ABIBAH bersama suami dan anak-anak.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

Tidak semua orang menganggap adik-beradik bergiat dalam bidang sama boleh berjaya. Ini berikutan bekerja bersama ahli keluarga dalam syarikat yang sama juga boleh mengundang perasaan kurang selesa.

Namun tidak bagi Habibah Sharif, 31, apabila ‘kudrat’ dua abangnya, Muhammad, 39 dan Osman, 35, yang membantu beliau dalam perkhidmatan penyediaan makanan dan perancang perkahwinan yang diusahakan sembilan tahun lalu, dianggap antara kunci kejayaan perniagaan itu.

Bagi ibu kepada lima cahaya mata ini, ahli keluarga yang bekerja bersama-sama disifatkan lebih bertanggungjawab dan ikhlas kerana masing-masing mahu mempertahankan pekerjaan yang menjadi sumber mata pencarian.

“Biarpun pakej perkahwinan lengkap dinamakan Wedding Studio Sdn Bhd ini menerima persaingan kuat, kami cekal bertahan kerana hubungan kekeluargaan yang erat di samping tekad untuk memajukan perniagaan berlandaskan pengalaman dan pengetahuan yang diraih.

“Saya bertuah keluarga banyak membantu terutama dalam penyediaan makanan. Kami memasak sendiri membolehkan operasi perniagaan berjalan lebih lancar kerana tidak bergantung pada orang lain untuk memasak.

“Ini kerana, lazimnya perniagaan makanan bergantung pada jurumasak dan isu akan timbul apabila mereka berhenti kerja atau tidak komited terhadap tugas mengetuai dapur,” katanya.

Habibah yang juga berkebolehan memasak mewarisi kemahiran itu daripada ibu dan ibu saudaranya. Malah, beliau memanfaatkan resipi tradisi keluarga seperti ayam goreng berlada dan daging rempah sebagai menu utama.

Menceburi bidang perniagaan sejak 2009 membuatkan Habibah sudah masak dalam dunia perniagaan. Bermula dengan membuka restoran, salon kecantikan, kedai alat tulis dan kedai runcit sebelum beralih ke perkhidmatan penyediaan makanan serta perancang perkahwinan.

“Minat dalam perniagaan didorong suami, Muhammad Adam Abdullah, 56, yang juga ahli perniagaan. Beliau yang memberi banyak khidmat nasihat dan pandangan berkaitan perniagaan dianggap sebagai mentor.

“Biarpun saya pernah mencuba bermacam-macam jenis perniagaan dan tidak satu pun kena dengan jiwa sebelum mengasaskan pakej perkahwinan lengkap ini, suami tidak jemu memberi galakan untuk saya meneruskan minat dalam bidang ini.

“Inilah antara sebab utama saya boleh bertahan hingga ke hari ini iaitu berkat dorongan dan sokongan keluarga. Kekuatan ikatan kekeluargaan kami sentiasa menjadikan perniagaan ini bagai sebuah keluarga yang hidup bersama di bawah satu bumbung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Disember 2018 @ 11:33 AM