Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

Sebaik menjejakkan kaki ke Pulau Kelayang yang menjadi pulau ketiga bagi aktiviti ‘menjejak pulau’ dalam percutian ke Belitung, Indonesia, pemandu pelancong beriya-iya meminta penulis dan rakan mengikutinya demi menyaksikan ‘permata tersembunyi’.

Berbekalkan papan tanda menunjukkan ‘Gua Kelayang’ sejauh 500 meter, tanpa memakai kasut, kami memasuki kawasan semak dan berbatu besar.

Mengambil masa tidak lebih 10 minit berjalan, penulis tergamam apabila menyaksikan air laut kehijauan yang jernih hingga menampakkan keputihan pasir di dasarnya.

Sunyi tanpa suara sekadar irama desiran ombak menghempas batuan gergasi, kami seakan-akan berada di destinasi berbeza terpencil daripada kelompok manusia lain.

Enggan memanfaatkan kekosongan dan kesepian yang indah, kami tidak membuang masa untuk berenang sambil merakam gambar sebagai kenangan.

Terletak di celahan batuan, kolam tersembunyi ini membentuk banyak terowong yang menyajikan keunikan berbeza.


TARIKAN utama Belitung terletak pada keindahan pulau dan laut.

Beralih ke laluan sebelah, pemandangan menjadi kian menarik apabila kami melalui celahan batu besar bersama usikan sang ombak.

Selain keunikan warna air biru kehijauan nan jernih serta terowong kecil menuju ke lautan luas, pengguna laman sosial terutama Instagram pasti memanfaatkan kombinasi tiga rona batuan, coklat, hijau dan kuning yang sangat menarik.

Aktiviti menjejak pulau adalah satu daripada acara wajib sekiranya mengunjungi Belitung yang kini popular dengan jolokan sebagai Bali kedua gara-gara kecantikan pulaunya.

Sebelum mengunjungi Pulau Kelayang, terlebih dulu, kami menuju ke Pulau Lengkuas yang sememangnya menjadi tarikan pelancong ke pulau yang terletak di bawah provinsi ke-31 Indonesia ini.

Di sebalik keindahan pantai putih dan laut biru, terselit jenaka berkaitan Pulau Lengkuas yang memiliki rumah api dengan ketinggian 65 meter ini.

Menurut pemandu pelancong, pulau ini dipanggil Pulau Lengkuas gara-gara etnik Melayu bertindak ‘memelayukan’ perkataan ‘light house’ monumen tinggalan Belanda ini.

Perjalanan dari jeti ke pulau ‘light house’ ini memakan masa kira-kira 20 minit seakan-akan tidak terasa kerana kami disajikan dengan pandangan alam ciptaan Tuhan yang sungguh menakjubkan.


RUMAH api tarikan Pulau Lengkuas.

Sebaik tiba di Pulau Lengkuas, destinasi berkenaan mula dipenuhi pelancong tempatan mahupun asing dan masing-masing sibuk mengambil gambar bersama struktur yang memiliki 18 tingkat itu.

Hampir sejam lebih berada di pulau yang dilengkapi dengan gerai makanan dan kemudahan lain, kami menuju ke Pulau Kepayang untuk menjamu selera.

Bersih tanpa kotoran, perairan Pulau Kepayang menjadi pilihan bagi aktiviti snorkeling dan di sini juga terletak restoran makanan laut berkapasiti besar.

Menurut pekerja di restoran berkenaan, mereka beroperasi dari awal pagi hingga lewat petang bersesuaian dengan waktu kunjungan pelancong yang menyertai aktiviti menjejak pulau.

Sebagai pencinta laut dan pulau, penulis bersama rakan tidak melepaskan peluang melakukan aktiviti snorkeling demi menghargai keunikan dan keindahan hidupan laut.


MERAKAM gambar di kolam tersembunyi di Pulau Kelayang.

Nyata, laut Belitung bukan saja kaya dengan keindahan bahkan kecantikan fauna dan flora lautan yang cukup istimewa.

Percutian empat hari tiga malam menggunakan pakej MTN Getaways bukan hanya terhad pada aktiviti pulau dan laut, sebaliknya menawarkan pelbagai destinasi tumpuan pelancong lain.

Terkenal dengan filem Laskar Pelangi yang mencetuskan fenomena pada 2008 adaptasi tulisan Andrea Hirata, Belitung memanfaatkan lokasi penggambaran menjadi lokasi pelancongan tempatan.

Kami turut berpeluang mengunjungi replika sekolah SD Muhammadiyah, masing-masing mengalunkan lagu tema nyanyian Nidji, Laskar Pelangi, di kelas anak tempatan berkenaan.

Kemudian, kami melawat Dermaga Kirana dikenali sebagai Rumah Rotan atau Rumah Keong yang menjadi tarikan di daerah Belitung Timur ini.


DERMAGA Kirana juga dikenali Rumah Keong.

Istimewanya, reka bentuk Dermaga Kirana dibina berdekatan tasik mempunyai konsep separa sfera mencetuskan dimensi pemandangan luar biasa.

Selain itu, penulis turut menyarankan pembaca melawat pantai Tanjung Tinggi dan Danau Kaolin yang memiliki panorama indah.


TASIK berdekatan Dermaga Kirana.

Tidak lengkap kunjungan sekiranya tidak mencuba hidangan tempatan, mi Belitong serta minuman kopi popular, Kong Djie diasaskan sejak 1943. Belitung atau Belitong dinamakan sempena sejenis siput laut, terletak di pantai timur Sumatera.

Terletak di bawah provinsi Kepulauan Bangka Belitung, pulau ini terkenal dengan penanaman lada hitam dan perlombongan timah.

Penduduk tempatan terdiri daripada suku Melayu, keturunan Tionghua, Hokkien dan Hakka, kebanyakannya menetap di kawasan pesisir pantai dengan menjadikan sumber laut sebagai penjana ekonomi.


DANAU Kaolin hasil perlombongan timah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Disember 2018 @ 6:16 AM