PELEPASAN peserta.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

Meskipun Jom Kayuh Bandar Utama Damansara hanya satu program anjuran komuniti setempat iaitu Persatuan Penduduk BU2 Bandar Utama Petaling Jaya, namun rata-rata mengakui ia setaraf dengan penganjuran kayuhan berprestij.

Pengerusi Program, Ivan Woo berkata, pihaknya tidak menyangka acara yang bertujuan mengajak penduduk setempat mengekalkan gaya hidup sihat menerusi aktiviti berbasikal, turut mendapat sokongan pelbagai pihak termasuklah komuniti istimewa Bike Is Able menerusi penyertaan ahli keluarga bersama anak-anak serebrum palsi.

Kata Ivan, kayuhan yang dijayakan 400 peserta itu memberi peluang mereka menjelajah bandar sejauh 20 kilometer dan ia dianggap ‘lawatan menyeronokkan’ memandangkan kebanyakan baru kali pertama mengikuti acara berbasikal.


ANTARA peserta yang berjaya menamatkan cabaran.

“Saya mendapat sokongan padu empat ahli jawatankuasa termasuk Pengerusi Bersama, Chow Yew Nam dan jawatankuasa lain, Lee Sook Fun, Audrey Yap dan Lilian Fang yang menjayakan portfolio masing-masing ketika berlangsungnya kayuhan.

“Sebenarnya kayuhan ini rentetan daripada kertas cadangan yang memenangi Anugerah Komuniti Lestari Petaling Jaya 2017 mengenai usaha pembinaan komuniti setempat membabitkan penduduk sekitar, agensi penguat kuasa serta pihak lain.

“Ini adalah pelaksanaan projek komuniti menerusi program kayuhan julung kali diadakan di laluan utama sekitar Bandar Utama.

“Ia semestinya pengalaman baru buat peserta yang selama ini melalui jalan ini dengan memandu kereta, berubah kepada kayuhan pula,” katanya.

Bagi kumpulan komuniti Bike Is Able menerusi wakilnya, Anita Mat Tahir, 41, berkata, sikap prihatin penganjur termasuklah memberi kemudahan kepada ibu bapa memiliki anak istimewa nyata satu layanan luar biasa.

“Sebagai seorang ahli keluarga yang memiliki anak istimewa iaitu Fatin Nur Fatehah Hasnizam, 6, usaha penganjur menyediakan kawasan parkir khas, kru iringan dan makanan serta minuman untuk kami adalah membanggakan.

“Mereka begitu berhemah melayan keperluan kami sepanjang kayuhan membuatkan perjalanan sejauh 20 kilometer ditempuh dengan mudah.

“Saya harap mereka akan terus menganjurkan program seperti ini pada tahun akan datang,” katanya.


KEBANYAKAN peserta hadir bersama keluarga.

Sementara itu, Chow menyifatkan sokongan padu diterima termasuklah kumpulan pengiring berjaya memastikan setiap peserta selamat tiba ke garisan penamat.

“Kami bersyukur pelbagai sokongan termasuklah dalam soal teknikal dan logistik iaitu dari Polis Diraja Malaysia terutama Balai Polis Damansara Utama, Pedal Explorer dan My Bicycle Shop.

“Terima kasih juga kepada sukarelawan yang terdiri daripada institusi pengajian berhampiran dan pertubuhan lain,” katanya.

Pelepasan disempurnakan Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua dan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP, Mohd Zani Che Din. Kayuhan turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong Keat Ping dan ADUN Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin.


JAWATANKUASA yang menggerakkan program Jom Kayuh Bandar Utama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Februari 2019 @ 7:06 AM