PEMANDANGAN di Foshan.
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


Sebelum ini penulis hanya pernah sampai di Guangzhou yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia kerana dilabelkan sebagai destinasi beli-belah barangan menarik dan murah.

Bagaimanapun, kesempatan diajak oleh Lotus Five Star bagi melihat suasana di belakang tabir penggambaran filem kungfu Master Z: The IP Man Legacy di Foshan yang terletak di Wilayah Guangdong pada Julai tahun lalu, tidak dilepaskan penulis yang memang teruja.

Apa tidaknya, filem itu menampilkan nama-nama besar antaranya Tan Sri Michelle Yeoh yang menjadi kebanggaan negara serta Max Zhang, Tony Jaa dan Kevin Cheng yang masing-masing mempunyai reputasi hebat dalam filem genre aksi seni tempur.


REKAAN set filem era-1950 menjadi daya tarikan dan keunikan Foshan.

Dave Bautista pula dahulunya ahli gusti profesional, kini beralih arah mengikut jejak ahli gusti lain seperti The Rock yang menceburi bidang lakonan.

Foshan berdekatan dengan Guangzhou. Untuk ke sana penulis dan rombongan hampir 20 wakil media Malaysia menaiki penerbangan awal pagi dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Baiyun, Guangzhou.

Penerbangan memakan masa lebih empat jam dan kami kemudian dibawa menaiki bas yang disewa khas untuk ke Foshan.

Perjalanan bas ke Foshan dari Guangzhou pula memakan masa hampir 45 minit. Perasaan penat akibat kurang tidur terus hilang sebaik kami sampai ke bandar Foshan.


MUZIUM Peringatan Ip Man didedikasikan untuk Master Yip Man, mahaguru kungfu Wing Chun.

Ada apa yang menarik di Foshan?

Sudah tentulah berkaitan sejarah seni bela dirinya. Kota Foshan dikenali sebagai pusat seni bela diri kungfu. Antara nama besar yang dikenali ramai dalam seni bela diri ini ialah Wong Fei Hung. Malah wujud bangunan yang dikhususkan untuk memperingati tokoh dalam seni kung fu.

Antaranya adalah Wong Fei-Hung Memorial Hall di sebelah utara dari Foshan Ancestral Temple yang mengabadikan sejarah tokoh untuk pengetahuan generasi akan datang termasuk pelancong serta penggemar seni pertahanan diri China selain Bruce Lee Ancestral House.

Paling mengujakan juga ialah Muzium Peringatan Ip Man yang didedikasikan untuk Master Yip Man yang mengabadikan seluruh hidupnya untuk mempelajari dan menyebarkan seni bela diri atau kung fu Wing Chun.

Ip Man adalah Grand Master Wing Chun yang tinggal di kota Foshan dan juga merupakan guru kepada aktor terkenal Bruce Lee. Turut disertakan ialah maklumat berkaitan master ini serta video latihan yang menampilkan Ip Man dan Bruce Lee berlatih bersama-sama.

Penulis difahamkan di dalam muzium itu dipamerkan peralatan dan latihan seni bela diri Wing Chun, meja dan kerusi yang sering digunakan Ip Man ketika hayatnya, patung kayu yang diukir dengan wajahnya serta gambar pelajarnya dari serata dunia.


RELAU Kuno Nanfeng yang masih beroperasi hingga kini.

Di bangunan lain, pengunjung boleh menyaksikan persembahan kungfu dan tarian naga. Jika terlepas waktu persembahan, pengunjung masih boleh menonton video bintang filem kungfu dahulu yang cekap menggunakan pedang dan kayu.

Video hitam putih itu menandakan seni kungfu memang menjadi antara tarikan dalam pembikinan filem dahulu kala yang menjadi kebanggaan China.

Filem Ip Man lakonan aktor Donnie Yen berjaya mencatat kutipan pecah panggung di seluruh dunia dan kemudiannya dihasilkan pula filem Master Z: The IP Man Legacy yang dikembangkan daripada kisah Ip Man 3.

Reputasi Foshan juga kukuh dengan studio filem dan sumbangan lain kepada budaya Cina seperti Opera Kanton, Kungfu dan tempat pembuatan tembikar berkualiti dan menarik. Foshan juga mempunyai tokong yang terkenal iaitu Foshan Ancestral Temple yang dibina ketika Dinasti Song Utara (960-1127).

Bagaimanapun anda tersilap jika menganggap Foshan adalah bandar mundur yang dipenuhi bangunan lama. Memang ia bandar ‘antik’ tetapi bangunan lama yang dipaparkan dalam filem kung fu hanyalah set direka untuk penggambaran filem semata-mata.

Kedudukannya tidak terlalu jauh daripada bandar Foshan. Terbit perasaan kagum kerana binaan set ini sememangnya menampakkan ciri-ciri sebenar bangunan 1950-an.

Sememangnya kerajaan China bijak memanfaatkan sejarah silam apabila berusaha membina kembali bangunan dengan seni bina lama di beberapa bandar sebagai usaha merancakkan ekonomi melalui industri pelancongan.

Selain menjadi tumpuan bagi penggambaran filem, reputasi Foshan juga dikukuhkan dengan sumbangannya dalam mengekalkan budaya China seperti opera, pembuatan tembikar yang berkualiti dan menarik serta taman yang indah.


DEWAN Peringatan Wong Fei-Hung.

Tidak hanya seni mempertahankan diri, di Foshan inilah jugalah lahirnya opera Guangdong. Jadi, tidak hairan jika di sini banyak rumah opera yang mempersembahkan opera klasik, tarian moden, drama balet dan simfoni terus menjadi perhatian masyarakat China dan pelancong luar.

Malah penduduk mengadakan pelbagai aktiviti seperti pertandingan bot naga, tarian singa dan perarakan Qiuse (karnival musim luruh) yang diturunkan dari satu generasi ke generasi seterusnya.

Jika berkesempatan ke sini, bolehlah meninjau ke Relau Purba Nanfeng (Nanfeng Ancient Kiln) yang dibina pada 1506 ketika Dinasti Ming dan sampai hari ini masih beroperasi mengeluarkan hasil tembikar yang cantik dan berkualiti.

Penat berjalan, bolehlah berehat seketika sambil menikmati pemandangan indah di Taman Liang (atau Liangyuan) yang dikatakan satu daripada empat taman terkenal di Wilayah Guangdong.

Jika ada banyak masa, kunjungi juga Taman Qinghui yang dibina ketika Dinasti Ming. Ini adalah antara 10 taman paling terkenal di China. Sampai hari ini budaya dan gaya taman Lingnan masih dikekalkan di mana semua elemen alam disatukan secara harmoni.

Tidak dinafikan, Foshan memberikan ketenangan tersendiri buat yang mencintai kedamaian. Ia lokasi yang berbaloi untuk dikunjungi rakyat Malaysia kerana kedudukannya yang dekat serta kos yang murah. Menariknya sebelum pulang, kita boleh singgah berbeli-belah sepuas hati di Guangzhou.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Disember 2018 @ 5:01 AM