Acara meriah itu diadakan di Happy Paradise Resort bermula semalam bertujuan merapatkan kembali hubungan silaturrahim selepas masing-masing membawa haluan.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin
cnews@nstp.com.my

PUSAT peranginan Janda Baik, Pahang, riuh rendah seketika apabila 170 bekas penuntut dan ahli keluarga jurusan Kajian Sebaran Am (KSA), Universiti Teknologi Mara (UiTM) tahun 1994 -97 berkumpul semula selepas 22 tahun berpisah.

Acara meriah itu diadakan di Happy Paradise Resort bermula semalam bertujuan merapatkan kembali hubungan silaturrahim selepas masing-masing membawa haluan.

Pelbagai aktiviti dijalankan pada program dua hari itu antaranya bacaan tahlil, acara sukaneka, tayangan video dan gambar lama sewaktu menuntut di UITM Lendu, Melaka, cabutan bertuah selain persembahan oleh bekas penuntut.

Pengerusi Jawatankuasa Majlis Reunion Alumni Masscomm UiTM 1994-97, Akhbar Puteh berkata, pertemuan itu dapat mengubati kerinduan mereka selain mengimbas semula memori zaman manis bergelar pelajar.

“Majlis ini dijadikan platform bagi kami untuk bertemu kembali selain mengukuhkan lagi hubungan sedia terbina,” katanya.

Sejarah KSA bermula pada tahun 1972 sebelum ia kini dikenali sebagai Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Februari 2019 @ 12:06 AM