ANAK-ANAK didedahkan dengan pengalaman baru ketika bercuti ke Australia.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

Kembara adalah aktiviti menyeronokkan kerana kita dapat menambahkan pengetahuan dan meluaskan pandangan ke destinasi yang belum pernah dikunjungi. Semua orang mengimpikan lokasi indah untuk dilawati dan menghabiskan masa meneroka destinasi idaman sama ada secara solo, santai bersama seisi keluarga atau rakan.

Teruja dengan destinasi pelancongan di luar negara yang unik dan cantik seperti yang ditonton dalam filem, drama mahupun dokumentari mendorong seorang guru, Syamsul Amri Zainal, 36, menjadikan aktiviti kembara sebagai acara percutian tahunan keluarga bersama isteri dan dua anak.

Menurut Syamsul Amri, beliau sememangnya menggemari aktiviti luar yang dilakukan sewaktu masih bujang bersama rakan, namun berkelana bersama keluarga memberi pengalaman berbeza berikutan membawa anak kecil ada banyak perkara yang perlu diberikan perhatian.

“Menerusi aktiviti kembara ini juga saya dapat menunaikan hasrat menjejakkan kaki di luar negara selepas cita-cita untuk melanjutkan pengajian di luar negara dulu tidak kesampaian.

“Malah, kewujudan pakej penerbangan tambang murah yang ditawarkan sepanjang tahun merealisasikan lagi impian untuk ke luar negara,” katanya.


TIDAK ketinggalan mencipta memori sekeluarga di Korea Selatan

Negara pertama dilawati Syamsul Amri adalah India pada 2009 dan kunjungan dilakukan bersama empat rakan ke destinasi tidak kurang hebatnya iaitu Kol­kata. Selepas berkeluarga, beliau membawa isteri dan anak sulung berusia setahun mengembara ke bandar raya Ho Chi Minh, Vietnam pada 2013.

“Sebenarnya, aktiviti kembara ini turut diminati isteri, Norhayati Rahim, 35, dan beliau terlebih dulu melunaskan impiannya ke luar negara seawal usia 22 tahun ketika mula-mula bekerja.

“Isteri sudah mengunjungi beberapa negara seperti Indonesia, England, Switzerland, Perancis, Belgium, Belanda, China, Australia dan Arab Saudi bersama rakan. Saya pula selepas India, sempat berkunjung ke Indonesia, China, Mesir dan Arab Saudi.

“Kami pernah mengembara bersama tanpa membawa anak ke Kemboja, Singapura dan Thailand, manakala negara dilawati bersama anak setakat ini adalah Vietnam, Korea Selatan, Brunei dan Australia,” katanya.


BAPA dan anak riang di lokasi pelancongan unik di Vietnam.

Biarpun membawa anak kecil, Muhammad Zhariff Iman, 6, dan Muhammad Adib Fahim, 3, yang mempunyai pelbagai ragam, bagi Saiful Amri pengalaman kembara dan waktu diluangkan bersama keluarga lebih berbaloi.

“Anak-anak pernah mengamuk sepanjang enam jam penerbangan ketika dalam perjalanan pulang dari Seoul ke Kuala Lumpur. Walaupun situasi itu merisaukan kami kerana bimbang raungan dan tangisan mereka sepanjang perjalanan mengganggu penumpang lain, kami jadikan apa yang berlaku itu sebagai iktibar supaya lebih bersedia mengendalikan anak dalam lawatan seterusnya.


BERGAMBAR kenangan di depan inap desa di Australia.

“Pengalaman lain kembara bersama keluarga seperti memandu jauh dari bandar Perth untuk menikmati pemandangan menarik di Taman Negara Nambung.

“Sepanjang perjalanan, kami melihat banyak haiwan liar yang tiada di negara ini seperti kangaru, burung emu, cicak Australia, malah dikejutkan dengan penemuan ular dalam tandas ketika berhenti rehat di kawasan The Pinnacles. Di Australia juga anak-anak berpeluang melihat ikan lumba-lumba, selain seronok mencuba aktiviti baru iaitu layar pasir,” katanya.

Syamsul Amri berkata, pengalaman lain yang unik adalah ketika mengunjungi bandar Nha Trang di Vietnam, sebuah bandar yang jarang dikunjungi pelancong Muslim apabila kehadiran mereka menarik perhatian penduduk tempatan yang kehairanan melihat isterinya bertudung.


DESTINASI di Nha Trang meninggalkan kenangan manis kepada Saiful Amri sekeluarga.

“Sepanjang tiga hari di Nha Trang, kami tidak terserempak dengan pelancong dari Malaysia mungkin ketika kunjungan kami selepas beberapa bulan syarikat penerbangan tambang murah, Air Asia, membuka laluan ke daerah berkenaan.

“Kami juga berdepan pengalaman lucu apabila bersusah-payah menaiki pengangkutan awam ke taman tema Everland di Korea Selatan, tetapi langsung tidak dapat turut serta dalam sebarang permainan kerana hujan sepanjang hari,” katanya.

Katanya, kembara adalah satu daripada aktiviti yang menyeronokkan dan memberi banyak manfaat. Bukan itu saja, anak-anak dapat didedahkan kepada pelbagai budaya di negara orang dan belajar untuk menghormati antara satu sama lain serta merangsang sifat ingin tahu mereka. Baginya pengalaman dan kebaikan meluangkan masa yang tercipta bersama keluarga sebenarnya adalah unik dan sukar diungkapkan dengan kata-kata.


SI kecil mencuba pakaian tradisional ketika berkunjung di sebuah istana lama di Korea Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 November 2018 @ 8:05 AM