PELBAGAI kategori basikal ada memeriahkan kayuhan yang berlangsung pada waktu malam.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


LEBIH 100 kenalan kepada Pengasas Komuniti Basikal Yellow Bike Company, Ahmad Dhamini Nurainal, 36, menyatakan sokongan terhadapnya menerusi program Kayuhan Amal Ride For Dimi dianjurkan di tiga lokasi berbeza iaitu Kuala Lumpur, Ipoh dan Bandar Melaka.

Menurut Pengasas Bersama komuniti itu, Azrul Zairi, 36, untuk Kuala Lumpur sahaja, tidak kurang 80 orang me­nyertai kayuhan yang bermula di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang Park, Selangor dan berakhir di Dataran Merdeka.


ACARA Mahabbah Cycling anjuran YIDE capai matlamat beli mesin hemodialisis. FOTO: Faiz Anuar

“Dalam acara itu, peserta berkayuh sejauh 15 kilometer bermula dari stesen LRT Ampang Park menuju ke Dataran Merdeka, Brickfields, Jalan Imbi dan penamatnya di Dataran Merdeka.

“Kayuhan ini lebih santai dengan menggunakan lorong yang disediakan tanpa ada marsyal tetapi masih mengutamakan keselamatan apabila mereka perlu mengenakan topi keledar dan lampu.

“Sebenarnya bagi komuniti ini, kami berkumpul setiap malam Jumaat untuk berkayuh bersama tetapi kali ini objektifnya bagi mengumpul dana membiayai rawatan sahabat kami.

“Jumlah ahli komuniti lebih ramai. Saya gembira dan bersyukur apabila ramai kenalan turun memberikan sokongan kepada program ini.

“Kami berharap dengan usaha ini dapat meringankan beban ditanggung saudara kami, Dimi.

“Pada hari kayuhan, sudah genap seminggu dia diserang angin ahmar dan masih perlukan rawatan rapi bagi memulihkan kesihatannya.

“Kos untuk rawatan susulan dijangka memerlukan sekitar RM30,000.

“Dalam kayuhan amal ini kami menerima kehadiran peserta berumur belasan tahun hinggalah 50-an.

“Serentak dengan kayuhan malam ini, sahabat kami di Perak dan Melaka turut menganjurkan kayuhan di lokasi masing-masing,” katanya.

Azrul berkata, selain kayuhan, pihaknya juga melancarkan kutipan dana dalam talian untuk menambah jumlah bantuan.


PESERTA membacakan doa sebelum acara kayuhan dilepaskan.

“Jumlah kutipan diterima pada hari kayuhan amal berkenaan, kami menerima RM2,000 daripada komuniti.

“Selain kayuhan ini, kami turut mengumpulkan dana menerusi dalam talian dan juga daripada kenalan rapat,” katanya. Kayuhan berkenaan disertai komuniti pelbagai kategori basikal daripada basikal jalan hinggalah kepada ‘fatbike’.

Sementara itu, mengenai Yellow Bike Company, Azrul berkata, dengan keadaan Dimi masih belum pulih sepenuhnya, dia terpaksa memfokuskan perkembangan pasukannya menerusi perlumbaan luar.

“Buat masa ini saya terpaksa fokus pada prestasi pelumba bakal berentap di kejohanan di Korea dan Indonesia,” katanya.

Manakala peserta kayuhan berkenaan, Syafiq Rahmat berkata, sebagai sebahagian daripada komuniti dan mengenali Dimi, dia terpanggil untuk turut bersama-sama memeriahkan kayuhan amal terbabit.

“Pada saya wajar untuk saya turut dalam kayuhan sebagai tanda sokongan buat rakan yang berada dalam kesusahan.

“Selain bagus untuk kesihatan, ia juga menyemai nilai murni apabila kita berkayuh dan pada masa sama menyumbang dana buat rakan,” katanya.


TENGKU Amir Shah beramah mesra dengan pesakit buah pinggang di pusat hemodialisis.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2019 @ 5:00 AM