KELUARGA bahagia Dr Talabeik.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

Melihat pada warna kulitnya dan penampilannya yang segak mengenakan baju batik, ramai menyangkakan Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Linguistik Universiti Malaya, Dr Talaibek Musaev adalah lelaki tempatan berbangsa Tionghua.

Tanggapan itu meleset kerana suami kepada Dr Jamila Mohd ini sebenarnya berasal dari jauh iaitu negara yang pernah bernaung bawah Kesatuan Soviet yakni Kyrgyzstan atau Republik Kyrgyz.

Ketika menyapa, Dr Talaibek merendah diri kerana khuatir kurang fasih berbahasa Melayu berbanding Jepun yang menjadi subjek diajar di universiti berkenaan. Namun, dalam pertemuan turut disertai isterinya, tidak menampakkan dia janggal bertutur Melayu.

1. Apakah tanggapan awal ketika kali pertama tiba di Malaysia?

(Ketawa sambil memandang Dr Jamila) Tentu saja cantik. Kalau tidak, masakan saya sanggup berhijrah dan tinggal di sini selepas mengenali gadis cantik negara ini.

Sebenarnya, kalau orang bertanya bagaimana saya boleh tiba ke Malaysia, saya tidak ragu-ragu untuk mengatakan sanggup terbang beribu batu terbang dari Jepun demi ‘menyunting’ isteri tercinta yang juga warga tempatan.

Isteri yang banyak menyemai rasa teruja untuk berhijrah ke sini apatah lagi apabila saya belek buku dan jurnal mengenai Malaysia. Ia ditokok pula cerita isteri, rasa teruja untuk lihat sendiri keindahan Malaysia itu membuatkan saya ‘kekal’ di sini sehingga hari ini.

2. Bagaimana pula perkahwinan anda bersama isteri?

Isteri saya anak sulung dan selalu memikirkan tidak mahu membebankan keluarga, lalu mengadakan majlis ringkas di Kuala Lumpur.

Kami laksanakan yang wajib saja iaitu majlis akad nikah di Masjid Kolej Islam Malaya di Petaling Jaya, kemudian kenduri kecil dan bantuan katering tanpa banyak persalinan. Malah rakan-rakan juga bermalam di rumah universiti ini.

Ketika itu, kami yang baru tiba dari Jepun hanya membelanjakan sekitar RM2,000 tetapi ‘duit salam’ saya terima daripada tetamu hampir RM4,000! Bagi memenuhi permintaan keluarga mentua di Pekan, Pahang, kami bersanding ketika majlis perkahwinan adik ipar.

3. Apakah cabaran yang dihadapi pada awal perkahwinan?

Tentu sahaja bahasa. Selalunya orang kata, kita akan belajar banyak daripada isteri tetapi bagi saya, ibu mentua yang jadi guru bahasa. Apabila bercakap dengan isteri, saya ada pilihan sama menggunakan bahasa Inggeris atau Jepun. Tetapi dengan ibu mentua, suka atau tidak, saya mesti kuasai banyak perkataan Melayu untuk memudahkan kami berbual.

Kalau balik kampung, saya akan ‘menempel’ dengan ibu mentua. Malah ibu mentua rajin melayan kerenah termasuklah masak hidangan tradisional kegemaran saya.


DR Musaev jatuh hati pada wanita Malaysia.

4. Apakah makanan kegemaran anda setiap kali pulang ke Pekan?

Ikan bakar dan air asam, ulam dan sambal belacan. Paling istimewa ialah opo daging Pekan Pahang.

5. Apakah destinasi percutian tempatan kegemaran anda sekeluarga?

Pulau Tioman, Langkawi atau di mana saja yang ada pantai indah. Malah saya pernah mengikuti aktiviti mencandat sotong dan memang ia pengalaman menyeronokkan.

Selain itu, destinasi percutian tanah tinggi seperti Cameron Highlands juga jadi pilihan kerana suasananya sedikit sebanyak mengubat kerinduan pada kampung halaman.

6. Apakah yang menarik perhatian berkaitan rakyat tempatan?

Setelah dua dekad berada di Malaysia, tentu saja saya sudah berasa seperti orang tempatan. Meskipun tinggal di bandar tetapi menariknya ialah kerukunan dan sikap penduduk terutama Persatuan Penduduk Taman Prima Tropika Seri Kembangan, Selangor, masih menebal.

Saya yang menubuhkan persatuan ini menerima sokongan penduduk malah kejiranan kami sangat mesra dengan Majlis Daerah Sepang. Biarpun berbilang kaum, kesatuan itu kuat membuatkan saya ‘serasi’ di sini.

PROFIL

NAMA: Dr Talaibek Musaev

UMUR: 44 tahun

ASAL: Republik Kyrgyz

KERJAYA: Pensyarah.

STATUS: Berkahwin, Dr Jamila Mohd serta tiga cahaya mata, Ainura Musaeva, 16, Aidan Musaev, 9, dan Aihana Musaeva, 8.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 January 2019 @ 7:46 AM