AHLI SCCC terdiri anggota dan pegawai polis bersedia membantu masyarakat menerusi program kayuhan.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

Dalam usaha mendekatkan anggota keselamatan dengan masyarakat, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di ibu negara melancarkan Sentul Cops Cycling Club (SCCC) yang boleh disertai orang awam. Selain beriadah, penubuhan kelab itu juga dapat mengeratkan silaturahim dalam kalangan warga kerja IPD Sentul dengan masyarakat setempat.

Biarpun baru dua bulan dilancarkan, SCCC sudah pun mendapat tempat di hati masyarakat apabila berjaya menghimpunkan peminat sukan berbasikal setempat. Ini sekali gus membuktikan penganjuran kelab berbasikal itu sebagai satu platform yang baik untuk pihak polis meningkatkan kerjasama bersama masyarakat sekeliling.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah berkata, kelab berbasikal itu juga memberi mesej kepada orang ramai bahawa pasukan polis sentiasa berusaha mempertingkat tahap kawalan keselamatan untuk masyarakat.

“Ketika berbasikal, kami menggunakan pendekatan lebih mesra dan rapat termasuk bertemu serta bertegur sapa dengan orang ramai. Ini bagi membolehkan kami mendapat maklum balas dan aduan serta memberikan nasihat atau panduan keselamatan.


PELANCARAN SCCC disempurnakan bekas Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Munusamy Rengasamy.

“Kami juga mahu mendidik orang ramai untuk memainkan peranan masing-masing dalam mencegah jenayah berikutan kes jenayah turut berlaku disebabkan kecuaian sendiri.

“Secara tidak langsung aktiviti sebegini juga menunjukkan polis sentiasa peka dan sentiasa berusaha meningkatkan tahap keselamatan melalui pelbagai program yang sesuai,” katanya.

SCCC juga menyertai Kayuhan Tafakur sempena sambutan Maulidur Rasul anjuran Masjid Amaniah Kepong dan Pertubuhan Iqra Malaysia, baru-baru ini. Kayuhan 30 ahli SCCC bermula dari masjid berkenaan menuju ke Perkampungan Orang Asli Bukit Lagong di Gombak seawal jam 8 pagi.

Dalam program ini, ahli SCCC berpeluang mendampingi masyarakat Orang Asli dan menjalankan pelbagai aktiviti antaranya mengimarahkan surau dan sukaneka. Aktiviti turut dimeriahkan dengan kehadiran ahli Persatuan Orang Pekak dan Bisu bersama keluarga.

Shanmugamoorthy berkata, inisiatif polis ini sudah lama dianjurkan dan pihaknya meneruskan program yang baik supaya jalinan kerjasama dengan masyarakat dapat membantu polis mencegah serta membanteras kegiatan jenayah di daerah ini.

“Kami yakin dengan adanya kelab berbasikal ini, keyakinan masyarakat setempat terhadap polis bertambah dan mereka juga menyedari peranan sebagai orang awam dalam membantu menyalurkan maklumat kepada polis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Disember 2018 @ 5:30 AM