MAHIR bermain piano
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

Pembabitan pensyarah Fakulti Muzik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Amanina Alwani Badaruddin dalam bidang seni bukan sesuatu di luar jangkaan. Ini kerana sejak kecil lagi, dia diberikan pendedahan berkenaan seni oleh ibu bapanya.

Sepanjang pembabitannya dalam muzik, Amanina Alwani, 28, menggubah banyak lagu untuk runut bunyi drama, filem pendek dan animasi. Antara karyanya ialah lagu Sinar Pelangi yang dinyanyikan Danial Chuer untuk Idola Kecil Ultra 2014; Impianku, nyanyian Haleeda Mazlin untuk drama Angin Syurga dan Save Me, nyanyian Ismail Izzani.

Amanina Alwani juga berkebolehan menyanyi dengan menyumbangkan suaranya dalam kolaborasi lagu berjudul Lepaskan Aku bersama penyanyi rap, Rudy Ivannie bawah label KRU Music. Dia juga terbabit menggubah lagu untuk kempen membaca kebangsaan tahun ini.

Selaku kakitangan UiTM Shah Alam, Amanina Alwani juga menggubah lagu untuk Majlis Istiadat Pemasyhuran Tuanku Canselor UiTM pada Mac lalu yang menyaksikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Haji Ahmad Shah, dimasyhurkan sebagai Tuanku Canselor UiTM baharu.

Menceritakan pembabitannya, Amanina Alwani mendapat latihan muzik daripada ibu bapanya seawal usia empat tahun dan alat muzik pertama dipelajari adalah piano. Dua adiknya, Khairul Fiqri, 25, dan Khairunnisa Batrisyia, 19, juga menerima latihan serupa sejak kecil.

Khairul Fiqri yang bermain violin kini mengajar muzik di akademinya sendiri.Dibantu isteri Nor Adinazeti Adnan, 37, yang turut mengajar muzik. Malah, Khairunnisa Batrisyia juga mengajar muzik di akademi berkenaan.


AMANINA Alwani (bertudung hitam) bersama ibu dan adik yang sama-sama bergiat dalam muzik.

“Bapa, Badaruddin Sham, 76, pernah berkhidmat sebagai pemain violin bersama RTM dan Kementerian Belia dan Sukan di Brunei Darussalam. Malah, bapa pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Muzik UiTM sebelum bersara.

“Ibu, Nor Akma Mohd Razlan, 52, pula bermain organ dan bertugas sebagai guru muzik di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rapat Setia Baru, Ipoh dan masih mengajar sehingga kini.

“Melihat karier ibu bapa dalam muzik, ia banyak mendorong saya untuk serius berkecimpung dalam bidang ini. Sebab itu, saya mengambil keputusan menyambung pelajaran dalam bidang muzik biarpun bersekolah menengah dalam aliran sains,” katanya.

Pengetahuan asas muzik dimiliki sejak kanak-kanak membolehkan Amanina Alwani mengasah bakatnya lebih mendalam apabila mengikuti pelbagai aktiviti kokurikulum di Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah (SERATAS), Taiping, Perak.


AMANINA Alwani ketika membuat persembahan.

“Ketika di sekolah menengah, saya menyertai pasukan orkestra sekolah dan memasuki pelbagai pertandingan, antaranya ‘Wind Orchestra’ membabitkan sekolah berasrama penuh yang diadakan pada setiap tahun.

“Dalam pasukan orkestra ini, saya melalui latihan dan rutin yang padat. Namun, dari situlah saya dapat pastikan minat saya yang mendalam terhadap bidang muzik apabila sanggup meluangkan banyak masa di bahagian muzik berbanding subjek lain.

“Daripada pemain genderang ke saksofon, saya kemudian berpeluang menjadi konduktor pasukan orkestra SERATAS dan menang tempat ketiga Pertandingan Wind Orchestra Sekolah Berasrama Penuh (SBP) pada 2008,” katanya.

Tamat sekolah menengah, Amanina Alwani mendalami ilmu muzik dengan mengikuti pengajian Sarjana Muda Komposisi Muzik di UiTM. Dia ditawarkan biasiswa Skim Tenaga Pensyarah Muda oleh universiti itu dan melanjutkan pengajian setahun di Universiti Edinburgh, Scotland dalam Ijazah Sarjana Muzik Skrin.

“Muzik untuk skrin menjurus pada penghasilan muzik untuk media massa. Saya belajar membuat dan menggubah lagu untuk runut bunyi, muzik latar belakang, muzik animasi, permainan, radio dan iklan.

“Sebenarnya, banyak peluang dalam bidang muzik yang masih belum diteroka sepenuhnya. Permintaan semakin meningkat dengan penggunaan media yang semakin aktif terutama dalam pembikinan filem.

“Sudah tentu, selaku komposer, saya diperlukan untuk mencipta latar muzik sesebuah filem. Oleh itu bagi saya, wujud peluang yang luas jika meneroka bidang muzik perfileman,” katanya.


AKTIVITI mendaki juga antara minat Amanina Alwani.

Di sebalik pencapaian membanggakan dalam muzik, Amanina Alwani terkilan apabila masih ada cakap-cakap berunsurkan pandangan skeptikal yang negatif dan kurang memberangsangkan mengenai muzik.

“Adalah tidak adil memberi tanggapan bidang muzik tidak menjanjikan masa depan cerah. Sebab itu saya mahu mengubah stigma masyarakat bahawa muzik, jika berada di landasan yang betul, mampu melahirkan insan yang hebat.

“Malah, muzik jika diperhalusi mampu merangsang otak untuk lebih dominan. Muzik juga sebagai cara membentuk pemikiran ke arah lebih cemerlang dan menjadi modal insan serba lengkap pada masa hadapan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 6:01 AM