FOTO Ihsan Mohd Izwan Hamzah
Mohd Izwan Hamzah
metahad@hmetro.com.my

Melihat Zalina Mohd Som (Kak Rynn) meneruskan perjalanan menuju ke puncak membuatkan hati penulis sedih kerana terpaksa turun balik ke Base Camp selepas berada pada ketinggian 6,000 meter (m). Hanya sedikit lagi jarak yang perlu dijangkau namun keadaan fizikal tidak membenarkan penulis meneruskan perjalanan ke puncak Stok Kangri pada ketinggian 6,153m.

Perjalanan ke puncak yang diselaputi salji dan kabus tebal membuat jarak penglihatan pada masa itu amat membahayakan. Itulah situasi pada ekspedisi pertama penulis ke Stok Kangri, India pada 2017.

Penulis bersama enam rakan yang lain bersyukur selamat tiba di Base Camp Stok Kangri. Tempat yang kali kedua penulis jejaki ini masih sama dan tidak banyak perubahan. Ketua pengurus tapak, Mr Jacky masih mengenali penulis walaupun sudah setahun berlalu. Ketika itu ramai pendaki memacak khemah masing-masing di sekitar kawasan Base Camp.

Walaupun sudah dua kali sampai ke kawasan pada ketinggian 4,900m itu, penulis masih mengalami simptom mabuk gunung tetapi tidak terlalu serius seperti sebelum ini. Kami diberi taklimat ciri-ciri keselamatan untuk mendaki Stok Kangri.

Taklimat ini banyak menekankan aspek keselamatan ketika mendaki gunung ini. Seorang jurupandu profesional ditugaskan memberi taklimat cara penggunaan tali, crampon dan kapak ais yang betul. Selepas taklimat selesai, kami dibawa naik ke satu puncak di sebelah base camp untuk aktiviti aklimatisasi atau penyesuaian iklim pada ketinggian 5,400m.


SEMPAT bergambar pada hari latihan. FOTO Ihsan Mohd Izwan Hamzah

Perjalanan kali ini melayan cerun 60 darjah terasa amat memeritkan. Keadaan darjah kecerunan yang tinggi memaksa kami mengatur langkah dengan berhati-hati. Permukaan berbatu kecil mudah membuatkan seseorang jatuh dan tergelongsor jika tidak pandai menstabilkan diri.

Setibanya di puncak, kami dihidangkan pemandangan yang tidak dapat diucapkan. Sungguh cantik. Hanya perkataan Subhanallah yang meniti di bibir. Seorang demi seorang rakan sampai di puncak ini.

Dalam keadaan cuaca yang baik, kemunculan puncak Stok Kangri di hadapan kami menguatkan lagi semangat untuk menaklukinya. Sambil menunggu rakan-rakan lain, penulis merakam gambar kenangan. Selepas hampir sejam berada di puncak ini, kami mula turun ke base camp untuk berehat. Mengikut jadual yang diterangkan semasa taklimat sebentar tadi, kami dijangka memulakan perjalanan ke puncak pada jam 11 malam.


LALUAN berbatu yang meragut tenaga. FOTO Ihsan Mohd Izwan Hamzah

Mula dengan langkah perlahan

Tepat jam 10.30 malam, penulis dikejutkan oleh Nor Faizal Nordin yang menjadi rakan sekhemah dalam ekspedisi ini bagi membuat persiapan akhir sebelum ke puncak. Hanya barang penting dibawa bagi mengurangkan beban ketika mendaki.

Sebelum memulakan perjalanan kami diberi pek makanan untuk dimakan semasa perjalanan ke puncak. Pek makanan itu cukup memenuhi keperluan tenaga ketika mendaki dan turun dari puncak Stok Kangri.

Sekali lagi, sebelum memulakan perjalanan ke puncak, Barry Victor mengambil keputusan tidak turut serta atas faktor kesihatan dan keselamatan. Kami akur dengan keputusan itu. Dalam kumpulan kecil ini penulis ditemani Mohd Azlee Mustafa, Nor Faizal, Majdi Mohammad, Abdul Shukor Abdul Rashid dan Tan Wan Shin bersama empat jurupandu yang akan meneruskan perjalanan.

Perjalanan di tengah malam dimulakan dengan mendaki bukit yang kami daki siang tadi. Terasa amat meletihkan kerana mendaki sebaik bangun tidur. Penulis mengambil masa lebih lama untuk menyempurnakan pendakian berbanding perjalanan siang tadi. Selepas tiba di atas bukit itu, penulis berhenti rehat seketika untuk menunggu rakan lain. Dalam kegelapan malam, perjalanan terasa amat terang dengan dihiasi cahaya bintang dan bulan memudahkan perjalanan seterusnya.


LALUAN ke puncak Stok Kangri. FOTO Ihsan Mohd Izwan Hamzah

Selepas semua tiba dan berehat, kami meneruskan perjalanan dan seperti biasa, penulis memulakan langkah yang amat perlahan dan di belakang rakan lain. Secara perlahan-lahan juga penulis meninggalkan seorang demi seorang dan sampai ke ‘advance base camp’. Ketika sampai, penulis diberitahu Faizal terpaksa berpatah balik kerana mengalami masalah kesihatan.

Kini tinggal kami berlima untuk meneruskan usaha menuju ke puncak. Dalam kegelapan malam, langkah kami lebih berhati-hati kerana melalui glasier yang mencair mungkin pecah dan jatuh ke dalam air sejuk jika memijak permukaan ais yang nipis. Jurupandu berpengalaman juga berulang kali menunjuk arah jalan yang selamat untuk dilalui.

