LALUAN becak memberi cabaran kepada peserta kategori Mountain Bike. FOTO NSTP
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

BAGI meraikan ulang tahun pertama penubuhannya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Selangor, mempunyai cara lebih mesra dan dekat dengan masyarakat apabila menganjurkan perlumbaan basikal ‘Mountain Bike Challenge (MTB) & Fun Ride IPD KLIA 2018’, baru-baru ini.

Atas semangat menyemarakkan sambutan ulang tahun berkenaan, seramai 1,200 peserta terdiri daripada peminat sukan berbasikal seluruh negara bergabung dalam program dengan kerjasama Biro Cycling For All dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Program kayuhan bertemakan ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’ bermula dan tamat di padang IPD berkenaan dan melalui ladang kelapa sawit MAB Agriculture-Horticulture Sdn Bhd (MAAH) anak syarikat Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) serta kawasan luar berhampiran landasan lapangan terbang.


PELBAGAI aksi peserta kategori Mountain Bike meredah ladang kelapa sawit. FOTO NSTP

Majlis pelepasan disempurnakan Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab Rashid Ab Wahab membabitkan 330 peserta bagi kategori MTB dengan jarak sejauh 34 kilometer (km) pada jam 7.45 pagi, manakala 870 peserta untuk kayuhan santai dengan jarak 35km pula dilepaskan 15 minit kemudian.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adamsah berkata, penganjuran jambori itu pada 29 Disember tahun lalu mendapat kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta yang beroperasi di KLIA dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) serta ia juga julung kali diadakan dalam usaha memperkenalkan kewujudan IPD KLIA berkenaan kepada umum.


PESERTA terawal menamatkan kayuhan dikalungkan medal oleh Ab Rashid. FOTO NSTP

“Penganjuran turut bermatlamat mendekati masyarakat setempat terdiri mereka yang bertugas di KLIA dan klia2 serta peminat sukan basikal seluruh negara untuk sama-sama membina suasana santai dan harmoni dalam acara berbasikal.

“Aktiviti ini yang dianggap sebagai kegiatan riadah semakin diminati masyarakat pelbagai peringkat usia dan sering dijadikan medan untuk menyatupadukan rakyat.

“Kami juga ingin mengajak semua peringkat masyarakat supaya sama-sama menyokong aspirasi kerajaan yang mahukan generasi yang sihat dan sentiasa cergas, berwibawa serta mempunyai ketahanan mental yang tinggi,” katanya.

Zulkifli berkata, acara berbasikal itu juga diharap­kan dapat mendidik ma­syarakat bagi mengukuh­kan pembangunan sosial komuniti dan pemahaman kepada hubungan silaturahim sebagai sumber strategik dalam memperting­katkan pembangunan dan kemajuan atas tanggung­jawab sosial antara polis dan masyarakat.


KUMPULAN kayuhan terdiri polis Tampin bergambar kenangan selepas acara. FOTO NSTP

“Dalam program ini, peserta khususnya masyarakat luar dapat mengenali dengan lebih dekat kawasan luar sekitar KLIA dan klia2 termasuk Litar Antarabangsa Sepang (SIC). Mereka memperoleh satu pengalaman baharu apabila dapat meredah ladang kelapa sawit milik MAHB termasuk berkesempatan melihat sendiri pesawat berlepas dan mendarat.

“Biarpun kali pertama dianjurkan, ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan mungkin akan dijadikan sebagai acara tahunan IPD KLIA,” katanya.

IPD KLIA yang dirasmikan oleh Ketua

Polis Negara, Tan Sri Muhamad Fuzi Harun pada 17 Oktober 2017, beroperasi di Balai Polis KLIA sebelum ini adalah IPD ke-16 di Selangor dan IPD ke-156 di Malaysia mengawasi KLIA, klia2 dan kawasan 10 kilometer radius KLIA dalam usaha kerajaan memastikan keselamatan lapangan terbang berada pada tahap tertinggi.


SUKANEKA untuk ahli keluarga IPD KLIA turut diadakan. FOTO NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 January 2019 @ 10:54 AM