PEMANDANGAN pergunungan Alps dari Kleine Scheidegg, Switzerland.
Janet Han
metahad@mediaprima.com.my


MEMPUNYAI rakan yang tinggal di luar negara menjadi alasan kukuh untuk penulis mengambil ‘cuti ziarah’ sambil meneroka lokasi yang tidak pernah dikunjungi. Apabila menerima berita dua rakan baik berpindah ke Vevey, Switzerland untuk bekerja, penulis adalah antara orang yang paling seronok. Mana tidaknya, ia membuka peluang untuk menjengah mereka di sana.

Jadi penulis dan sahabat, Daphne Cheah mahu memanfaatkan peluang itu sebelum mereka dipanggil balik. Selepas berbincang panjang, maka lahirlah Projek #Swisstaly 2018 dan bermulalah ‘kerja rumah’ kami untuk merancang percutian.

Dalam membuat perancangan sendiri, kami belajar banyak perkara antaranya membuat perancangan awal. Semua orang memberi nasihat ini. Bagaimanapun untuk melaksanakannya bukan mudah. Kami memulakan Projek #Swisstaly2018 sembilan bulan selepas beberapa ‘perbincangan pening’ hanya untuk memilih tarikh. Sebaik mencapai kata sepakat, kami terus menempah tiket penerbangan ke Geneva dengan harga kira-kira RM2,300.

Perkara kedua ialah menyenaraikan destinasi wajib pergi. Apabila tiket penerbangan sudah ditempah, kami mula aktif merancang perjalanan percutian dan lokasi yang mesti dikunjungi. Oleh kerana pergi berdua, maka senanglah untuk kami memilih destinasi dan mengisi masa sepanjang berada di sana. Jika anda pergi dalam kumpulan lebih besar, ada baiknya dapatkan maklum balas daripada semua rakan, mana tahu ada yang mempunyai rancangan lebih baik.

Perkara ketiga ialah menikmati setiap saat di sana dan tetapkan matlamat lucu untuk dicapai. Apa matlamatnya hanya akan ditentukan apabila berada di sana.


TASIK Blausee yang jernih hingga boleh dilihat dasarnya.

PENULIS dan Daphne (kanan) seronok diulit dingin salju di Jungfraujoch.

Untuk perjalanan kali ini, destinasi utama ialah Vevey untuk berjumpa sahabat lama dan meninjau rumah mereka. Vevey adalah bandar unik berhampiran Tasik Geneva yang dikenali sebagai Lac LÈman dalam bahasa Perancis. Tempat ini sungguh indah dan tenang. Anda boleh duduk di tepi tasik sambil menikmati pemandangan indah Perancis tidak jauh dari situ.

Di sini kami melawat beberapa tempat termasuk Chaplin’s World (muzium yang didedikasikan untuk pelawak tersohor Charlie Chaplin) dan Nestle Nest (ini adalah muzium paling menarik dan interaktif yang pernah penulis kunjungi. Memang kagum!).

Lokasi wajib pergi ialah Fork of Vevey, iaitu garpu gergasi yang diletakkan di tengah tasik. Inilah mercu tanda Vevey yang unik. Perlu ambil gambar dengan garfu ini sebagai bukti anda sudah menjejakkan kaki di Vevey!

Selain itu kami juga melawat Bern, ibu kota Switzerland yang tidak jauh dari Vevey. Bern juga unik dan menarik. Walaupun lebih sibuk berbanding Vevey, ia masih mengekalkan suasana dan warisan sejarahnya. Sempat juga kami ke Tasik Blausee yang ada unsur romantik.

Tasik ini terletak dalam taman alam seluas 20 hektar dengan pemandangan yang terbina daripada runtuhan batu menyebabkan terbentuknya tasik ini. Keindahannya sukar digambarkan walaupun melalui gambar. Kami menghabiskan beberapa jam di sana untuk menikmati keindahan ciptaan Tuhan dan sempat juga menaiki bot berlantai kaca supaya kami benar-benar dapat menghayati keunikan tasik yang jernih hingga boleh nampak dasarnya itu.

Pada hari cuaca cerah, kami memandu ke GruyËres, bandar berturap batu buntar dan bermalam di pekan Lauterbrunnen yang sunyi dan tenang. Harga bilik hotel di sini lebih murah berbanding di Interlaken yang menjadi tumpuan pelancong. Keju terkenal, gruyËres mendapat namanya dari bandar ini dan tentu saja kami tidak melepaskan peluang menikmati hidangan tengah hari yang enak - keju fondue!

