KAYUHAN malam sempena program Earth Hour 2019 anjuran MBSA.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

DEMI menyokong kempen padam lampu yang menyampaikan kesedaran betapa pentingnya perubahan iklim dan pemanasan global, seramai 300 peminat sukan berbasikal menyertai kayuhan malam anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sempena sambutan Program 60+ ‘Earth Hour’ Shah Alam pada 30 Mac lalu.

Acara itu bermula dan tamat di Dataran Kemerdekaan, di mana peserta berkayuh santai sejauh 11 kilometer (km) mengelilingi pusat bandar raya Shah Alam dengan melalui Persiaran Bandaraya, Persiaran Damai, Persiaran Masjid, Persiaran Kayangan, Jalan 7/10 dan Persiaran Institut.

Peserta turut melalui Bulatan Bestari, Persiaran Raja Muda, Bulatan Mestika, Persiaran Dato‘ Menteri, Bulatan Permai, Persiaran Tasik, Jalan Majlis (Shah Alam Walk) dan Persiaran Perbandaran.

Peserta dilepaskan Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, kayuhan malam itu sentiasa ditunggu-tunggu peminat aktiviti berbasikal yang mahu menunjukkan sokongan terhadap kempen diperkenalkan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) sejak 2007 bagi menyelamatkan bumi daripada binasa lebih cepat.


SAMBUTAN kempen Earth Hour dimeriahkan acara berbasikal.

“Acara itu antara usaha MBSA mengajak seluruh warga Shah Alam menyahut seruan WWF mengurangkan pemanasan global kesan rumah hijau dan penggunaan tenaga serta sumber yang berlebihan.

“Di samping itu, ia juga mendidik masyarakat untuk menyokong Earth Hour dan memahami tujuan sebenar ia diadakan.

“Aktiviti kayuhan malam itu juga selaras usaha MBSA menganjurkan lebih banyak aktiviti rekreasi dan riadah.

“Matlamat kami untuk membudayakan aktiviti sukan dalam kalangan masyarakat dengan hasrat menjadikan Shah Alam sebagai bandar raya sukan,” katanya.

Pada masa sama, MBSA mengedarkan 100 beg kitar semula percuma kepada pengunjung yang memeriahkan program 60+ Earth Hour.

Pengedaran beg kitar semula percuma bertujuan mendidik orang ramai supaya tidak menggunakan beg plastik dalam kehidupan seharian.

Pengedaran beg itu juga satu ikhtiar MBSA menyokong kempen mengurangkan penggunaan beg plastik ke arah usaha menjadikan Shah Alam sebagai Bandar Raya Rendah Karbon menjelang 2030.

Ini sebahagian komitmen berterusan MBSA mendidik masyarakat khususnya komuniti Shah Alam mengamalkan sikap memelihara alam sekitar.

Sambutan kempen turut diserikan persembahan artis jemputan Adira dan Aiman Tino masing-masing menyampaikan tiga lagu.

Pengunjung turut berpeluang melawat gerai pameran inisiatif hijau, selain pertandingan mewarna untuk kanak-kanak dan cabutan bertuah yang menawarkan hadiah perkakas elektrik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 6:30 AM