JAMBATAN menghubungkan Eropah dan Asia.
Ismawaty Mohamad
metahad@hmetro.com.my

MENYAJIKAN pelbagai tempat bersejarah, budaya yang unik dan pemandangan alam indah, sememangnya Turki layak untuk masuk ke senarai destinasi wajib dilawati.

Peralihan empat musim menjadikan tujuh wilayah di Turki masing-masing menawarkan pengalaman menakjubkan. Hutan hijau, puncak gunung dan bukit berselimut salji sesuai untuk bermain ski pada musim sejuk, lokasi belayar dan menyelam dengan pemandangan yang luar biasa.

Istanbul, ibu kota Turki yang dulunya dikenali sebagai Konstantiniah juga menjadi jambatan antara benua Asia dan Eropah. Mata wang yang digunakan di sana adalah lira.

Bermula dengan cerita Manisnya Cinta di Capacodia, Istanbul Aku Datang, Magnificent Century dan Ezel, penulis begitu tertarik untuk berkunjung ke negara bersejarah ini. Pada musim sejuk lalu sempat juga penulis berkunjung ke sana bersama ibu, Mardiyah Adnan dan rakan-rakannya.

Penerbangan dari Kuala Lumpur dan transit di Muscat, Oman seterusnya menuju ke Istanbul. Cuaca sejuk dan berangin menyambut ketibaan kami di lapangan terbang dan dijemput wakil dari agensi pelancongan di Turki, Osman dan Ali Arslan. Rombongan kami bawah kelolaan Juara Travel Temerloh yang diurus Ibrahim Ahmad dibawa menaiki bas untuk makan malam dan ke hotel penginapan.

Istanbul - Bursa

Gunaydin atau selamat pagi antara perkataan baharu yang kami pelajari. Makanan di sini roti, sup, sayuran, nasi, kebab dan pelbagai lauk lain memang kena dengan selera. Kami juga sudah bersedia de­ngan makanan sendiri seperti bekalan sambal dan serunding untuk menambah rasa pedas kala bersarapan.

Di Istanbul kami melawat Masjid Biru atau Masjid Sultan Ahmet yang dibina pada 1609 hingga 1616 untuk menyaingi kemegahan Aya Sofya pada zaman kejayaan Byzantine. Masjid ini berhadapan dengan Aya Sofya, mempunyai seni bina dalaman yang cantik dan ada satu pintu gerbang berantai. Kami diberitahu pintu ini hanya boleh dilalui oleh Sultan Muhammad Al-Fatih dengan menunggang kuda. Namun, tidak dapat kami melihat di sebalik pintu itu kerana masjid dalam proses ubah suai.

Kisah penaklukan Islam di Konstantiniah atau Istanbul yang diapit oleh Laut Marmara dan Golden Horne memang menarik. Di sini ada ba­nyak tembok dan rantai besar dipasang bagi menyukarkan laluan. Menggunakan 72 kapal diseret menaiki Bukit Galata, Sultan Muhammad Al-Fatih cuba menawan, namun berpesan kepada pasukannya agar tidak menyerang gereja, pendeta dan orang yang tidak ikut berperang.

Kota ini berjaya ditawan pada 29 Mei 1453, ketika Sultan Muhammad Al-Fatih berusia 21 tahun. Setelah itu beliau memasuki Aya Sofya dan mengeluarkan simbol patung dan menjadikannya masjid. Dalam sekelip mata, Aya Sofya yang pernah menjadi gereja penganut Kristian Ortodoks selama 1,000 tahun berubah menjadi masjid. Selepas 500 tahun menjadi masjid, pada 1935 Mustafa Kemal Ataturk menukarkan fungsinya sebagai muzium hingga kini.

Istana Topkapi pula dibina atas arahan Sultan Muhammad Al-Fatih pada 1459, tidak jauh dari Masjid Biru dan Aya Sofya. Bangunan sejarah ini dikelilingi tembok besar sepanjang lima kilometer yang menghadap laut. Di dalamnya terdapat bangunan dengan seni bina tersendiri untuk wanita, dapur dan bangunan yang menempatkan barangan milik Rasulullah SAW dan sahabatnya seperti pedang, gigi, janggut dan tapak kaki baginda juga tongkat Nabi Musa dan pelbagai lagi.

Cuaca pagi yang hujan mengiringi kami. Kawalan keselamatan pula ketat kerana kebetulan Perdana Menteri Greece turut berada di sana. Kami meneruskan perjalanan sejauh 175 kilometer (km) melalui jambatan ke Bursa. Tiba di Bursa kami dibawa ke Turkish Delight, Makam Hijau dan Masjid Hijau.


AHLI rombongan menaiki belon panas di Kappadokia.

Bursa - Kusadasi

Pada hari kedua kami dibawa ke Masjid Ulu dan Uludag. Dalam perjalanan kami melihat stadium bola berbentuk buaya. Sesuatu yang menarik. Namun, setibanya di Uludag perasaan semua ahli rombongan sangat teruja kerana melihat salji yang turun di depan mata. Salji pertamaku! Selepas puas bermain salji kami meneruskan perjalanan ke Kusadasi sejauh 400 kilometer atau selama lima jam pula.

