Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my

Kota cahaya, kota cinta dan kota fesyen. Itu nama jolokan kota Paris yang terletak di Perancis meraih puluhan juta kunjungan pelancong saban tahun kerana pelbagai daya tarikan termasuk pemandangan romantik sesuai untuk lokasi berbulan madu.

Kota Paris juga meraih reputasinya kerana di bandar raya itu menjadi ‘kampung halaman’ beberapa jenama besar dalam dunia fesyen antara yang paling popular adalah Louis Vuitton.

Kota raya ini tidak perlu diperkenalkan lagi kerana tatkala menyebut Paris sudah pasti terbayang Menara Eiffel satu daripada keajaiban dunia menerusi kejayaan manusia membina binaan logam yang sehingga kini tersergam dan menjadi mercu tanda di Perancis.

Paris secara asasnya mempunyai keluasan hanya 105 kilometer persegi berbanding beberapa kota tarikan dunia lain sekali gus menjadi antara kota paling kecil sebagai destinasi pelancongan popular.

Jika melawat Paris, pasti dalam jadual wajib adalah Menara Eiffel dan penulis merasakan destinasi itu terlalu sinonim dengan kota berkenaan.

Penulis memilih untuk keluar sedikit dari kota Paris dan menaiki kereta kira-kira 30 minit mengunjungi sebuah lokasi tarikan yang kurang diberikan tumpuan oleh pelancong.

Bandar Versailles kira-kira 25 kilometer dari kota Paris, tidak kurang daya tarikannya malah sinonim dengan corak kehidupan di Eropah yang keluar daripada kesesakan kota.

Jika di Paris tersergam Menara Eiffel yang boleh dilihat dari segenap sudut, Versailles mempunyai Istana Versailles yang pernah menjadi singgahsana Raja Louis ke-14 sebelum Revolusi Perancis.

KEADAAN Sungai Seine yang menjadi nadi Kota Paris sejak ratusan tahun lalu dan masih dijaga sehingga ke hari ini. FOTO NSTP

Penulis melawat Istana Versailles yang tersimpan 1,001 sejarah awal Perancis dan mujur kunjungan penulis pada musim sejuk dan bolehlah menikmati pemandangan putih ketika memasuki istana berkenaan.

Sebelum ini, penulis hanya berkesempatan melihat konsep istana di Eropah menerusi pelbagai filem Hollywood iaitu mempunyai laluan panjang selepas melepasi pintu gerbang dan suasana itu dialami sendiri ketika melangkah masuk ke kawasan istana.

Istana Versailles disenaraikan sebagai Khazanah Dunia kerana menyimpan pelbagai bukti sejarah terutamanya ketika zaman kegemilangan sistem beraja di Perancis.

Menerusi fakta sejarah, istana itu siap dibina oleh Raja Louis ke-13 pada 1682 dan pada asalnya, digunakan sebagai rumah persinggahan ketika memburu oleh raja berkenaan.

PEMANDANGAN pintu masuk Istana Versailles yang dibina oleh Raja Louis ke-13. FOTO NSTP

Selepas ketiadaan Raja Louis ke-13, istana itu diisytiharkan sebagai istana rasmi Perancis oleh anak Raja Louis ke-13 iaitu Raja Louis ke-14.

Istana berkeluasan 63,154 meter persegi mempunyai 2,300 bilik termasuk beberapa dewan utama yang dahulunya dijadikan tempat menerima pelbagai tetamu daripada negara lain.

Pada 1789, berlaku Revolusi Perancis yang memaksa Raja Louis ke-16 meninggalkan Versailles dan kembali ke Paris. Selepas revolusi berkenaan, istana berkenaan tidak pernah menjadi kediaman diraja sehingga ke hari ini.

Istana berkenaan menjadi muzium pada 1837 atas arahan Raja Louis-Philippe dan menjadi tarikan pelancong untuk melihat kesan tinggalan sejarah ketika zaman kegemilangan zaman diraja Perancis.

Penulis melihat sendiri kesan tinggalan sejarah dan banyak lukisan bernilai tinggi menghiasi pelbagai ruang dalam istana berkenaan.

Kebanyakan lukisan menonjolkan imej dan kekuasaan Raja Louis serta konsep dewa Greek selain lukisan menampilkan Jesus Christ.

SENI reka dalaman istana yang menonjolkan konsep Tuhan Greek. FOTO NSTP

Pengunjung juga boleh mendapatkan khidmat jurupandu untuk memberi penerangan berhubung latar sejarah setiap bilik dan tinggalan monumen seperti patung Raja Louis.

Kebanyakan barang perhiasan di istana ini adalah tulen dan berada dalam istana berkenaan sejak ratusan tahun lalu dan dijaga rapi supaya kekal utuh.

Kunjungan penulis di istana itu sememangnya memberi gambaran jelas berhubung tahap kekuasaan zaman sistem beraja Perancis sebelum berlaku revolusi.

Sejarah menunjukkan Perancis ketika zaman sistem beraja diiktiraf sebagai negara yang kuat dan selepas revolusi kekal berkuasa dengan melahirkan ramai tokoh antaranya Napoleon Benoparte.

Penulis menghabiskan masa hampir dua jam dalam istana berkenaan melawat setiap bilik dan mendengar penerangan berhubung setiap sejarah yang berlaku.

PENULIS menatap potret Napoleon Benoparte yang turut menghias salah satu bilik dalam Istana Versailles. FOTO NSTP

Selesai penulis mengunjungi Versailles, penulis kembali ke kota Paris yang tidak kurang dengan kesan sejarah seperti Arc De Triomphe, Notre-Dame, Muzium Louvre dan beberapa lagi lokasi menarik.

Paris sememangnya satu destinasi yang wajar dikunjungi kerana bukan saja tarikan pusat tumpuan fesyen sebaliknya mempunyai pelbagai kesan sejarah sesuai dengan lokasinya antara kota lama di dunia ini.

GEREJA Notre Dame dibina pada 1163 memberi gambaran jelas seni rekaan bangunan ketika era pemerintahan diraja Perancis. FOTO NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Februari 2019 @ 7:03 AM