MENGABADIKAN kenangan berlatarbelakangkan hamparan gunung salji di Sonamarg.
Rohani Badawi
metahad@hmetro.com.my

“Andai serpihan syurga jatuh ke bumi, mungkin jatuhnya di Kashmir.” Begitu bunyi sepotong ayat yang menjadi penguat azam untuk penulis menjejakkan kaki ke suatu tempat yang kononnya ibarat syurga dunia.

Biarpun ungkapan itu pendek, namun membuatkan penulis terfikir panjang akan keindahan wilayah yang terletak di utara India dan bersempadan dengan Pakistan. Perasaan ingin tahu sejauh mana kesahihan kata-kata itu mendorong penulis memilih Kashmir sebagai destinasi percutian, baru-baru ini.

Tambah lagi, tugasan sebagai guru bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan (SK) Pantai Layang di Tangkak, Johor, yang padat dengan aktiviti sekolah dan latihan pembelajaran memerlukan penulis mengambil percutian untuk menenangkan fikiran.

Kashmir sebenarnya suatu wilayah yang wujud bersama Jammu, maka ia lebih dikenali sebagai Jammu dan Kashmir (J&K). Bentuk geografi yang bergunung-ganang menawarkan begitu banyak lokasi menarik yang mampu membuatkan pelancong terpukau dan terpesona dengan keindahan alam.

Percutian lapan hari bersama beberapa rakan seperguruan dirancang dalam tempoh setahun berikutan kami mendapat cuti pada waktu yang sama hanya pada musim cuti sekolah. Selepas kata sepakat, kami memilih akhir November tahun lalu untuk berkunjung ke ‘Syurga Atas Dunia’ itu.

Kami bertolak dari Kuala Lumpur dengan penerbangan hampir tengah malam menuju Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi di Delhi Perbezaan masa awal dua setengah jam di India membolehkan pesawat tiba sekitar jam 9.30 malam dan kami sempat bermalam di hotel berhampiran lapangan terbang itu untuk mengambil penerbangan domestik keesokan pagi ke Srinagar, J&K.

Satu jam penerbangan ke Srinagar, namun dalam pesawat perasaan sudah tidak menentu kerana tidak sabar ingin segera menyapa dan menyentuh syurga dunia bersama isi alamnya. Penulis juga tidak sabar ingin membuktikan tanggapan negatif yang dilemparkan rakan mengenai J&K bahawa wilayah itu tidak selamat sebenarnya kurang tepat.


MENUNGGANG kuda menyusuri lembah Pahalgam.

Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Srinagar, kami diwajibkan mengisi borang untuk mengisytiharkan diri sebagai pelancong. Maklumat seperti butiran diri, berapa hari percutian, lokasi dilawati, tempat penginapan, visa pelancong dan pelbagai lagi perlu dilengkapkan. Mujur ada pemandu pelancong tempatan yang diupah, Aijaz Anchari, yang banyak membantu terutama dari segi komunikasi.

Seterusnya, kami dibawa ke penginapan rumah bot di Tasik Dal menaiki van. Sepanjang perjalanan, banyak sekali tentera bersenjata laras panjang dengan wajah tanpa senyum di kiri kanan jalan. Difahamkan, kehadiran askar itu sebagai kawalan keselamatan selain langkah berjaga-jaga, tetapi mereka tidak mengganggu pelancong.

Memandangkan rumah bot terletak agak ke tengah tasik, pengangkutan utama adalah shikara iaitu sampan berbumbung yang dihias cantik dengan pelbagai dekorasi. Rumah bot antara penginapan terkenal dalam kalangan pelancong dan dikatakan tidak lengkap kunjungan ke J&K jika tidak bermalam di situ.


BERGAMBAR bersama penduduk pekan Pahalgam.

Penulis terkejut melihat deretan rumah bot yang besar umpama istana megah tersergam dengan ukiran kayu tradisi yang menarik. Tambah mengagumkan apabila dekorasi dalamannya juga seperti kemudahan hotel lima bintang dan semakin unik kerana menyerlahkan budaya tempatan.

Hari pertama kami menelusuri bandar Srinagar yang juga nadi utama J&K. Aijaz membawa rombongan melawat lokasi tumpuan pelancong ke taman berkonsep Mughal iaitu Nishat Bagh berhampiran Tasik Dal. Mengikut sejarah, taman bunga bertingkat-tingkat ini dibina oleh Asif Khan, bapa mentua Shah Jahan yang membina Taj Mahal di Agra.

Biarpun tidak banyak bunga mekar kerana sudah memasuki musim sejuk, namun taman ini tetap indah dengan landskap zaman dahulu bersama panorama daun kering yang luruh. Puas bergambar, kami kemudian dibawa ke puncak Gunung Zabarwan untuk menikmati pemandangan indah satu lagi taman Mughal iaitu Pari Mahal. Ia mempunyai taman bunga tujuh tingkat dan bangunan lama diperbuat daripada tanah liat.

Keterujaan sebenar bermula di Sonamarg satu daripada tempat yang menjadi tarikan utama di J&K. Keletihan menempuh tiga jam perjalanan dari Srinagar hilang sebaik melihat hamparan salji yang memutih. Seronoknya kerana pertama kali dapat bermain salji. Cuaca dingin di bawah paras negatif juga tidak menghalang kami mencuba ‘sledge’ atau papan luncur kayu menuruni bukit tinggi.