Jika anda merancang untuk bercuti hingga ke Jungfrau, jangan lupa menempah tempat duduk dalam kereta api. Jangan seperti kami yang terpaksa menunggu lebih dua jam di hentian Kleine Scheidegg, sebelum dapat menaiki kereta api untuk sampai ke stesen tertinggi di Eropah iaitu di Jungfraujoch. Kereta api ini melalui terowong yang dibina di Eiger dan pergunungan Mˆnch. Pemandangannya? Tidak terkata!

Jungfrau yang terletak 3,454 meter dari paras laut memang indah. Dari sini anda boleh menikmati pemandangan yang luas terbentang dari Dek Tinjau Sphinx, belajar sedikit mengenai sejarah Alpine Sensation dan berjalan-jalan di Istana Ais. Tahu apa yang kami jumpa di Istana Ais itu? Patung Scrat dari watak filem Ice Age melekat pada ais di situ! Sungguh lucu!

Ketika berada di Lauterbrunnen, secara tidak sengaja kami melewati Air Terjun Tr¸mmelbach dan sekali lagi, kami kehilangan kata-kata dengan keindahannya. Air terjun ini terhasil dari 10 air terjun glasier, setiap satunya menghasilkan bunyi yang kuat dan hebat. Malah Air Terjun Staubbach yang tidak jauh dari situ tidak kurang menariknya. Kami boleh melihat air terjun ini dari tingkap dapur hostel. Pada ketinggian 300 meter, Air Terjun Staubbach adalah air terjun ketiga tertinggi di Switzerland.

CAPAI SASARAN LUCU

ALANG-ALANG sudah sampai ke Switzerland, kami bercadang untuk menjengah Itali terutama kota Venice dan Florence. Bagi pencinta seni bina dan seni, Itali adalah lokasi yang harus dikunjungi. Kunjungan kami di sini tidak lama, cuma empat hari. Jadi masa perlu dimanfaatkan sebaiknya supaya banyak yang dapat diteroka.

Untuk memudahkan, kami mengikuti pakej lawatan berpandu percuma (berjalan) bersama pemandu pelancong. Inilah yang kami lakukan di Interlaken, Venice dan Florence. Biasanya lawatan berpandu seperti ini menyeronokkan dan kami mendapat pelbagai cerita menarik daripada perspektif orang tempatan.

Tidak lengkap percutian ke Venice jika tidak cuba menyusuri sungai menaiki gondola sambil didendangkan dengan nyanyian pengemudi bot. Hendak juga mencuba tetapi apabila melihat harga tiketnya, hm...lupakan sajalah!

Namun kami tetap seronok di Venice, berjalan santai dan cuba ‘meresap’ dalam budaya masyarakat di sini, singgah di pekan pulau kecil Murano dan Burano yang berwarna-warni untuk merakam sebanyak-banyak gambar kenangan.

Malam itu sebelum balik, sekali lagi kami melewati tepi sungai menyaksikan pengusaha sibuk berkemas. Tiba-tiba ada seorang pemuda memanggil kami dari atas botnya dan menawarkan harga yang cukup menarik. Kami ketawa mendengar pelawaannya. Tidak berani mencuba kerana ketika itu sudah lewat malam dan gelap. Takut ada udang di balik batu!

Jika anda ke Geneva, jangan lupa singgah di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan ikuti salah satu lawatan yang disediakan di situ. Tempat yang cukup hebat untuk kami menamatkan percutian #Swisstaly2018 apabila mendapat taklimat untuk bersama-sama menjadikan dunia yang indah ini lebih baik.

Sebenarnya baik di Switzerland atau Itali, kami sudah buat ‘kerja gila’ bagi mencapai sasaran lucu dalam percutian ini. Di Switzerland, kami mencuba 12 jenis keju yang beraneka rasa dan dalam tempoh empat hari di Itali pula kami berjaya merasai 26 jenis gelato dan ada sesetengah perisa yang enak diulang beberapa kali! Itu belum campur dengan piza yang diadun sendiri dan dibakar dalam ketuhar kayu serta pasta enak yang memenuhi cita rasa kami!

Sekarang kami berdua giat bermain badminton untuk menurunkan berat badan yang ‘dipungut’ daripada percutian itu namun jika ada rezeki, kami mahu pergi lagi!

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 January 2019 @ 7:15 AM