Kusadasi - Pamukkale

Hari ketiga. Sewaktu di Kusadasi kami dibawa ke kilang kulit. Barisan model tampil menggayakan jaket kulit dan selepas itu barulah dibawa melihat semua jaket yang diperagakan dan barangan kulit lain.

Selepas itu lawatan dilanjutkan ke kota kuno Efesus. Kesan peninggalan sejarah masih kukuh dan utuh. Menariknya di sini ada banyak kucing pelbagai warna dan jenis. Kami anggarkan tidak kurang daripada 100 ekor. Geram melihatnya kerana semuanya jinak belaka.

Perjalanan ke Pamukkale yang merentas laluan sejauh 190km bagaikan tak terasa kerana semuanya leka melihat pemandangan indah lautan garam yang diserikan dengan hujan dan kabus tebal. Di sana kami melawat tinggalan kota kuno Hierapolis dan Istana Kapas (Cotton Castle )yang diiktiraf oleh UNESCO sebagai Warisan Dunia. Suatu pemandangan di luar jangkaan kerana sangat menarik dengan alam semula jadi ciptaan tuhan.


PEMANDANGAN semula jadi di Chemni, Kappadokia.

Pamukkale - Konya

Perjalanan hari keempat dari Pamukkale diiringi hujan dan berkabus tebal. Hari ini kami ke Konya untuk melawat Muzium Mevlana dan Sultanhani Caravenserai. Melihat beberapa makam, pelbagai saiz al-Quran, seni reka dalaman dan alat-alat yang digunakan suatu ketika dulu, terasa begitu besarnya pengaruh Islam di sini. Kemudian kami meneruskan perjalanan ke Kappadokia sejauh 240km kappadokia.

Dua hari kami di sini. Kami teruja melihat belon panas. Bayaran untuk menaiki belon panas RM800 seorang selama sejam. Bagi yang mahu menikmati pengalaman berbeza ini, perlu beri nama awal bagi menempah bakul belon. Bagaimanapun tidak semua dapat menaiki belon panas, bergantung pada cuaca dan kebenaran untuk terbang dan mengikut waktu yang ditetapkan.

Selain itu, kami juga dibawa melawat ke Bukit Esentepe, kota bawah tanah, kilang permaidani, kilang seramik dan Lembah Merpati. Tidak disangka turun pula hujan air batu yang kecil. Pengalaman yang unik juga!

Kappadokia - Ankara - Bolu

Hari ketujuh. Perjalanan berkabus hari ini menuju ke Bolu melalui Ankara. Ketika di Ankara kami melawat Makam Ataturk di mana terdapat makam Mustafa Kemal Ataturk dan barang-barang peninggalannya. Bagaimanapun, pelawat tidak dibenarkan mengambil gambar di dalam kompleks makam ini. Kami juga tidak kecewa kerana perlu jimatkan ruang memori untuk kenangan indah yang lain. Jarak dari Kappadokia ke Bolu sejauh 470km atau enam jam.

Bolu - Istanbul

Tanpa sedar, kami sudah tiba ke hari terakhir percutian. Perasaan sedih dan gembira berbaur. Dari Bolu kami bergerak pulang ke Istanbul sejauh 265km sambil melihat Tasik Sapanjar. Di Istanbul kami dibawa melawat makam Abu Ayyub Al-Ansari dan beberapa orang berpengaruh di kawasan masjid yang pertama dibina dalam kesultanan Turki Othmani iaitu Masjid Abu Ayyub Al-Ansari. Masjid ini dinamakan sempena sahabat Rasulullah SAW yang berasal dari Madinah.

Seterusnya kami bergegas ke Grand Bazaar, pasar tertutup, terbesar dan tertua yang menjual pelbagai barangan. Rambang mata melihat barangan yang ditawarkan di sini. Mahu apa, pilih saja! Terdapat 3,000 gerai dan 24 pintu masuk, dibuka pada 1461 dan berkeluasan 540,000 meter persegi.

Kami juga berkesempatan menaiki Bosphorus Cruise mengelilingi laut sambil melihat Istana Topkapi, Masjid Sulaiman, Istana Mustapa Kemal. Sempat juga kami dibawa makan malam di Sandwich Fish. Selesai makan malam, kami bergegas ke lapangan terbang untuk penerbangan ke Muscat, Oman.


CANTIKNYA barang tembikar untuk dibawa pulang sebagai kenangan.

Istanbul - Muscat - Kuala Lumpur

Perjalanan dari Istanbul - Muscat - Kuala Lumpur. Sekali lagi transit di Oman, memandangkan masa yang lama lebih kurang 14 jam, kami dibawa menuju ke hotel. Dapatlah melelapkan mata seketika selepas beberapa jam penerbangan dari Istanbul. Alhamdulillah kami selamat tiba di tanah air pada jam 8.10 pagi.

Matlamat kami untuk mengeratkan silaturahim dan melihat tempat bersejarah, berpegang teguh pada ajaran Islam dan tidak leka menjadikan seseorang berjaya dalam semua usaha yang dilakukan.

Dalam kembara ini, penulis melihat kerjaya sebagai ketua pelancong bukanlah mudah. Perlukan kesabaran melayan kerenah ahli rombongan dan memberi bantuan kala ibu penulis demam dan dimasukkan ke hospital di Kappadokia. Pengembaraan di Turki menggamit hati ini untuk kembali lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2019 @ 7:00 AM