ANTARA kenangan terindah di Gulmarg.

Kami tidak dapat berlama-lamaan di Sonamarg kerana bukan saja perlu kembali ke Srinagar sebelum malam, malah pelancong tiba-tiba diarah meninggalkan lokasi berikutan pihak berkuasa mengeluarkan amaran salji runtuh. Berat hati meninggalkan Sonamarg yang juga satu daripada Laluan Sutera kerana satu masa dahulu ia adalah tempat menghubungkan J&K dan China.

Keesokannya kami menuju Pahalgam yang turut diberi jolokan Little Switzerland. Perjalanan mengambil masa hampir empat jam melalui lebuh raya yang agak panjang dan luas. Dalam perjalanan kami sempat singgah di kedai menjual kekacang, buah-buahan kering dan safron. Kami turut singgah di ladang epal dan menikmati jus epal yang diperah segar.

Hati kembali melonjak riang sebaik tiba di Lembah Lidder, perkampungan tradisi dengan latar belakang gunung-ganang diliputi salji dan sungai yang jernih airnya mengalir deras. Disebabkan tiba lewat petang, kami menginap supaya dapat meluangkan masa lebih lama di wilayah yang sering menjadi pilihan sutradara filem Hindi.


KENANGAN bersama rakan guru dan ahli keluarga bersama pekerja rumah bot.

Antara aktiviti utama di Pahalgam adalah menunggang kuda melewati lembah gunung. Bayaran dikenakan sekitar RM40 seorang, kami ditemani pemandu dibawa menikmati panorama indah kawasan pergunungan. Memang sangat cantik dan mendamaikan sehingga tanpa sedar bibir mengalun lagu Hindustan. Penulis memang peminat tegar filem Hindustan, jadi banyak hafal lagu daripada filem popular.

Satu lagi aktiviti yang tidak mampu dilepaskan di Pahalgam adalah membeli-belah. Ada banyak kedai menjual kain sari dan selendang tebal dengan pelbagai corak yang mengumpan nafsu untuk membeli. Perlu pandai tawar-menawar kerana jika kena caranya barangan diidamkan boleh dibeli pada harga paling rendah. Untungnya, pada musim sejuk begini peniaga terpaksa mengurangkan harga kerana dikatakan bukan waktu puncak.

Dua malam di Pahalgam, kami meninggalkan daerah itu dengan 1,001 kenangan manis. Kembali ke Srinagar, Aijaz membawa kami meronda sekitar bandar dan sempat bergambar di Masjid Jamia iaitu antara binaan tertua di wilayah itu. Sebelah malam kami berehat selain perlu berkemas kerana keesokannya akan ke lokasi terakhir sebelum bertolak balik ke Delhi.

Jalan bengkang-bengkok dan sempit mendaki Gulmarg dengan menaiki van boleh mengakibatkan mabuk kenderaan. Tetapi, penulis sempat makan pil tahan mabuk ketika bersarapan. Dua jam dari pusat bandar, Gulmarg adalah kawasan pergunungan yang mesti dilawati jika berada di J&K.

Gulmarg juga lokasi terkenal untuk bermain ski. Kami berkesempatan menaiki gondola atau kereta kabel tertinggi di dunia untuk naik ke puncak Gulmarg. Terdapat dua stesen perkhidmatan gondola iaitu Kongdoori dan Apharwat. Namun, kami hanya berpeluang tiba di stesen pertama berikutan tidak cukup masa.


TIDAK melepaskan peluang mencuba papan luncur kayu.

Pemandangan dari atas gondola lebih memukau kerana kami melepasi pohon pain yang dilitupi salji. Malah, dapat melihat keseluruhan kawasan pergunungan putih bersih dilitupi salji tebal. Setibanya di puncak, kami terpegun menyaksikan keindahan lembah yang dikelilingi banjaran Himalaya.

Kami diberi tempoh kira-kira sejam bermain salji dan bergambar sepuasnya ketika berada di Kongdoori kerana perlu bergegas ke lapangan terbang. Rasa takjub dengan keindahan syurga atas dunia ini. Walaupun baru awal musim sejuk, tetapi keindahan alam ciptaan Tuhan tetap terserlah.

Terasa sangat bersyukur dan insaf melihat warga J&K yang bertungkus-lumus mencari rezeki. Mereka menggunakan kudrat sendiri dengan sedaya-upaya menarik papan luncur penulis dan rakan untuk naik puncak bukit. Mereka juga bergantung kepada duit tip daripada pelancong.

Malah, penginapan kami ketika berada di rumah bot turut diserbu penjual cenderamata yang penuh pujuk-rayu supaya kami membeli barangan didagang. Mereka tidak akan berganjak sehingga kami membeli. Kasihan pun ada kerana membayangkan inilah saja cara mereka menyara keluarga. Akhirnya duit dan barang bertukar tangan, dapatlah saya bawa pulang sedikit cenderamata untuk keluarga dan rakan.


PEMANDANGAN tenang Tasik Dal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 January 2019 @ 8:39 AM