PELEPASAN oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Sallehuddin Amiruddin.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


Kuang: Ketenangan suasana kampung dan dusun buah-buahan sepanjang laluan kayuhan menjadi santapan mata buat kira-kira 1,200 peserta program Funride Jelajah Kuang (FJK) yang berlangsung pada 30 Disember lalu.

Julung kalinya diadakan, kayuhan santai itu anjuran Jawatan Kuasa Penduduk (JKP) Zon 18 dan 19 Majlis Perbandaran Selayang, Kelab XKC Riders Bandar Baru Kundang dengan kerjasama Bahagian Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak dan Sungai Buloh.

Ahli jawatan kuasa (AJK) promosi, Shahrudin Ramli berkata, lokasi kayuhan FJK bermula dan berakhir di Puteri Central Park, Bandar Tasik Puteri ini terbuka kepada semua jenis basikal.

“Sempena program kayuhan ini, kami menampilkan dua kategori kayuhan, jarak 10 kilometer (km) bagi peserta yang baru berjinak-jinak dengan sukan berbasikal.

DISERTAI kira-kira 1,200 peserta.

“Manakala peserta yang aktif dengan kayuhan jarak jauh dan inginkan cabaran pula boleh menyempurnakan kayuhan sejauh 30km.

“Setiap kategori ini ditawarkan dengan laluan berbeza. Bagi kategori 10km, peserta hanya berkayuh di sekitar Bandar Tasik Puteri.

“Bagi kategori 30 km pula, peserta memulakan kayuhan dari Puteri Central Park seterusnya melalui Bandar Baru Kundang, Kundang Jaya, Sungai Serai, Kuang, Kampung Setia, Kampung Melayu Seri Kundang sebelum kembali ke titik pelepasan.

“Walaupun program kayuhan ini diadakan buat pertama kalinya, kami berjaya menarik perhatian penggemar sukan berbasikal pelbagai peringkat usia antara 12 hingga 75 tahun.

“Kebanyakan peserta berasal dari Kuang dan sekitar Lembah Klang, selain itu, kami juga menerima penyertaan daripada beberapa pasukan dari Perak, Negeri Sembilan dan Melaka,” katanya ketika dihubungi.

BERTUJUAN mempromosikan gaya hidup sihat.

Berkongsi keistimewaan kayuhan santai ini, Shahrudin mengakui peserta mendapat kelainan dari segi pengalaman berbasikal di destinasi tumpuan yang memiliki pemandangan kampung berlatarbelakangkan dusun buah-buahan.

Di sebalik keunikan suasana mendamaikan, peserta teruja apabila berdepan laluan berselekoh, berbukit dan jalan kampung sempit yang menduga keupayaan masing-masing mengendalikan kenderaan mereka.

Menyifatkan penganjuran program kayuhan santai ini berjaya, Shahrudin berkata, ia bertujuan membudayakan gaya hidup sihat menerusi sukan berbasikal secara selamat.

Malah peserta berpeluang membina daya ketahanan fizikal dan mental yang jitu menerusi laluan mencabar disediakan penganjur.

Selain itu, kayuhan ini turut bertujuan memupuk jalinan kerjasama antara peserta sekali gus mewujudkan suasana mesra dan meriah dalam kalangan pencinta sukan popular berkenaan.

Bersesuaian dengan pemilihan lokasi kayuhan, pihak penganjur juga ingin memperkenalkan kawasan Kuang secara amnya sebagai satu lokasi pilihan menyajikan laluan berbasikal yang menarik.

Berhasrat menjadikan kayuhan santai ini sebagai acara tahunan, Shahrudin mengakui pihaknya akan melakukan penambahbaikan pada masa akan datang termasuk acara menarik dan kemudahan tandas bergerak bagi memastikan keselesaan peserta.

MELALUI jalan sempit

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 January 2019 @ 6:56 AM