DR Meguellati berasa Malaysia istimewa disebabkan keindahan dan pembangunan fasiliti yang baik. FOTO Mahzir Mat Isa
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


APABILA Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya Dr Meguellati Achour menyambung pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok, Kedah dalam Jurusan Sains Pengurusan, dia mengakui menghadapi kesukaran mencari makanan yang sesuai dengannya.

Berbanding ketika mengikuti kursus Bahasa Inggeris di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, Selangor, makanan bukan isu besar kerana ada pelbagai pilihan sajian di kafeteria universiti terbabit.

Namun apabila berpindah ke Kedah, setiap hari dia terpaksa mencari juadah yang mampu menepati selera dan ada kalanya terpaksa bereksperimen dengan pelbagai jenis kuah serta masakan di dalam kampus UUM mahupun di luar.

1. Boleh ceritakan pengalaman pertama berada di Malaysia?

Saya merantau ke sini kerana mahu melanjutkan pelajaran kerana menurut teman Malaysia menawarkan kursus pengajian terbaik terutama dalam Bahasa Inggeris.

Pada 2005 saya mengikuti pengajian Bahasa Inggeris di UIAM dan kemudian melanjutkan pengajian dalam Jurusan Sains Pengurusan di UUM Sintok, Kedah dan seterusnya berjaya menamatkan pengajian doktor falsafah di Universiti Malaya (UM) pada 2012.

Tahun berikutnya saya mengajar di UM hinggalah sekarang. Saya mengahwini warga Algeria dan dia menetap di Malaysia bersama saya.


KETIKA menerima PHD bersama teman pada 2012.

2. Apa yang menarik mengenai Malaysia?

Tentu saja ia negara cantik dan mempunyai kemudahan baik. Itu membuatkan saya selesa berada di sini.

3. Apakah perbezaan menarik mengenai budaya di negara anda dan Malaysia?

Saya berasal dari Algeria, berbangsa Arab dan beragama Islam. Dari segi amalan agama dibezakan dengan adat dan budaya. Seperti dalam perkahwinan, hantaran atau mas kahwin masih dalam bentuk emas dan wang tunai.

Cuma dari segi pelaksanaan sedikit berbeza. Ketika majlis berlangsung pengantin wanita tidak diwajibkan berada dalam majlis akad nikah dan biasanya cukup dengan kehadiran walinya seperti bapa dan saudara lelaki.

Malah budaya lain, wanita Algeria akan diarak menggunakan kenderaan sebelum majlis resepsi bermula dan ia satu amalan biasa dalam budaya kami.

4. Adakah makanan di Malaysia dapat diterima dengan baik ketika awal berada di sini?

Sebenarnya ini masalah utama ketika saya di Kedah. Ketika di UIA, banyak pilihan makanan, ada masakan Melayu, Barat dan Arab.

Tetapi apabila saya berpindah ke Kedah, saya makan hanya untuk hidup sebab semuanya ‘tidak kena’ dengan tekak dan selera saya.

Kebanyakan makanan di sana waktu itu pedas dan berminyak dan bagi lelaki Arab ia satu yang ‘keterlaluan’.


BANGGA dapat berkongsi mengenai budaya dan tradisi negaranya.

Setiap hari saya terpaksa menguji setiap masakan dengan nasi. Kemudian ada kenalan saya sarankan pergi ke restoran India atau mamak. Akhirnya saya temui makanan yang boleh dimakan.

Pilihan saya selalunya sama. Kalau membuat pesanan iaitu nasi goreng pattaya, nasi goreng ayam, nasi goreng daging dan kadang kala saya makan nan dan tanduri.

5. Apakah destinasi percutian kegemaran anda di Malaysia?

Biasanya saya akan bercuti di lokasi pantai seperti di Port Dickson, Pulau Pinang dan Kuantan, Pahang. Saya juga menyukai lokasi tanah tinggi seperti Cameron Highlands.

6. Pernahkah keluarga anda datang ke Malaysia?

Selain abang saya, tidak pernah. Abang saya datang pun dua kali saja. Sementara ipar yang juga saudara lelaki isteri pernah datang tiga atau empat kali untuk bercuti.

7. Biasanya bagaimana anda luangkan masa bersama orang tempatan?

Saya mempunyai teman baik iaitu Dr Roslan dan Dr Zulkifli. Saya akan jemput mereka datang ke rumah untuk merasai sendiri masakan tradisi kami.

Biasanya isteri akan sediakan hidangan kus kus untuk tetamu yang berkunjung ke rumah kami. Isteri masih belum boleh terima hidangan tempatan. Biasanya dia akan sediakan sendiri makanan kami atau pergi ke restoran Arab atau mamak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2019 @ 4:00 AM