PEMANDANGAN dari dek atas kapal. FOTO NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my

Pengembaraan empat hari tiga malam menaiki kapal persiaran mewah dirasakan singkat apabila tempoh percutian itu dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik dilakukan di dalam kapal dan di destinasi persinggahan laluan perjalanan. Apatah lagi, penumpang berpeluang untuk melakukan kerja amal sambil bercuti ketika berada di destinasi persinggahan laluan kapal persiaran bagi memberi pengalaman berbeza kepada mereka yang mahukan kelainan dalam percutian.

Buat julung kalinya, Genting Cruise Lines melancarkan kempen ‘voluntourism’ serantau pertama di Asia melalui pelayaran Dream Cruises dan Star Cruises sempena perayaan Ulang Tahun Genting Cruise Lines ke-25 tahun ini.

Penumpang berpeluang mewarnai pengalaman percutian mereka dengan menyertai pelbagai aktiviti sukarela secara percuma untuk membantu dan menyumbang kepada masyarakat di rantau ini sambil menikmati percutian pelayaran ke destinasi menarik.

Aktiviti bertemakan ‘voluntourism’ itu disediakan pada tarikh dan jadual pelayaran tertentu di atas kapal persiaran Dream Cruises dan Star Cruises bagi membolehkan penumpang yang bercuti bersama keluarga atau rakan berkongsi pengalaman unik dengan menyertai aktiviti sukarela disediakan ketika lawatan ke lokasi menarik di Asia.


PENULIS mencuba permainan yang disediakan kepada penumpang kapal. FOTO NSTP

Sewaktu pelayaran dari Singapura ke Pulau Pinang dan Phuket, Thailand bermula 24 hingga 27 Februari lalu, penulis berpeluang menyertai dua aktiviti sukarela itu bersama rakan media dari Malaysia, Singapura dan Indonesia yang turut serta dalam pelayaran kapal mewah berkenaan.

Seramai 52 peserta merangkumi wartawan, jurukamera, juruvideo dan selebriti dari tiga negara dijemput menyertai pelayaran berkenaan sambil mengambil bahagian dalam aktiviti sukarela diadakan di Pulau Pinang dan Thailand.

Pada hari kedua pelayaran, kru bertugas membawa kami bersiar-siar mengelilingi kapal dengan menunjukkan beberapa kemudahan dan bilik penginapan mengikut kategori yang disediakan kepada penumpang.


PERMAINAN catur,gergasi yang menguji pemerhatian dan minda. FOTO NSTP

Menjelang 2 petang pula, kapal berkenaan berlabuh di Pulau Pinang, lantas kami meneruskan perjalanan ke Eden Handicap Service Center, Georgetown yang mengambil kira-kira 20 minit untuk sampai dengan menaiki bas.

Sebaik tiba, kami disambut mesra oleh pengurus rumah kebajikan berkenaan, Bertie Thye bersama kira-kira 50 pekerja terdiri daripada golongan kurang upaya yang menjalani latihan di rumah kebajikan itu.

Di situ, lebih 200 individu kurang upaya berusia antara empat hingga pertengahan 50 tahun yang terdiri daripada tiga jenis golongan kurang upaya membabitkan kecacatan jasmani, mental serta masalah pembelajaran mendapatkan latihan.


PENULIS dan peserta program bersama-sama pekerja di Eden Handicap Service Center mengisi mainan di dalam bekas. FOTO NSTP

Kami meluangkan masa kira-kira dua jam di rumah kebajikan terbabit sambil beramah mesra dan membantu pekerja mengisi mainan di dalam bekas yang juga antara tugas serta latihan yang dilakukan oleh peserta.

Selain kami (52 peserta yang dijemput menyertai pelayaran itu), kira-kira 20 kru kapal daripada pelbagai bahagian juga mengikuti program sukarela itu. Mereka bawa aneka makanan sebagai sumbangan kepada rumah kebajikan berkenaan.

Berbaki beberapa jam sebelum memasuki kapal semula, kami dibawa bersiar-siar di sekitar Georgetown termasuk ‘street art’ dan ‘clan jetties’ untuk mengambil gambar sambil menikmati makanan tempatan Pulau Pinang.

Pada sebelah malam hari kedua, penulis berpeluang melihat persembahan pentas ‘Some Like It Hot’ oleh kumpulan penari negara asing selama hampir satu jam di ‘Zodiac Theatre’ yang bermula jam 9 malam.


