri faham dan pernah melalui minat yang sama seperti mendaki gunung, pasang kita akan sentiasa menyokong dari belakang dan nilai dalam aktiviti itu seperti kepercayaan kepada rakan ekspedisi juga diguna pakai dalam hubungan kami suami isteri.

“Selain itu, kami juga senang untuk mengadakan aktiviti riadah bersama keluarga kerana isteri saya adalah wanita pertama pendaki Everest Malaysia, pastinya aktiviti lasak itu sudah sebati dalam jiwanya,” katanya.

Katanya, walaupun kejayaan melakar nama sebagai barisan rakyat Malaysia yang berjaya menakluki Everest, semangat mereka berdua untuk menakluki gunung tertinggi dunia yang lain tidak pernah pudar.

“Ketika ini, kami berdua sibuk menguruskan anak yang lebih memerlukan perhatian terutama dari segi pendidikan. Bagaimanapun, kami masih lagi aktif mendaki atau melakukan perkongsian pengalaman kepada orang ramai.

“Dari segi minat untuk melengkapkan tujuh gunung di tujuh benua tidak pernah padam. Setakat ini, kami berdua sudah menawan Everest dan Kilimanjaro di Afrika. Bakinya, masih menunggu waktu yang sesuai kerana perlu memberi tumpuan kepada anak terlebih dulu,” katanya.


MARINA dan Rafi bersama anak melihat kejayaan mereka sebagai pendaki Everest Malaysia.

Mohd Rafi berkata, anaknya Muhammad Faris Najwan, 10, Muhammad Alif Najmi, 8, dan Muhammad Al Fateh, 4, juga sudah menunjukkan minat dalam aktiviti mendaki.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2019 @ 4:30 AM