LALUAN berbukit menjadi cabaran kepada peserta.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Pasti seronok apabila menyertai perlumbaan yang tidak saja menguji kemampuan diri, malah berkumpul dengan komuniti yang mempunyai minat sama dan paling penting, ia juga boleh mengisi waktu santai dengan melawat kawasan pelancongan eko.

Semestinya elemen itu adalah perkara yang biasa ditonjolkan dalam pelbagai kejohanan sukan di Malaysia terutama aktiviti sukan lasak seperti berbasikal.

Baru-baru ini, Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) dengan kerjasama Dusun Tua Cycling Team menganjurkan acara kejohanan berbasikal, Dusun Tua MTB Jamboree buat tahun ketiga dan disertai 500 peserta tempatan dan asing.

Dusun Tua yang terletak di Hulu Langat sememangnya terkenal dengan kawasan pelancongan eko menjadi pilihan pihak penganjur bagi mempromosikan lokasi berkenaan kepada orang ramai menerusi acara berbasikal.

Pengarah acara, Mohd Shari Mohd Nor berkata, hadiah keseluruhan berjumlah RM5,000 bukan tarikan utama bagi pelumba tetapi kebanyakan peserta lebih berminat untuk berkumpul bersama komuniti berbasikal dan menguji kemampuan diri.

Beliau berkata, acara itu bermula pada jam 8.30 pagi dan Sekolah Menengah Sungai Tekali sebagai destinasi pelepasan dan peserta perlu menamatkan perlumbaan sejauh 25 kilometer.


ACARA kayuhan memberi peluang untuk mengeratkan hubungan komuniti berbasikal.

“Perlumbaan kali ini mempunyai cabaran tersendiri dari segi laluan yang memerlukan peserta melalui kawasan berbukit iaitu Bukit Botak dan Bukit Simen. Selain itu, kawasan ladang getah juga antara trek yang perlu mereka hadapi.

“Kami juga mendapat maklum balas positif daripada peserta kerana acara ini dapat menguji ketahanan mereka berkayuh di kawasan denai dan kemudahan yang disediakan ketika perlumbaan juga dalam keadaan baik,” katanya.

Perlumbaan itu mempertaruhkan enam kategori iaitu Men Junior (19 tahun ke bawah), Men Open (25 hingga 35 tahun), Junior Master (36 hingga 45 tahun), Senior Master (46 tahun ke atas), Women Open dan Heavy Weight (90 kilogram ke atas).

Mohd Shari berkata, sejajar dengan hasrat MPKJ untuk mempromosikan pelancongan eko menerusi aktiviti berbasikal, peserta yang hadir terdiri daripada peserta tempatan dan asing dapat mengetahui lokasi menarik yang boleh dikunjungi sekiranya berkunjung ke Hulu Langat.


PESERTA wanita mengambil kesempatan menyertai cabaran.

“Saya difahamkan ada peserta asing seperti Thailand, Kemboja dan Singapura menyertai kejohanan kali ini dan ia adalah peluang terbaik bagi menarik kehadiran pelancong ke kawasan ini menerusi kejohanan berbasikal.

“Dalam acara perlumbaan, sudah menjadi kebiasaan ahli keluarga atau teman-teman datang bersama untuk memberi sokongan kepada peserta. Selepas acara berakhir mereka boleh meluangkan masa melawat kawasan tarikan pelancongan di sini,” katanya.

Antara tarikan di kawasan itu ialah Air Terjun Sungai Gabai, Air Terjun Sungai Tekala, Sungai Pangsun, Sungai Congkak, dusun buah-buahan dan pasti kolam air panas yang terkenal iaitu Kolam Air Panas Sungai Serai.


AKSI peserta mengharungi cabaran.

Katanya, kejohanan sebelum ini diadakan ketika musim buah yang membolehkan peserta menikmati pelbagai buah-buahan tempatan selepas menamatkan acara.

“Kejohanan kali ini bukan berlangsung ketika musim buah, jadi mereka boleh mengunjungi lokasi riadah atau pelancongan yang lain seperti menikmati air terjun di Sungai Gabai dan melawat kolam air panas.

“Di sini juga peserta tidak perlu bimbang mengenai penginapan kerana ada banyak inap desa disediakan masyarakat setempat yang boleh disewa. Ia juga mampu memberi limpahan ekonomi kepada penduduk di sini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 January 2019 @ 7:00 AM