PEMANDANGAN indah Pulau Samosir dari Jeti Parapat.
Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Menikmati hidangan enak siakap bakar sambil dibuai lagu tradisional nyanyian Batak Band sesuatu yang sukar dilupakan penulis ketika berkunjung ke Pulau Samosir di Danau Toba, Indonesia baru-baru ini.

Benarlah muzik menjadi tradisi wajib kaum Batak di sini, baik dalam upacara keraian, keagamaan atau mengisi waktu senggang.

Paling menarik ketika kumpulan media yang dibawakan khas menerusi penerbangan AirAsia ke Silangit, Danau Toba meminta dinyanyikan lagu dendangan penyanyi terkenal Indonesia, Judika, mereka terpinga-pinga kerana tidak ingat lagu penyanyi terkenal itu, walau satu pun. Peliknya, mereka tidak kekok menyanyikan lagu Isabella dendangan kumpulan Search dengan penuh penghayatan sambil diiringi petikan gitar.

Menurut pemandu pelancong, Posman, kaum Batak sangat kuat dan ‘setia’ dengan bahasa mereka sehinggakan mempunyai lagu rakyat sendiri. Mereka juga terkenal dengan pelbagai upacara atau majlis sambutan seperti kelahiran bayi, memasuki persekolahan, perkahwinan sehinggalah meninggal dunia. Ada saja lagu tertentu akan mengiringi setiap upacara sehingga selesai.

Bagi individu yang meminati kebudayaan, sejarah dan asal-usul masyarakat sesuatu tempat, Pulau Samosir menjanjikan pelbagai cerita dan bahan yang boleh dikongsi bersama.

Malah, keindahan dan kedamaian Pulau Samosir yang berkeluasan 627 kilometer persegi iaitu tiga kali ganda Singapura dengan 123 kampung pasti menjadi tarikan pelancong untuk meneroka keunikan masyarakat Batak Toba yang berupakan kaum majoriti hampir 9 juta penduduknya.

Menurut Posman, untuk ke Pulau Samosir pengunjung perlu menaiki feri sebagai pengangkutan utama dari pekan Tomok atau Parapat iaitu Jeti Tiga Rajah yang mengambil masa selama 30 minit.

“Bayaran dikenakan sebanyak 15,000 rupiah (RM4) sehala. Pelancong tidak perlu bimbang kerana feri disediakan setiap jam yang bermula sekitar jam 7 pagi dan berakhir jam 9 malam,” katanya.

Bercerita mengenai masyarakat Batak, walaupun pernah mendengar mengenai suku Batak yang garang dan termasuk dalam kumpulan kanibal, jelas Posman, kisah kaum itu makan daging manusia adalah cerita lama dan berlaku sekitar 300 tahun dahulu.

Mengikut sejarah, masyarakat di Ambarita mengamalkan sistem beraja Batak yang menjadi kebanggaan kerana berjaya mewujudkan masyarakat harmoni.

Satu daripada amalan yang dihormati ialah ‘pemancungan’ iaitu hukuman penggal kepala bagi penjenayah yang melakukan kesalahan dalam kawasan penempatan Batak.

Antara kesalahan kerap dijatuhi hukuman ialah pencerobohan kawasan, merompak dan mengganggu anak gadis Batak.

Bagi pelaksanaan hukuman itu, raja Batak bersama ketua kawasan, pegawai kanan dan mereka yang berpengaruh akan bermesyuarat di satu tempat khas di bawah pokok rimbun dilengkapi kerusi dan meja batu di pekarangan istana.

Selepas dibicarakan dan didapati bersalah, penjenayah atau penceroboh dipasung di tempat pemasungan di bawah tangga pintu masuk rumah raja Batak selama tujuh hari dalam keadaan tangan dan kaki diikat.

Sebaik selesai tempoh pemasungan, pesalah dibawa ke tempat pemancungan dengan diadakan acara khusus bersama peralatan seperti tongkat yang mempunyai kuasa ilmu hitam, pisau, parang panjang dan selendang ulos untuk menutup mata pesalah. Selepas itu belakang badan pesalah ditoreh bagi melenyapkan semua ilmu hitam yang dimiliki pesalah.

“Selesai upacara pemancungan, badan pesalah akan dipotong kecil dan diberikan kepada mereka yang menyaksikannya. Terpulang kepada penonton sama ada mahu memakan daging pesalah atau tidak, namun cara hukuman ini dilaksanakan menyebabkan masyarakat Batak dilabel sebagai kaum kanibal,” jelas Posman yang merujuk kepada Batu Kursi Raja Siallagan atau lebih dikenali Batu Persidangan di Amrita yang menjadi destinasi wajib untuk dikunjungi.

