SUASANA di Bugis Street dan Kampung Glam.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

SETIAP kali berkunjung ke luar negara, sudah menjadi satu kemestian bagi penulis untuk meninjau ke pasar mahupun bazar popular di negara berkenaan.

Meskipun tidak pasti mengenai barang mahupun makanan tempatan yang boleh dicuba, namun lokasi sebegini wajar dikunjungi kerana memaparkan wajah sebenar kehidupan masyarakatnya.

Di sini baik golongan bawahan, pertengahan dan elit yang mahu menikmati hidup kebanyakan akan menyesuaikan diri termasuklah menikmati hidangan tempatan.

Selain mengenali budaya setempat dan mengamati keindahan bangunan sekitarnya, pasar sedemikian mampu memberi idea mengenai cenderamata menarik boleh dibawa pulang sebagai kenangan pada kunjungan kali itu.

Begitu juga ketika kunjungan ke kota Singapura baru-baru ini bersama jurugambar, kami sempat menyelitkan agenda menjelajah dua lokasi popular sebagai destinasi membeli-belah yang mesra bajet walaupun masa yang terluang amat terhad.

Mungkin bagi pelancong Malaysia, aktiviti membeli-belah di negara pulau itu bukanlah pilihan bijak kerana terkesan dengan jurang mata wang yang tiga kali ganda berbanding ringgit, namun pengalaman berada di Bugis Street dan Kampung Glam memberi persepsi berbeza.

Bugis Street antara lokasi terkenal menjadi tumpuan pelancong mahupun rakyat tempatan. Malah kebanyakan orang tempatan menyarankan dan menamakan pasar ini sebagai lokasi paling murah untuk pelbagai barangan pakaian, elektronik, kosmetik sehinggalah kepada aksesori kecil seperti rantai kunci dan magnet hiasan peti sejuk.

Mengimbau sejarah, jalan ini mungkin boleh digelar ‘daerah merah’ ketika era 1950-an hingga 1980-an dengan malamnya diwarnai kehadiran penghibur pondan dan transeksual kerana lokasi itu tumpuan pengunjung dari serata dunia.

Namun, selepas era 1980-an kebimbangan penduduk tempatan terhadap penularan HIV membawa kepada bantahan besar-besaran yang menolak kawasan hiburan itu membawa kepada perubahan drastik.

Jalan asal dimusnahkan membawa perubahan besar pada landskap kawasan itu dengan pembinaan pusat beli-belah, restoran, kafe, makanan jalanan dan kelab malam.

Kini lokasi itu menempatkan 800 kedai yang menawarkan pelbagai jenis barangan serendah RM3 dan dilabel pasar terbesar di negara itu. Operasi bermula sekitar jam 11 pagi dan berakhir 10 malam pada hari biasa, sementara jam 11 malam pada hujung minggu.

Selain cenderahati, lokasi itu turut terdapat gerai menawarkan pelbagai jenis makanan mahupun minuman jalanan menarik dan unik untuk dicuba.

Sebagai panduan buat mereka yang pertama kali berkunjung ke pasar berkenaan boleh memilih untuk berhenti di MRT Bugis Stesen dan berjalan ke bangunan berbumbung merah.

Sementara itu buat mereka yang sukakan pengalaman berwarna-warni dan mahu mencari hidangan halal, destinasi seterusnya yang harus dikunjungi ialah Kampung Glam.

Ada banyak restoran ‘tua’ yang terkenal dan sampai sekarang masih mengekalkan prestasinya sehingga menjadi sebutan ramai pelancong. Ada yang sudah mula beroperasi sejak 1908 dan ia menjadi antara kemegahan republik itu.

Memang rambang mata juga hendak membuat pilihan kerana semua restoran menawarkan keunikan dan keistimewaan tersendiri. Jika selera mengajak untuk menikmati hidangan India Muslim juga ada di sini.

Tentu saja sajian utama ialah hidangan beriani sesuai dinikmati bersama teman atau keluarga kerana saiznya difahamkan cukup besar selain murtabak serta hidangan roti.

Bagi peminat hidangan nasi padang Indonesia, tidak perlu pergi jauh kerana di sini anda boleh melihat deretan restoran terkenal yang menyajikan hidangan enak. Tentu seronok apabila dapat menikmati juadah tradisional di lokasi yang penuh sejarah. Malah, suasana di sini yang teguh mengekalkan ciri bangunan lama menjadi tempat terbaik untuk berswafoto!

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 7:00 AM