Dugaan mental

Selepas melalui kawasan glasier, penulis berehat sebentar sementara menunggu rakan lain sambil mengunyah makanan bagi memulihkan tenaga. Jurupandu memberitahu Azlee terpaksa berpatah balik ke base camp kerana kehabisan tenaga. Tidak banyak perbualan antara kami berempat sepanjang perjalanan ini kerana masing-masing menyimpan tenaga untuk perjalanan yang panjang ini.

Kali ini tiba giliran Majdi pula yang terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada puncak Stok Kangri kerana tidak berupaya untuk meneruskan perjalanan dan disusuli oleh Shin yang kesejukan akibat terjatuh ke dalam air ketika melalui glasier.

Tinggal penulis dan Abdul Shukor cuba bertahan. Penulis sempat berjalan bersama-sama Abdul Shukor dan masing-masing menunjukkan muka penat. Dalam masa sama penulis memberi kata-kata semangat kepadanya supaya dapat bersama di puncak Stok Kangri.


KEINDAHAN ciptaan Allah yang sukar diucapkan. FOTO Ihsan Mohd Izwan Hamzah

Selepas beberapa ketika, Abdul Shukor meminta penulis jalan dulu kerana berasakan rentaknya semakin perlahan. Sebelum berpisah, penulis berpesan supaya jangan patah semangat untuk meneruskan perjalanan ke puncak.

Ketika mendaki curam setinggi 70 darjah dengan keadaan permukaan muka bumi yang berbatu dan tompokan salji, sesekali penulis menoleh ke bawah melihat Abdul Shukor yang bergelut untuk melangkah. Walaupun dengan langkah perlahan tetapi penulis masih bertenaga untuk meneruskan perjalanan ini.

Pengalaman tahun lalu memberi semangat kepada penulis untuk ke puncak berbekalkan doa daripada orang yang tersayang serta rakan. Perlahan-lahan penulis meneruskan perjalanan dan meninggalkan Abdul Shukor di belakang yang akhirnya terpaksa melepaskan impian untuk menjejak kaki ke puncak Stok Kangri. Memang penulis cukup terkesan apabila jurupandu memberitahu Abdul Shukor mengambil keputusan untuk berpatah balik ke base camp.

Ingat pesan Kak Rynn

Lebih kurang jam 7 pagi penulis tiba di permatang. Tahun lalu, permatang ini yang berketinggian 6,000m pernah menjadi saksi penulis terpaksa melepaskan tali keselamatan dan meninggalkan Kak Rynn bersendirian bersama jurupandu naik ke puncak Stok Kangri.

Hanya tinggal kami berdua ketika itu dan Kak Rynn memberi kata-kata semangat ‘tamatkan perjalanan yang kita mulakan’. Kata-kata itu benar-benar menyemarakkan semangat penulis meneruskan usaha. Walaupun ada semangat, tetapi kerana keadaan fizikal yang terlalu lemah dan keadaan jalan yang berbahaya, jurupandu menasihatkan penulis untuk turun semula.


PEMANDANGAN indah di puncak Stok Kangri. FOTO Ihsan Mohd Izwan Hamzah

Kali ini dengan semangat tahun lalu dan doa Kak Rynn yang ketika itu menunaikan haji, penulis membulatkan tekad mencapai misi. Memang perjalanan ke puncak amat berbahaya. Justeru penulis dan jurupandu mengikat badan antara satu sama lain bagi tujuan keselamatan. Di sini, penggunaan kapak ais amat membantu untuk melangkah.

Perjalanan di atas bongkah batu di kiri kanannya tebing tinggi membuatkan penulis kecut perut dan mengingatkan kembali situasi tahun lepas dan keputusan tidak meneruskan perjalanan kerana laluan ke puncak amat berbahaya adalah tepat.

Langkah demi langkah yang lemah mendekatkan penulis ke puncak. Selepas sejam setengah berjalan, penulis terhenti kerana

tiada lagi jalan yang harus dituju. Rupa-rupanya itulah puncak Stok Kangri. Alhamdulillah, Allahuakbar, Subhanallah. Penulis sujud syukur dan tiada kata yang boleh diucapkan.


KEJAYAAN manis di puncak Stok Kangri walaupun bersendirian. FOTO Ihsan Mohd Izwan Hamzah

Syukur dikurniakan cuaca yang baik. Pemandangan yang amat menakjubkan ini terasa diri amat kerdil di dalam dunia ini. Dalam hati penulis mendoakan tiga empat pendaki lain di bawah yang bertungkus-lumus untuk ke puncak. Peluang sendirian selama 30 minit digunakan sepenuhnya merakam gambar dan video untuk dijadikan rujukan anak cucu dan rakan yang mendoakan perjalanan ini.

Sebelum turun, sekali lagi tali keselamatan diperiksa dan diperkemaskan bagi menjamin keselamatan ketika menuruni gunung ini. Walaupun perjalanan turun tidak sepenat mendaki, tetapi tetap berisiko kerana banyak kemalangan berlaku disebabkan pendaki yang keletihan kurang fokus pada setiap langkahnya. Perjalanan sejauh tujuh kilometer ke base camp ini mengambil masa enam jam.

Dari jauh rakan bersorak gembira sebaik penulis tiba. Dalam dihujani ucapan tahniah, penulis sempat menjeling ke arah jam yang menunjukkan angka 2.30 petang - detik penting yang menandakan berakhirnya misi bersejarah itu!


BERSAMA rakan pendaki yang tidak putus-putus memberi semangat. FOTO Ihsan Mohd Izwan Hamzah

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Februari 2019 @ 7:07 AM