MASHITOH dan Mohd Fakrulrazi. FOTO NSTP
Zaitie SatibiP
zaisa@hmetro.com.my

MEMPUNYAI minat yang sama adalah bonus bagi pasangan suami isteri ini apabila mereka tidak saja mempunyai kerjaya sama, malah sama-sama menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

Mohd Fakrulrazi Mohd Sobri dan Mashitoh Mohd Zaini, sama-sama berusia 30 tahun bertugas sebagai pegawai amanah di sebuah badan berkanun di Kelantan sejak tujuh tahun lalu, namun mereka ditempatkan di cawangan berasingan.

Perkenalan di tempat kerja memutikkan rasa cinta sebelum mereka memutuskan melayari bahtera perkahwinan dan kini dikurniakan seorang cahaya mata, Muhamad Mikail berusia tiga tahun lapan bulan.

Disember 2015 mencatatkan langkah baru bagi pasangan ini apabila minat Mashitoh dalam bidang fesyen dan kecantikan membolehkan mereka bergelar usahawan dengan mengasaskan koleksi hijab jenama sendiri, Shitah Scarf, yang dijual menerusi kedai dalam talian.

Menceritakan semula detik mereka berjinak-jinak dalam dunia perniagaan, Mohd Fakrulrazi berkata, sikap Mashitoh yang sangat mementingkan penampilan dan pemakaian selari kerjayanya mencetuskan ilham ke arah itu.

“Fesyen menjadi satu cara untuk kita menunjukkan keyakinan diri mereka dalam bidang tertentu.

“Mashitah pula sanggup berbelanja untuk membeli pakaian cantik dan membeli barang kosmetik untuk tampil bergaya.


Mashitoh mementingkan penampilan dengan selari kerjaya. FOTO NSTP

“Biarpun demikian, isteri cerewet dalam berfesyen. Dia mementingkan keselesaan dan sering mengadu tudung dipakai terasa rimas terutama dari segi rekaan dan aksesori tambahan seperti tampalan batu permata yang sering tercabut.

“Bagi mengatasi masalah ini, Mashitoh membeli 50 tudung polos dengan rekaan digemari dan menampal sendiri batu permata termasuk mencetak corak pada tudung berkenaan.

“Dia yang tiada asas dalam kemahiran berkenaan juga sanggup belajar sendiri dan membeli peralatan yang diperlukan,” katanya.

Mashitoh kemudian berkongsi gaya tudung rekaannya dalam media sosial, tetapi tidak sangka ramai yang berminat.

Wanita ini tidak menang tangan menerima tempahan dan susulan itu ia memberi idea kepada pasangan suami isteri ini untuk melancarkan jenama sendiri.

“Kami kemudian menubuhkan syarikat dan bergabung dengan ahli keluarga lain untuk memajukan jenama ini dan fokus kepada tudung bawal.

“Saya meminta bantuan adik, Mohd Iryan Fahmi, 25, dari segi teknologi maklumat dan sistem sokongan memandangkan kami beroperasi dalam talian.

“Malah, ibu mentua, Zuraidah Mohiyaddin, 53, dan arwah ibu, Rosnani Junus, pula bertindak sebagai penasihat berikutan kedua-duanya arif dalam bidang fesyen Muslimah.

“Mereka yang sering mengkritik dan memberikan pendapat supaya kami menghasilkan produk lebih baik,” katanya.


MERAIKAN ejen dalam majlis makan malam anjuran syarikat. FOTO NSTP

Pasangan yang berasal dari Kedah itu bersyukur majikan memberikan kelonggaran asalkan tidak mengabaikan tanggungjawab dalam pekerjaan hakiki dan kedua-duanya juga bijak membahagikan masa apabila berniaga di luar waktu kerja.

“Saya awalnya perkecilkan usaha Mashitoh, namun melihat kesungguhan membuatkan saya yakin dengan kemampuannya.

“Sejak itu saya tidak putus-putus memberikan bantuan dan sokongan.

“Malah, saya menghormati cara, pandangan dan minat beliau dalam bidang fesyen sebelum ini dan tidak menghalangnya melakukan sesuatu yang digemari.

“Memasuki 2019, kami merancang memperkukuhkan lagi jenama di pasaran tempatan, di samping menambah cabang perniagaan meliputi pakaian, aksesori dan kosmetik.

“Kami kini mempunyai 72 ejen di seluruh negara dengan 12 orang daripada mereka adalah saudara-mara sendiri.

“Secara tidak langsung perniagaan yang dibina membantu ahli keluarga lain menjana pendapatan sampingan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 January 2019 @ 10:27 AM