MOHD Khairul Nizam dan Maizura bersama anak ketika menyertai program JTDL di Shah Alam, Selangor. FOTO: Supian Ahmad
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

KIRA-KIRA 20 tahun lalu, ketika ramai anak muda memilih bekerja makan gaji kerana memperoleh pendapatan tetap, Mohd Khairul Nizam Mohd Amin membuat pilihan sebaliknya dan memutuskan untuk bergiat dalam pertanian.

Minatnya dalam pertanian timbul berikutan ketika kecil, Mohd Khairul Nizam, 39, yang berasal dari Parit Yusof, Muar, Johor, sering mengikut bapanya, Mohd Amin Abdullah, berniaga di pasar tani Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di sekitar daerah berkenaan.


MOHD Khairul Nizam (tiga kiri) melayan Timbalan Ketua Pengarah FAMA, Mansor Omar (tiga kanan) yang melawat gerai nanasnya.

Hatinya seronok melihat orang ramai berkunjung ke gerai bapanya dan membeli pelbagai hasil tanaman kebanyakannya produk kampung. Bertitik tolak dari situ, Mohd Khairul Nizam mempelajari selok-belok berniaga, namun pada masa sama beliau juga belajar bercucuk tanam.

“Saya meneruskan pekerjaan bapa menjual hasil tanaman di pasar tani selepas beliau bersara. Malah, pada masa sama saya juga mengerjakan tanah yang ada dengan tanaman ubi kayu, keladi dan keledek.

“Sebagai generasi kedua yang mengusahakan aktiviti pertanian, saya beranggapan bekerja sendiri adalah peluang menjana pendapatan lebih lumayan, di samping waktu kerja yang fleksibel.

“Bagi saya yang dibesarkan dengan hasil pertanian, bidang ini banyak potensi pendapatan lumayan jika diusahakan dengan betul dan bersungguh-sungguh,” katanya.

Dalam memajukan aktiviti pertanian dijalankannya supaya seiring dengan permintaan pasaran, Mohd Khairul Nizam mengusahakan tanaman nanas dengan bantuan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

“Saya ingin menyahut seruan LPNM yang menggalakkan ramai pekebun mengusahakan tanaman nanas berikutan pihak berkenaan menyasarkan pengeluaran pelbagai jenis nanas di negara ini menjelang 2020 dalam usaha menjadikan Malaysia antara pengeluar nanas terbesar dunia.

“Difahamkan, ketika ini negara masih tidak dapat memenuhi banyak permintaan untuk mengeksport buah berkenaan terutama dari China.

“Saya merebut peluang yang diberikan dan menanam pelbagai jenis nanas seperti Moris Gajah, MD2, Josapine dan Moris. Sebelum ini kita tanam nanas untuk dimakan sendiri saja, namun sebenarnya ia boleh dipasarkan sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Malah, FAMA juga banyak membantu dari segi pemasaran dan menerusi program sedia ada membolehkan pekebun kini menjadi pemborong serta pengeksport. Bagaimanapun, Mohd Khairul Nizam tidak bersendirian dalam mengkomersialkan tanaman nanas itu apabila usaha berkenaan turut dijalankan bersama isteri, Maizura Adri, 35.

“Dua adik saya iaitu Mohd Hafifi, 27, dan Mohd Sazwan, 23, serta adik ipar, Muhammad Effendi, 27, turut membantu terutama dalam kerja pemasaran. Kami sering menyertai program anjuran FAMA di seluruh negara bagi menggalakkan orang ramai membeli nanas tempatan.

“Antara program disertai ialah jualan terus dari ladang (JTDL) yang menawarkan produk segar dengan jaminan kualiti baik pada harga lebih rendah berbanding pasaran,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, mereka tidak tertumpu pada jualan nanas saja apabila turut bertindak sebagai peraih tanaman lain dan menjualnya di pasar tani.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2019 @ 4:30 AM