SENTIASA berkongsi ilmu grafologi dengan anak.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

BAGAIMANA acuan, begitulah kuihnya adalah perumpamaan tepat menggambarkan minat dan kepakaran Pakar Grafologi, Dr Hanida Haron dikongsi juga anak-anak beliau, Aina Amalia, Mirza Aqmar dan Hessa Aiyunni.

Kata lulusan Certified Master Handwriting Analyst dari KAROHS International School of Handwriting Analysis yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu, anak sulungnya Aina Amalia Anuar, 24, serius mengikut langkahnya dalam memperkenalkan ilmu mengenai kajian tulisan tangan kepada umum.

“Anak sulung saya lebih ketara menunjukkan minat menguasai grafologi sejak zaman sekolah lagi iaitu ketika usianya belasan tahun. Amalan lazim dalam keluarga, saya sering babitkan anak-anak dalam pelbagai aktiviti dan rutin saya.

“Ketika menjadi guru di sekolah dahulu, saya sering menggunakan ilmu analisis tulisan bagi membantu pelajar dan guru lain di sekolah. Justeru, anak-anak juga saya kerap babitkan dalam aktiviti termasuk aktiviti grafologi.

“Sebenarnya dengan skil grafologi ini saya praktikkan dulu terhadap anak-anak kerana kajian analisis tulisan tangan sangat membantu dalam pembentukan peribadi baik.

“Bermula dengan Aina, saya tahu dia ada kecenderungan terhadap seni dan psikologi, grafologi tentu antara cabang bidang menarik perhatiannya.


AINA Amalia dan Dr Hanida dalam bengkel dijalankan.

“Anak lelaki juga tahu kemahiran asas meskipun dia berlainan bidang, namun bimbingan saya dan kefahamannya terhadap grafologi membantunya mempertingkatkan potensi. Kini anak bongsu juga sudah menampakkan minat terhadap ilmu analisis tulisan tangan,” katanya.

Kata Dr Hanida lagi, pada awal perkembangan kerjaya sebagai ahli grafologi, suaminya adalah individu yang menyokong serta memperkenalkan kepada individu mempunyai pengetahuan mengenai cabang ilmu tulisan terbabit.

“Suami saya, Ir Dr Anuar Kasa tahu minat saya terhadap sekolah grafologi lalu memaklumkan mengenai bengkel dianjurkan oleh penganalisis tulisan tempatan iaitu Khadijah Ibrahim yang lebih banyak menyentuh aspek mengenai tulisan dan personaliti. Sejak itu minat saya terus bercambah sehingga saya serius memperkembangkan kemahiran dan pengetahuan menerusi akademi dibantu anak perempuan,” katanya.

Anak perempuannya, Aina berkata, ilmu grafologi adalah skil unik dan boleh dikuasai andainya ada minat dan ketekunan tinggi.

“Saya serius mendalami ilmu grafologi sehingga memperoleh diploma daripada institusi sama dilalui ibu. Kombinasi di antara seni tulisan dan psikologi adalah kelainan dalam mengenali perilaku individu.

“Seperti cap jari, tulisan individu juga mempunyai personaliti dan identiti sendiri. Malah, dengan penelitian dan skil dipelajari, kita boleh mengenali dan mengetahui sisi lain tidak tersingkap di depan mata.

“Ketika bersekolah dahulu, saya sering jadikan kawan sebagai eksperimen. Menyeronokkan apabila menganalisis dengan pengetahuan saya pelajari daripada ibu sepadan dengan karakter rakan,” katanya.

Menariknya, kata Aina, apabila ia dilakukan terhadap keluarga, dia dapat mengenali saudaranya dengan baik selain bantu memperbaiki dan mempertingkatkan personaliti baik.


KELUARGA mempunyai pengetahuan grafologi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 6:15 AM