PESERTA kayuhan TSG Shimano Yellow Ride di Kuala Terengganu.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

BERKONVOI bersama juara. Itulah pengalaman dikecapi peserta kayuhan TSG Shimano Yellow Ride di Kuala Terengganu baru-baru ini apabila juara Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018 mewakili Terengganu Cycling Team, Artem Ovech­kin turut sama dalam kayuhan itu.

Bukan itu saja, kayuhan ketahanan sejauh 102 kilometer itu disifatkan penganjuran bertaraf antarabangsa apabila peserta diiringi lebih 250 petugas membabitkan Polis Diraja Malaysia, Rela, Bomba, pasukan perubatan swasta dan sukarelawan Persatuan Lumba Basikal Terengganu.


AKTIVITI untuk orang ramai turut hadir ke lokasi.

Seramai 2,019 peserta memenuhi laluan dari Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu menuju Hulu Terengganu dan dua perhentian rehat iaitu Sekolah Sukan Bukit Nenas Sungai Trong (P1) dan Telemong, Hulu Terengganu (P2) sebelum kembali ke garisan penamat iaitu lokasi sama pelepasan peserta.

Ketua Pegawai Operasi Terengganu Cycling Team (TSG) Nasiruddin Wan Idrus berkata, sehingga menjelang hari kayuhan penyertaan diterima sa­ngat menggalakkan apabila 2,600 mendaftar tetapi terpaksa dihadkan kerana kapasiti kru yang terhad.

“Kami sudah tetap­kan 2,019 tempat untuk konvoi kali ini. Ia sebagai simbolik penganjuran TSG Shimano Yellow Ride dianjurkan pada tahun ini, selain kapasiti kru hanya mampu menampung 2,100 peserta berikutan penajaan dan kru iringan yang ada.

“Lagipun pemilihan laluan untuk peserta kali ini di laluan kampung yang sempit, jadi atas faktor keselamatan kami hadkan jumlah itu. Ini adalah pe­nganjuran kedua selepas 2017 apabila dinamakan Fellowship Ride Terengganu.


BASIKAL berhias turut berada di lokasi kayuhan berkenaan.

“Kini pemilihan nama itu TSG Shimano Yel­low Ride sebagai tanda meraikan kemenangan peserta TSC dari Russia iaitu Artem Ovechkin apabila berjaya memecah keheningan 23 tahun tanpa kemenangan dalam LTdL 2018,” katanya.

Biarpun tidak menjanjikan sebarang hadiah kemenangan, program kayuhan santai itu menarik peserta luar dari Terengganu dan peminat aktiviti berbasikal luar negara.

“Meskipun kayuhan ini membabitkan konsep kayuhan santai dan bukan perlumbaan, ia menarik minat aktiviti basikal dari serata Malaysia apabila peluang dapat bersama pelumba profesional, apatah lagi ranking TSC ketika ini dikenali sebagai pasukan nombor satu Asia.

“Kehadiran peserta turut disertai pelumba dari luar negara seperti Brunei, Singapura, Thailand dan Indonesia yang ternyata memeriahkan sambutan kali ini.


MEMERIAHKAN jalan kampung di laluan Kuala Terengganu ke Setiu.

“Acara ini ialah antara inisiatif meraikan pelancongan sukan di Malaysia. Melalui aktiviti berbasikal peserta dapat melihat lokasi menarik sekitar Terengganu. Setiap penganjuran kami perkenalkan trek baru,” katanya turut memaklumkan 11 pelumba profesional TSC menyertai konvoi kali ini termasuk dua pelumba import.

Acara berkenaan yang menerima tajaan lebih RM215 ribu dari Shimano Singapura turut mendapat sokongan 47 syarikat swasta dan agensi kerajaan termasuklah kerajaan negeri Terengganu.


KRU keselamatan mengiringi peserta termasuklah anggota Polis Diraja Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2019 @ 11:00 AM