SHAHRUL Azuan Shahruddin dan pasangan, Roslina Ahmad. FOTO E-mel
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


PESONA pasangan ini sungguh menyerlah dan menarik pandangan penulis kala menyelak laman sosial milik mereka.

Gambar yang dipaparkan menyerlahkan keserasian mereka berdua dalam melakukan pelbagai aktiviti rekreasi bersama keluarga.

Penulis berkenalan dengan pasangan ini ketika ekspedisi mendaki Gunung Kosciuszko di Australia tiga tahun lalu.

Kedua-duanya bukan saja saling bekerjasama malah sentiasa memberikan semangat antara satu sama lain saat mengharungi cabaran pendakian.

Shahrul Azuan Shahruddin dan Roslina Ahmad mendirikan mahligai perkahwinan sejak 13 tahun lalu mempunyai minat sama dalam aktiviti rekreasi terutama mendaki gunung.

Shahrul berkata, mereka berkenalan ketika belajar di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dan ketika itu dia dari Kelab Rekreasi Perindu (PAC) dan Roslina pula dari Kelab Rekreasi Seroja (SAT).

Katanya, kelab mereka sentiasa bekerjasama menganjurkan pelbagai aktiviti rekreasi di seluruh Malaysia.

Jelas Shahrul, pada mulanya mereka sekadar kawan rekreasi tetapi keakraban dan keserasian yang terbina akhirnya membawa hingga ke ikatan perkahwinan.

“Saya seorang guru, Roslina pula setiausaha di sebuah universiti tempatan. Meskipun kerjaya berbeza tetapi minat kami sama.

“Namun apabila pergerakan isteri terbatas, kami mencari masa yang sesuai untuk bercuti dan pada masa sama menjalankan aktiviti rekreasi.

“Saya bersyukur Roslina memahami dan menyokong saya sejak dulu lagi.

“Contohnya dia sanggup ‘ditinggalkan’ bersama anak-anak ketika saya menyertai ekspedisi Everest dulu.

“Dia bukan sekadar memahami minat saya malah sentiasa memberi sokongan untuk saya mendaki gunung,” katanya.

Ketika ditanya mengenai aktiviti pada waktu lapang, Shahrul berkata, selain menjadi guru dia jurulatih program kecergasan dan membawa isteri serta anak-anak untuk menyertai program berkenaan.

“Selain itu, kami juga mengadakan aktiviti sihat bersama anak-anak seperti pergi mendaki bukit dan gunung di sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan.

“Selain itu, aktiviti berenang atau menonton wayang juga antara yang sering dilakukan bersama.

“Tidak sekadar itu, sekiranya ada cuti panjang kami akan bercuti atau mengembara menaiki kereta bersama rakan-rakan contohnya ke Krabi dan Singapura. Anak-anak turut dapat belajar banyak perkara sepanjang percutian di negara orang,” katanya.

Tambahnya, dia bersyukur kerana isteri mempunyai minat dalam bidang rekreasi. Malah, jika mempunyai kesempatan untuk bercuti berdua, pastinya aktiviti mendaki gunung diselitkan dalam jadual pengembaraan.

Katanya, setakat ini mereka berdua sudah mendaki lebih 10 buah gunung iaitu Gunung Irau, Gunung Kinabalu, Gunung Nuang, Gunung Datuk dan Gunung Angsi (Malaysia), Gunung Kerinchi, Gunung Semeru, Gunung Rinjani (Indonesia) dan Gunung Fuji (Jepun) serta Gunung Kosciouzko (Australia).

“Aktiviti mendaki gunung bersama pasangan sebenarnya memberi banyak kesan positif dapat mendidik jiwa lebih bersabar dan memahami kelebihan dan kekurangan masing-masing.

“Malah, bagi saya mendaki gunung bersama isteri dan anak-anak juga dapat mewujudkan masa berkualiti, memupuk kemesraan dan kepercayaan seisi keluarga dapat dibina,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Disember 2018 @ 8:04 AM