Muzium Huta Bolon Simanindo juga menyimpan 1,001 kisah menarik mengenai adat, budaya serta peralatan digunakan kaum Batak. Pengunjung juga diperlihatkan tarian tradisional Batak dan Sigale-gale, patung yang digunakan dalam tarian mereka.


PELANCONG menyaksikan tarian tradisional yang dipersembahkan masyarakat Batak di Muzium Huta Bolon.

Selain itu, keunikan binaan rumah daripada pelbagai suku kaum seperti Karo, Simalungun, Angkola, Mandailing, Toba, Dairi dan Pakpak, jelas memperlihatkan budaya dan kehidupan masyarakat yang hampir sama.

Selain meletakkan kepala kerbau lengkap dengan tanduk di setiap puncak atau segi tiga di dalam dan luar rumah yang melambangkan kesejahteraan bagi keluarga yang menghuninya, masyarakat Batak juga membuat hiasan cicak secara grafik atau gambar di setiap bahagian berpalang atau bertiang.

“Setiap rumah dibina tangga dengan bahagian bawah adalah tempat kurungan peliharaan haiwan seperti ayam atau kambing, manakala bahagian atas dihuni dua atau tiga keluarga dengan masing-masing mempunyai dapur dan ruang tidur sendiri.

“Perkongsian ini disebabkan kemampuan memiliki rumah sendiri sangat terhad. Walaupun memiliki anak yang ramai, pada waktu siang lelaki keluar bekerja dan anak-anak juga ke sekolah. Maka yang tinggal hanyalah wanita bersama anak kecil,” jelasnya.


SELESAI pertunjukan tarian tradisional kaum Batak.

Makanan, beli-belah dan aktiviti pantai

Bagi pencinta makanan, walaupun hampir 99 peratus penduduknya beragama Kristian, untuk mendapatkan makanan halal tidak sukar kerana ada restoran di kawasan sekitar Tomok dan Amrita menyediakan makanan halal dengan sajian utama siakap bakar.

Bagi yang gemar membeli-belah pula, dinasihatkan supaya

berhati-hati dengan penjual barangan kraftangan dan cenderahati di perkampungan Tomok dan Ambarita kerana mereka suka menarik tangan merayu dan mendesak untuk membeli barangan di kedai masing-masing.


PELBAGAI cenderahati menarik di jual di sekitar Tomok.

Pelancong yang ditarik ke dalam kedai, kemudiannya sukar untuk melepaskan diri. Mereka seakan dipaksa membeli apa saja barang dan selagi tidak memenuhinya, selagi itulah tangan pelanggan tidak dilepaskan.

Perkara utama ketika berurus niaga di sini ialah menawar sehingga 50 peratus. Minta harga serendah mungkin jika tidak dapat, beredar saja dan penjual pasti memanggil anda semula untuk memberikan harga seperti yang diminta.

Selain membeli-belah, pelancong juga berpeluang melakukan aktiviti pantai seperti menaiki jet ski, bot pisang atau melihat keindahan pantai dengan air yang kebiruan.


PEMBUATAN kain ulos dilakukan masyarakat setempat.

Kunjungan ke Danau Toba yang dibawakan oleh penerbangan AirAsia ini sememangnya meninggalkan kenangan manis kepada penulis serta 10 wakil media yang lain.

Jika dahulu pelancong yang ingin berkunjung ke Danau Toba terpaksa menaiki bas dari Medan ke Danau Toba dengan perjalanan mencecah hampir lima jam, kini penerbangan empat kali seminggu dari Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) ke Silangit, Indonesia, sememangnya menjanjikan kesenangan dan keselesaan buat pelancong.

Pelancong yang menaiki penerbangan ini dengan kod AK juga boleh menempah makanan Santan Kombo bersama minuman pada harga RM10 saja.

Lebih menarik apabila wakil media juga berpeluang menggunakan kemudahan kad BigPay yang diperkenalkan AirAsia. Seperti penggunaan kad kredit, pengguna boleh menempah tiket penerbangan menerusi kad BigPay, sekali gus mengumpul mata ganjaran setiap kali menggunakannya.


WAKIL media bergambar berlatar belakangkan Danau Toba yang indah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 November 2018 @ 7:02 AM