AKTIVITI larian mengeratkan hubungan keluarga Norkhairil.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Kedua-duanya secara tidak sengaja menyertai larian pada 2016, itu pun hanya memasuki kategori jarak 10 kilometer. Namun, siapa sangka acara berkenaan adalah permulaan episod kepada ketagihan pasangan suami isteri ini dalam perlumbaan larian ultra!

Masakan tidak, sejak 2017 pasangan serasi Norkhairil Mohamad, 39, dan isterinya, Zalihar Mohd Arshad, 36, mula menyertai larian jarak jauh melebihi 40 kilometer (km), lantas setiap bulan pasti ada acara yang mereka sertai.

Ketika menemubual, Norkhairil dan Zalihar penuh semangat menceritakan kisah latihan larian mereka. Walaupun 2019 baru memasuki minggu pertama, jadual mereka sepanjang tahun ini sudah padat dengan acara larian ultra di seluruh negara.

Norkhairil berkata, mereka yang disatukan sebagai suami dan isteri pada 2003 sebenarnya tidak pernah terfikir menjadi pasangan larian ultra yang aktif kerana tidak mempunyai latar belakang sebagai atlet profesional.

Katanya, bermula menyertai larian hanya suka-suka akhirnya menjadi lembaran baru kepada mereka berdua kerana ia dilihat sebagai aktiviti yang tidak saja dapat mengisi waktu santai bersama keluarga, malah menjadi lebih sihat.

“Seperti pelari lain, pada mulanya kami hanya menyertai larian maraton bawah 40km tetapi apabila sudah biasa dengan jarak itu, kami mencabar diri berlari lebih jauh.

“Setakat ini saya sudah menyertai acara larian 100km dan isteri pula 70km yang mana dia juga pernah meraih kedudukan terbaik dalam satu acara larian ultra tahun lalu,” katanya.


PASANGAN yang serasi dalam aktiviti larian.

Tambahnya, dia dan isterinya juga sentiasa meninjau potensi untuk mencuba larian jarak jauh di luar negara pada masa depan. Bagaimanapun, mereka perlu bersedia dan berlatih dengan menyertai kejohanan di Malaysia terlebih dulu.

“Di Malaysia, acara larian jarak jauh menarik kerana cabaran bukan saja dari segi trek, kita juga mempunyai komuniti larian yang besar dan sentiasa menyokong antara satu sama lain,” katanya.

Ibu dan bapa kepada Nawfal, 13, Naswan, 10, dan Nawrah, 7, ini juga peka dalam menjaga pemakanan keluarga bagi memastikan diet sesuai dengan aktiviti larian mereka.

Zalihar berkata, mereka mengurangkan pengambilan makanan berminyak untuk menjaga kesihatan secara menyeluruh.

“Jika memasak saya akan gunakan minyak zaitun kerana lebih berkhasiat. Biasanya saya lebih suka memilih daging putih seperti ayam dan kami juga menggalakkan anak makan ikan.

“Saya juga jarang menyediakan masakan bergoreng. Alhamdulillah, anak-anak juga boleh menerima makanan yang dimasak dengan kaedah kukus, panggang dan reneh. Inilah cara kami untuk mengelakkan pengambilan lemak dan minyak berlebihan,” katanya.


ANAK-ANAK sentiasa dibawa bersama untuk acara larian.

Dari segi latihan, Zalihar berkata, dalam seminggu dia cuba mendapatkan jumlah larian sehingga 50km kerana kekangan masa menguruskan keluarga. Suaminya pula berlari lebih jauh iaitu 100km seminggu.

“Pada tahun ini, kami sudah merancang untuk menyertai lebih banyak acara larian. Pada masa sama, kami juga mendapat jemputan daripada sebuah kumpulan larian tempatan bagi mengumpul jumlah larian sehingga 100km seminggu.

“Maka, latihan mengumpulkan jumlah jarak larian seperti itu dapat membantu saya dan suami bersedia dari segi jasmani dan mental untuk menyertai acara larian jarak jauh kelak,” katanya.

Tambahnya, anak-anak juga menunjukkan minat sama kerana sering mengikuti mereka berlatih dan menyertai kejohanan.

“Anak sulung kami adalah atlet di sekolah rendahnya sebelum melanjutkan pelajaran ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). Dia juga aktif berlatih bersama kami.

“Kami amat menggalakkan anak-anak menyertai acara sukan kerana aktiviti ini mampu memberi kesan positif dalam kehidupan. Buat masa ini mereka juga kami dedahkan dengan latihan berenang kerana sekiranya mereka berminat untuk menyertai acara gabungan seperti larian, berbasikal dan berenang (triatlon), asas berenang sudah ada,” katanya.


MENYERTAI acara larian bersama menjadi rutin mengisi waktu santai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 January 2019 @ 6:00 AM