Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com

Sudah menjadi rutin buat tiga beradik Ahmad Hakym Ahmad Hilmy, 29, Ahmad Haryth, 26, dan Atilya Putri, 22, setiap kali berkunjung ke luar negara, mereka akan melakar bangunan ikonik yang ada di lokasi terbabit.

Bagi mereka lakaran bangunan yang terhasil mengikut kreativiti masing-masing dalam buku lakaran antara buah tangan terbaik untuk dibawa pulang sebagai koleksi sendiri.

Tambah menarik, masing-masing mempunyai cara tersendiri untuk menghasilkan karya dan pilihan subjek juga berbeza. Namun itu tidak menghalang mereka berkongsi minat sama lalu menubuhkan satu gerakan komuniti dipanggil KL Sketch Nation.

KL Sketch Nation digerakkan tiga bersaudara itu turut disertai kenalan yang mempunyai minat terhadap lukisan. Tujuannya ialah memberi peluang kepada umum untuk mempelajari seni lukisan atau lakaran.

Mengungkap rahsia sebalik bakat luar biasa dimiliki tiga saudara, rupanya mereka ini ialah anak kartunis terkenal iaitu Ahmad Hilmy Abdullah atau lebih popular dengan nama Mie dan pasangannya, Adlina Abd Shukor.

Kata Ahmad Hakym, bakat seni mengalir kuat ditambah pula ikatan kekeluargaan erat dan suka mencuba apa saja dilakukan bapanya membuatkan minat itu terus subur dalam dirinya serta dua adik yang lain.


BAKAT melukis mengalir dalam keluarga kartunis Mie. FOTO Mohd Khairul Helmy Mohd Din

“Kalau orang bertanya bila saya bermula, rasanya sejak kecil lagi. Maklumlah persekitaran dan ramai ahli keluarga mempunyai bakat dalam bidang seni. Rasanya arwah datuk yang juga anggota polis turut mempunyai bakat dalam bidang seni.

“Kemudian bakat itu diwarisi oleh bapa yang sudah aktif menjadi kartunis pada era 1980-an dan kemudian beralih kepada kerjaya lebih profesional sebagai arkitek.

“Bukan bapa saja, sebenarnya sepupu kami, Hafiz Sabri dan Amelia Rosli serta bapa saudara, Afiq Shukor turut memiliki bakat dalam seni lukisan,” katanya.

Bagi Ahmad Haryth, pada awalnya dia kurang yakin dengan bakat dimiliki dan hanya menjejak langkah bapa dan abangnya ketika usianya menjangkau 20-an.

“Mulanya memang tiada jiwa langsung untuk melukis. Kalau dulu subjek lukisan adalah subjek yang paling saya elakkan meskipun beberapa kali juga abang dan sepupu menggesa untuk mencuba.

“Sehinggalah 2014 apabila saya dipaksa melakar dan tidak sangka saya memiliki sentuhan seni terutama dalam menghasilkan kartun. Bagaimanapun saya lebih cenderung menggunakan kaedah digital.

“Transformasi saya ialah daripada buku lakaran kosong, saya pernah membukukan karya iaitu kartun sempena Ramadan Challenges untuk peminat kartun tempatan,” katanya.


SUDAH menjadi rutin tiga bersaudara memenuhi hujung minggu dengan aktiviti melakar bersama teman.

Saudara perempuan mereka tidak kurang hebatnya apabila mencipta kaedah tersendiri yakni menerusi teknik pembayangan (siluet) bagi menghasilkan potret individu.

Sementara itu bagi bapa mereka, kartunis Mie, dia tidak pernah memaksa atau mengajar anaknya untuk menguasai kemahiran seni sebaliknya memberi dorongan dalam aspek tertentu.

“Saya tidak pernah mengajar anak melukis tetapi sudah tabiat mereka suka ikut apa yang saya buat. Apabila sudah ‘mengikut’ dari kecil, akhirnya mereka mahir melukis. Kelebihannya adalah mereka ada akses kepada peralatan berkualiti yang saya gunakan.

“Kalau ibu bapa lain, biasanya untuk peringkat sekolah cat warna yang mereka guna standard biasa, tetapi anak-anak saya menggunakan semua peralatan saya termasuklah cat gred premium. Mereka jadi seronok apabila lihat hasilnya,” katanya.


HASIL karya Mie dipamerkan di Muzium Negara baru-baru ini. FOTO Syarafiq Abd Samad

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Februari 2019 @ 6:03 AM