PESERTA program sukarela menyantuni pelatih di Eden Handicap Service Center Pulau Pinang. FOTO NSTP

Hari ketiga pelayaran bermula dengan lebih awal memandangkan kapal itu tiba di Phuket, Thailand kira-kira jam 8 pagi. Semua yang menyertai program sukarela diminta berkumpul lebih awal kerana kami perlu bergerak ke jeti menggunakan bot.

Perjalanan menuju ke jeti pulau berkenaan mengambil masa kira-kira 15 minit memandangkan kapal terpaksa berlabuh jauh dari jeti. Difahamkan kapal itu tidak dapat berlabuh berhampiran jeti kerana air laut yang cetek.

Kami kemudian disambut oleh sekumpulan pemandu pelancong yang membawa peserta program ke Sekolah Baan Kalim yang terjejas akibat tsunami pada Disember 2004 dengan menaiki dua bas.


DERETAN bot penumpang menyajikan pemandangan berbeza. FOTO NSTP

Lokasi sekolah berkenaan hanya 100 meter dari kawasan pantai membolehkan kami menyaksikan pemandangan indah dari tingkat tiga bangunan sekolah yang dibina semula setahun selepas bencana alam itu.

Sekolah berkenaan mempunyai 170 murid berusia antara empat hingga 12 tahun dan dibimbing 14 guru yang mengajar pelbagai subjek. Sekolah itu dbuka pada 1969 dengan struktur bangunan sekolah dibina menggunakan kayu.

Bagaimanapun, kejadian tsunami menyebabkan bangunan sekolah ranap sepenuhnya. Bangunan sekolah setinggi tiga tingkat dibina semula dengan struktur konkrit pada 2005.

Di sekolah terbabit, peserta program dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk pembahagian tugas membabitkan aktiviti mengecat dan beramah mesra bersama murid.

Dalam program kali ini, penulis ditugaskan untuk mengecat bilik mesyuarat di aras tiga.

Kami diberi masa hampir dua jam untuk mengecat setiap bilik yang ditugaskan dengan bantuan guru sekolah yang turut memeriahkan acara. Malah, kami sempat mengadakan permainan dan sesi soal jawab ringkas bersama murid.


BERGANDING bahu mengecat di Sekolah Baan Kalim, Phuket, Thailand. FOTO NSTP

Sebaik selesai program itu, kami dibawa ke pusat beli-belah Jungcylon yang terkenal dengan kraftangan dan cenderamata sebagai tanda kenangan untuk dibawa pulang.

Bagaimanapun, tempoh membeli-belah dirasakan terbatas kerana kami perlu bergegas ke jeti untuk menaiki bot yang menghantar kami ke kapal bagi meneruskan perjalanan pulang ke Singapura kira-kira jam 8 malam.

Suasana malam terakhir memang meriah dengan pelbagai aktiviti termasuk pertunjukan bunga api di ruang terbuka berhampiran kolam renang sebagai tanda meraikan penumpang yang menyertai pelayaran berkenaan.

Sebelum kapal berlabuh di Singapura, penulis berkesempatan mencuba pelbagai aktiviti pada hari terakhir termasuk bermain luncur air, berendam dalam kolam mandi panas, selain mencuba permainan lain yang disediakan seperti catur gergasi, pingpong, golf miniatur dan laluan bertali. Kapal tiba di Singapura kira-kira jam 6 petang, 27 Februari.

Penulis merasakan pengalaman mengikuti percutian pelayaran itu amat istimewa kerana selain dapat berseronok dan menikmati pelbagai kemudahan di dalam kapal itu, penulis juga berpeluang melakukan aktiviti sukarela untuk masyarakat.

Anda ada cerita percutian yang menarik untuk dikongsikan? Tunggu apa lagi, kirimkan catatan perjalanan anda ke metahad@hmetro.com.my. Bermula 17 Mac ini, rencana dari pembaca yang terpilih untuk disiarkan di Xpresi akan menerima hamper sumbangan BiO-LiFE bernilai RM 275 dengan produk baru MEGA-C Plus Bioflavonoid dan Vitamin C dalam sachet. Pertama di Malaysia! Amat sesuai ketika melancong.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 8:03 AM